CARI BAHAN

Friday, September 03, 2010

Menggantungkan ayat Quran di dinding

Apakah menggantungkan ayat-ayat Quran dalam frem di dinding-dinding boleh menakutkan dan menghalang iblis syaitan daripada masuk ke dalam rumah kita? Muridku bertanya selepas sesi ceramah sempena nuzul Quran pada hari ini. 

Menjawab persoalan itu, aku membawa cerita sahabat nabi yang bertugas penjaga stor tamar sedeqah pada zaman nabi SAW. Dia mendapati buah tamar berkurangan setiap malam. Setelah dibuat intipan, didapatinya ada sejenis makhluk dari bangsa jin yang mencurinya. Sahabat nabi tersebut telah menangkapnya dan mengancam akan dibawa kepada nabi SAW. Makhluk tersebut merayu belas kasihan dengan alasan keluarganya miskin. Kasihan. sahabat tersebut melepaskan. Bila bertemu nabi SAW keesokannya, dia menceritakan kepada nabi SAW. Nabi SAW memberitahunya bahawa makhluk akan datang lagi pada malam esoknya. Yakin dengan apa yang diberitahu nabi, sahabat itu mengintip lagi dan memang benar bahawa makhluk itu mungkir janji. Dia datang lagi mencuri buah kurma sedeqah. Sahabat itu menangkapnya dan makhluk itu merayu lagi dengan janji tak akan datang lagi. Kasihan, dia melepaskannya. Jumpa Nabi  SAW keesokan harinya, dia ceritakan kepada nabi SAW. Nabi mengulangi amaran yang sama. Dia akan datang lagi. Kata nabi. Malam ketiga, diamengintip lagi dan makhluk itu datang. Ditangkapnya dan diancam dengan sungguh-sungguh untuk dibawa kepada nabi SAW. Makhluk itu merayu dan menawarkan untuk memberitahu satu rahsia mengenai ayatul kursi. Makhluk membaca ayatul kursi untuk sahabat itu dan terhenti pada ayat terakhir. Katanya, kalau dia habiskan, dia akan terbakar.
Pengajaran cerita ini, sedangkan ayat quran boleh dibaca, apatah lagi kalau sekadar ayat-ayat itu tergantung di dinding.

Filem-filem dan drama-drama melayu secara salah menggambarkan jin dan syaitan takut kepada naskhah Quran. Dalam filem horor orang putih, orang kristian menggunakan salib untuk menakutkan syaitan. Dalam filem memang diperlihatkan kuasa salib hingga menakutkan syaitan. Tidak kalah dengan bikinan filem yang dibuat oleh orang putih ada filem arahan orang Islam menggambarkan pula super power naskhah Quran. Kadang-kadang lengkaran tasbih digambarkan sebagai alat yang boleh menakutkan syaitan.

Sebenarnya iblis dan syaitan tidak takut kepada ayat Quran yang digantung di dinding. Dalam hadis, ada diriwayatkan bahawa iblis lari menjauh bila azan dilaungkan. Kemudian, setelah azan selesai, ia datang kembali. Waktu orang berdiri untuk solat, dia mencelah di antara mereka dan menimbulkan was-was. Kalau orang sedang solat pun iblis dan syaitan tak takut, apa dasarnya untuk mengatakan iblis syaitan takut kepada ayat QUran yang tergantung di dinding.

Perbuatan menggantungkan ayat Quran di dinding mendedahkan kita kepada 3 kemungkinan:

1) Membazir- Sesetengah frem ayat Quran sangat mahal dan dityulis dengan khat yang sukar dibaca. Perbuatan membazir adalah haram.

2) Menjadikan Quran sebagai perhiasan-Al-Quran yang dijadikan perhiasan adalah satu penghinaan dan perbuatan merendahkan darjat Quran. 

3) Digantungkan sebagai tangkal azimat- Perbuatan meletakkan kepada sesuatu yang lain selain Allah untuk melindungi diri adalah syirik. Jadi, sesiapa yang menggantungkan ayat quran di dinding lalu mendakwa ia menghalang gangguan syaitan, ia telah terjerumus ke dalam perbuatan syirik.

Berapa ramai yang menggantungkan frem ayat Quran lalu menjadikan ia bacaan pagi dan petang? Kalau pun tidak bacaan pada masa-masa tertentu.  Apa yang terlihat, frem ayat itu menjadi perhiasan atau azimat. Kedua-dua tujuan ini salah. Tak salah jika tampal ayat di dinding untuk dibaca dan ditadabburi!

No comments: