Perdana Menteri mengumumkan bahawa program Susu 1 Malaysia akan dilancarkan mulai bulan depan kepada semua murid sekolah rendah. Katanya, dia mahu melihat rakyat Malaysia menjadi lebih besar tubuh badan dan cergas otaknya. Program ini akan melibatkan smeua sekolah rendah dari Perlis hingga ke Sabah.
Cita-cita perdana menteri untuk melihat rakyat Malaysia yang akan datang lahir sebagai generasi yang besar tubuh badannya dan cergas otaknya adalah cita-cita yang murni dan berwawasan. Banyak faedahnya kalau tubuh badan besar dan otak pun cergas. Nanti, kalau masuk pertandingan bola sepak, ada harapan sampai ke peringkat dunia dan potensi meraih juara dunia terbuka jalan. Yang lebih penting, kita akan menjadi rakyat sebuah negara yang digeruni dan kelau berperang, kita akan menang perang.
Namun, bolehkah program Susu 1 Malaysia ini dapat merealisasikan cita-cita tersebut? Rancangan Makanan Tambahan yang dilancarkan sebelumnya pun punya tujuan yang sama. Namun RMT hanya menjadi lombong duit pengusaha-pengusaha makanan dan tidak menjadi jalan untuk murid-murid sekolah menjadi besar fizikal dan sihat. Padahal, jutaan wang ringgit dikorbankan untuk RMT.
Kini, ditambah pula dengan Susu 1 Malaysia. Diharapkan ia bukan sahaja menambahkan lombong buat pembekal tetapi susu yang dibekalkan dari kualiti yang rendah dan tidak mampu melonjakkan tumbesaran murid-murid melebihi pertumbuhan biasanya.
Di Sabah, murid-murid telah dibekali Program Susu Sekolah yang disumbangkan oleh Yayasan Sabah. Namun, susu-susu yang dikemukakan itu, tidak menjadi sarana berkesan mencapai sasaran tumbesaran fizikal murid-murid, apalagi menambahkan kecergasan mindanya. Harus ada mekanisme yang berkesan mendisiplinkan rakyat bagi setiap program yang kerajaan lakukan agar matlamat di sebaliknya dapat dicapai. Namun, yang lebih penting adalah jangan telunjuk lurus kelingkin berkait bagi setiap program yang dilancarkan kerajaan.
No comments:
Post a Comment