CARI BAHAN

Friday, September 10, 2010

Pesta ziarah kubur

Ketika zaman kanak-kanak dulu, beraya di kampung, lepas selesai solat sunat Idul Fitri di masjid, soalan paling popular diutarakan bila berjumpa sanak saudara ialah:

"Sudah ziarah kubur?".

Waktu itu, mahu tak mahu, menjadi kemestian setiap daripada warga kampung untuk menziarahi pusara nenek moyang atau ibu bapa masing-masing. Waktu itu pusara Tok Nab dan Pak Long Chohlah yang menjadi tumpuan aku dan adik beradik sekeluarga kerana hanya itulah saudara mara kami yang kami kenal mendahului kami.

Kemudian, setelah masa berubah, imam masjid kampungku bertukar kepada imam yang baru, dia menginisiatifkan bacaab yasib selepas usai solat sunat Idul Fitri. Oleh kerana yasin sudah dibaca, tak ramailah yang buru-buru ke kubur lagi. Pergi kubur pun sebab nak baca yasin juga. Bila yasin sudah dibaca di masjid, pada perkiraan jemaah masjid, dah tertunailah tanggungjawab mereka buat nenek moyang.

Bila aku sudah dewasa dan mampu menggunaka otak, sumber pengetahuan pun sudah banyak, aku tidak lagi menjadikan ziarah kubur di pagi raya sebagai kebiasaan. Bila ibuku menggesaku aku pergi menziarahi kubur almarhum bapaku, aku menerangkannya bahawa ziarah kubur boleh dibuat bila-bila masa. Tidak semestinya di hari raya. Kadang-kadang aku ziarah waktu malam. 

Ibuku tergelak dan kata kalaulah orang kampung nampak aku ke kubur di malam hari mereka akan kata orang gila. Mungkin juga setengah buat cerita dongeng esok pagi bahawa dia nampak hantu kubur.

Aku sering menziarahi kubur bapaku bila balik kampung. Aku tidak pernah lagi menziarahinya di pagi raya. Kadang-kadang aku rasa malu melihat cara orang kampungku melaksanakan amalan ziarah kubur. Sudahlah berpusu-pusu ke tanah perkuburan di pagi raya, mereka duduk pula beramai-ramai di bawah pokok kemboja tanah perkuburan. Kalau tak ada pokok, di bawah panas mentari pagilah mereka duduk. Dari jauh nampak macam sedang berkelah sekeluarga. Bila dekat baru tahu mereka sedang baca yasin.

Hari raya juga adalah hari berpesta menziarahi kubur....

No comments: