Zakat fitrah disampaikan oleh Ketua Menteri sendiri kepada mereka yang terpilih. Urusan memilih mereka yang layak menerima zakat diserahkan kepada soldadu yang mendokong Ketua Menteri. Tentunnya perlu melalui pengesahan daripada JKK juga. Pemilihan tersebut, oleh kerana dipengaruhi oleh sentimen kekeluargaan dan politik, kekadang di kalangan yang menerima zakat itu tidak termasuk dalam kalangan yang mustahaqqin. Formula mudah yang selalu digunakan di mana-mana untuk menyebarkan zakat sebelum hari raya ialah anak yatim. Kemudian, di syaratkan pula yang ada dokumen kewarganegaraan.Mungkin ada beberapa kriteria lain yang dipertimbangkan oleh pihak yang diberi tugas mencari sasaran menerima zakat.
Aku sejak dahulu tidak menyetujui zakat disampaikan oleh pemimpin politik.Bukan kerana aku tidak sebulu dengan pemimpin poltik tertentu. Aku menduga, apabila pemimpin politik yang menyampaikan zakat, urusan pemilihan orang yang layak dipengaruhi oleh struktur organisasi politik yang mengelilingi pemimpin politik itu. Kita telah lihat bagaimana berlaku banyak ketirisan dalam wang negara akibat angkara orang-orang politik. Apakah kita rela wang zakat juga mengalami ketirisan yang sama. Lebih-lebih lagi apabila pengurusan pembahagian wang zakat dikendalikan oleh orang-orang politik yang mengambil kira untung rugi buat poket sendiri dalam setiap titik peluhnya.
Di samping itu, secara tidak disedari, pembahagian wang zakat oleh kuasa politik disalahtafsir oleh pemimpin itu sendiri atau rakyat yang menerimanya sebagai rasuah yang mewajibkan sokongan. Wang zakat yang diberikan oleh kaum muslimin telah bertukar menjadi pemberian yang bertujuan meningkatkan reputasi politik seseorang pemimpin.
Jadi, siapa yang harus membahagikan zakat.Yang bertanggungjawab memungut zakat adalah amil-amil yang dilantik. Mereka ada ketua masing-masing. Pengarah Jabatan Agama misalnya, merupakan individu yang paling sesuai. Kalau tak cukup tangan, serah kepada jawatankuasa masjid menguruskannya. Mana-mana institusi agama bawah kerajaan lebih sesuai membahagi-bahagikan zakat berbanding Ketua Menteri.
Kalau Ketua Menteri ingin bermurah hati atau menunjukkan kemurahan hati kepada rakyat sempena Aidil Fitri, dia boleh keluarkan zakat peribadinya atau derma serta sumbangan ikhlas dari hartanya yang melimpah ruah.
Sekian, demikianlah pandanganku!
No comments:
Post a Comment