Apakah tujuan hidupmu? Inilah persoalan yang perlu kau renung dan fikirkan sedalam-dalamnya. Apakah tujuan hidup kita untuk makan? Maka, kalau begitu, selepas makan sekenyang-kenyangnya, apakah lansai sudah tujuan hidupmu? Tidak. Seorang yang sudah kenyang, ternyata masih punya tujuan-tujuan tertentu yang lain. Mungkin dia mahu tidur. Apakah tidur itu menjadi tujuan hidup? Setelah puas tidur, seseorang itu akan bangun dan mula memikirkan apakah tujuannya. Bekerja dan menjadi kaya? Dapat isteri cantik dan kemudian ada anak yang ramai. Mungkin juga ada orang yang meletakkan pangkat dan darjat tertentu sebagai tujuan hidupnya. Letaklah seribu satu tujuan hidup, manusia tidak akan pernah merasa puas.
Nabi SAW menggambarkan bahawa manusia ini, jika diberikan dua lembah yang penuh emas, dia akan mengimpikan lembah yang ketiga. Tidak yang boleh memberikan kepuasan kepada manusia melainkan tanah. Apabila tanah disumbat ke dalam mulutnya, itulah saatnya dia mula berasa kenyang dengan dunia.
Maka, tujuan hidup kita apa? Soalan ini tak akan ada jawapan tepat kalau kita memikirkan jawapannya dengan menggunakan akal kita. Kita memerlukan wahyu buat membimbing kita mengenai tujuan hidup kita. Dalam Al-Quran telah dijelaskan apa tujuan hidup kita.
Allah berfirman:
وما خلقت الجن والإنس إلا ليعبدون
"Tidaklah Aku jadikan manusia dan jin melainkan bertujuan agar mereka menyembah aku".
(Surah Adzariyat: Ayat 56)
Nah, itulah tujuan hidup kita. Menyembah Allah. Menyembah Allah ertinya menjadi hamba Allah. Segala yang kita buat dalam dunia biar sesuai dengan kedudukan kita sebagai hamba Allah. Janganlah pula berlagak menjadi tuan kerana tujuan kita adalah menjadi hamba.
No comments:
Post a Comment