Ramadhan sudah mendekati penghujungnya. Sehari atau dua hari lagi, Eidul Fitri akan menjelma. Alhamdulillah, aku diberikan Allah usia sehingga ke hari ini. Dengan usia itu aku dapat melanjutkan kehidupan. Dengan Kehidupan itu aku dapat beramal. Semoga dengan amal itu pula, menjadi sebab Allah merahmatiku. Pastinya dengan rahmat Allah SWT, aku bakal mendapat syurgaNya.
Ramadhan tahun ini lebih baik daripada Ramadhan tahun lalu. Rasanya amal lebih banyak daripada tahun lalu. Sedikit mencecah jalan berdosa. Perasaan lebih stabil. Tumpuan kepada memburu kebaikan Ramadhan lebih baik berbanding tahun-tahun terdahulu. Itulah yang kita harapkan.
Biasalah, di penghujung Ramadhan, jema'ah yang datang ke surau pun sudah berkurangan. Diharapkan, kursus Ramadhan tahun ini akan melahirkan beberapa individu yang istiqamah dengan surau selepas Ramadhan. Kalau tak dapat ramai, seorang pun jadilah. Kalau ada seorang yang menjadi ahli surau yang istiqamah, itu maknanya tazkirah yang dilakukan disertai berkat ilahi. Itu juga tandanya suasana dan bi'ah surau yang ada menimbulkan rangsangan.
Dalam duduk selepas solat semalam, terlintas dalam benakku untuk menjadikan surau Al-Fajar seumpama madrasah pengajian. Ada jadual pengajian dan ada silibus yang telah ditentukan. Kemudian, mungkin ada senarai pelajarnya. Itulah yang terlintas dan ingin sekali aku rancangkan selepas Ramadhan ini.
Pelajarnya adalah pakcik-pakcik dan kanak-kanak yang hadir solat jemaah. Pengajian tidak formal. Kehadiran tidak wajib dan kalau tidak hadir tidak pun didenda. Kehadiran adalah atas minat dan kemahuan. Minat dan kemahuan itulah yang mahu dijana.
Selain masyarakat boleh mengambil manfaat, para ustaz yang berlambak di Taman Fajar boleh diasah bakat.
Mungkin tahun hadapan boleh dimulakan!
No comments:
Post a Comment