CARI BAHAN

Wednesday, September 08, 2010

Carilah mati Husnul Khatimah

Hidup hanya sementara. Itu pasti. Semua orang tahu. Cuma sedar atau tidak. Walaupun kematian pasti datang, manusia sebagaimana fitrahnya, sering dibayangi kelupaan. Kerana kelupaan, manusia hidup di dunia seperti tidak akan mati. Lihatlah bagaimana pengusaha kaya membangunkan gedung perniagaannya. Lihatlah pula bagaimana seorang konglomerat membina rumah laksana istana.  Lihat pula bagai mana seorang politikus merencana strategi politik seperti tak ada penghujung bernama kematian.

Dia cuma lupa. Bukan dia tidak tahu bahawa akhirnya dia akan mati. Tak ada orang waras yang akan mungkiri hakikat ini.

Justeru semua akan mati, maka tidak ada guna lari dari kematian. Tak akan terdaya melarikan diri. Apa yang boleh kita buat hanya memilih untuk mati bila dan bagaimana cara kita mati. Kalau malas jaga kesihatan, cepatlah mati. Kalau bunuh diri, matilah terus. Tapi, kalau rajin jaga kesihatan pun belum tentu panjang umur. Ramai penjual ubat mati awal. Ramai juga atlit mati muda. Ada juga yang cuba bunuh diri tapi tak mati. Jadi, sebanarnya kuasa mutlak mematikan itu ada pada Allah SWT.

Kalau cara mati, kita boleh usahakan. Siapa nak mati dalam kelab malam, habiskan banyak masa dalam kelab malam. Kalau nak mati dalam masjid, selalulah berada dalam masjid. Ada orang mati masa berzina. Ada orang mati masa minum arak. Ada yang mati masa merempit. Ada pula yang mati dalam sujud solat, ketika berkhutbah, ketika tidur dan sebagainya. 

Walaupun kita boleh pilih cara nak mati, tapi keputusan muktamad ada pada Allah SWT juga. Ada orang rajin solat tak mati dalam sujud, tapi mati di rumah pelacuran. Masya Allah. Semoga Allah lindungi kita dari menempa jalan terakhir seperti itu. Orang itu barangkali mencuba-cuba mendekati kemungkaran pelacuran sekali dalam umurnya tetapi tiba-tiba itulah saat ajalnya. Malangnya. Sebab itu, kemungkaran jangan sekali-kali didekati. Kita tidak tahu saat mana ajal kita akan terhenti. 

Untunglah kalau ajal terhenti masa solat, masa berdoa, masa sujud atau masa-masa tengah buat baik. Itulah husnul khatimah namanya. Tapi, kalau saat kita sedang cuba berbuat maksiat, tiba-tiba ajal menjemput, malunya. Itulah su'ul khatimah namanya.

Berdoalah kepada Allah agar mendapat husnul khatimah dan dijauhkann daripada su'ul khatimah!

No comments: