CARI BAHAN

Tuesday, September 14, 2010

Bukan bangsa jadi ukuran.

Kata nabi Muhammad SAW, tiada kelebihan bangsa Arab ke atas bukan Arab. Menurut kacamata Al-Quran, kelebihan seseorang diukur berdasarkan sejauh mana ketakwaannya kepada Allah  SWT. Sebagaimana kelebihan seseorang tidak dukur oleh agama berdasarkan bangsanya, ia juga tidak diukur berdasarkan keturunan. Keturunan Arab bukan kunci untuk menjadikan dia hebat. Malah, realiti telah memperlihatkan kepada kita bahawa bangsa Arab dibaluti pelbagai masalah. Bukan sahaja masalah membabitkan sikap dan tingkah laku, tetapi juga masalah berkait pengamalan agama Islam. Demikian juga relaiti memperlihatkan kepada kita berapa ramai orang yang datang dari keturunan baik-baik tetapi merentas jalan jahat.  Orang selalu tunduk hormat berdepan dengan orang yang dikatakan keturunan nabi sebab dia adalah ahli bait. Tetapi, bukan semua yang mendakwa keturunan nabi itu baik. Ramai di antara mereka tidak pun menuruti jalan nabi SAW. Antara mereka ada yang menjadi penyanyi, mendedahkan aurat dan dikenali manyarakat sebagai individu yang bermasalah dari dari segi moral. 

Masalah ahli bait ini, para ulama berbeza pandangan mengenai siapa mereka. Nabi sendiri pernah mengakui bahawa Salman Al-Farisi adalah ahli baitnya sedangkan Salman Al-Farisi itu berlainan bangsa dengan nabi dan tidak ada pun hubungan darah dengan nabi SAW. Mereka cuma disatukan dengan kalimah tauhid dan keyakinan kepada Allah SWT.

Sudah menjadi sunnah Allah, di satu tempat yang mana lahirnya manusia paling jahat, di sanalah juga lahirnya manusia paling baik. Di negeri Mesir pada zaman dahulu, tempat berkuasanya Firaun, Allah utuskan Musa a.s. Sebelum itu, di kalangan warga Sa'dum yang berbuat durhaka terbesar dan terburuk dalam sejarah, iaitu kehidupan homeseksual, Allah utuskan manusia hebat bernama Lut. Sunnah Allah, kejahatan dan kebaikan saling bersaing dan memaksimakan keupayaan masing-masing.

Dalam masyarakat Arab, terdapat individu yang jahat. Di zaman nabi ada Abu Lahab. Abu Lahab ini memang jahat sehingga Allah men'cis' untuknya dalam Quran. Tapi dalam masyarakat Arab di zaman yang sama, Allah lahirkan manusia terbaik iaitu  nabi Muhammad SAW. Pada masa ini, masyarakat Arab memang teruk dan bermasalah. Sudahlah tak pandai bersatu, sesetengahnya individunya yang jahat lebih jahat dari lain-lain bangsa. Namun, perlu diingat bahawa dalam masyarakat Arab juga lahir ulama-ulama terbilang dalam dunia. Ulama terhebat di kalangan bangsa Melayu tak akan dapat menandingi ulama terbilang ulama Arab. 

Memang lahir pada zaman tertentu ulama hebat dari bangsa bukan Arab sehingga mengatasi ulama terhebat bangsa Arab. Tapi, itu adalah nadir. An-Nadir la hukma lah. Umpamanya Imam Bukhari, dia bukan berbangsa Arab. Jauh sekali keturunan nabi SAW. Leluhurnya berasal dari agama penyembah api. Majusi. Tapi, lihatlah bagaimana beliau lahir sebagai ulama yang sangat hebat pada zaman dan zaman sesudahnya pun. Dalam dunia Hadis, siapa yang boleh menandinginya?

Di Malaysia ini, orang negeri Kelantanlah banyak orang hebat dalam agama. Tuan guru yang banyak ilmu ramai di sana. Dari yang berfahaman lama sehinggalah yang berfahaman tajdid. Tapi, jika anda pernah mengikut serbuan JAWI di Kuala Lumpur, menggelidah premis-premis pelacuran, anda akan melihat paling kerap wanita yang menjual dirinya berasal dari Kelantan. Data lengkap mengenai hal ini tiada. Namun, pengalamanku memberitahu hal ini. Hal ini mungkin secara kebetulan. Sesetengah orang membuat beberapa andaian menjelaskan fenomena ini. Orang Kelantan, lelaki dan perempuan banyak bertebaran di seluruh Malaysia. Memang sifat orang Kelantan suka merantau. Paling ramai merreka merantau ke Kuala Lumpur. Apabila ramai, tentulah paling banyak kuantiti dalam statistik apapun secara relatif dengan orang yang berasal dari negeri lain. Keduanya, gadis-gadis Kelantan banyak yang cantik. Khabarnya yang berasal dari kawasan Pasir Mas, di mana berlaku perkahwinan campur Melayu Arab secara leluasa di zaman dahulu, telah melahirkan keturunan yang berwajah kacukan. Bila cantik disalahgunakan, jadilah ramai dari kalangan pelacur adalah mereka.

Namun, itulah...dari tempat munculnya kebaikan yang maksima, lahir pula kejahatan maksima.

Jangan disangka orang Kelantan itu PAS semuanya. Yang PAS, memang kuat dan mantap PASnya. Tetapi yang UMNOnya, lebih totok daripada UMNO Johor. Kalau tidak macam mana boleh bertahan selama lebih 20 tahun di bawah pemerintahan kerajaan PAS.

Kesimpulannya, kelebihan bukan diukur berdasarkan bangsa, keturunan, negeri asal, warna kulit atau apapun yang merupakan ciri luaran. Kalau anda Melayu, jangan rasa lebih hebat daripada Arang Asli. Ramai Melayu buang anak tetapi Orang Asli belum kita dengar buang anak. Ramai Melayu merempit tetapi anak muda Orang Asli tak kenal budaya merempit. Orang Melayu dan dapat agama lama sejak berzaman berbanding bangsa Buton. Tetapi orang yang baru mendapat Islam itu sesetengahnya lebih baik yang dah lama dan berlumut dengan Islam.

* Aku menulis ini setelah terharu melihat rajinnya seorang Buton datang solat Subuh. Rajinnya muallaf Cina datang solat Subuh. Sedang Melayu yang ramai lena mengerekot di perbaringan.

No comments: