CARI BAHAN

Tuesday, September 07, 2010

Maafkan aku kampungku....

Tinggal di Sabah ini, ada beberapa kelebihan yang tidak dapat aku kecapi kalau aku bermastautin di negeriku, lebih-lebih lagi di kampungku. Kira-kira, di kampungku, akulah anak muda yang paling tinggi pendidikan agama. Sudahlah begitu, akulah anak muda yang paling dekat dengan masjid kampungku. Sementelahan aku anak tok siak. Berpuluh tahun bapaku berkhidmat sebagai siak masjid dan akulah anaknya yang paling kerap menggantikannya menjalankan tugas siak.

Begitupun, belum pernah sekalipun aku ditawarkan naik mimbar masjid di hari Jumuat untuk menyampaikan khutbah Jumuat. Biarpun akulah yang sering mengimamkan solat fardhu di masjid kampungku, belum pernah sekalipun aku ditawarkan menjadi imam solat Jumuat atau solat sunat hari raya. Aku belum pernah juga disuruh oleh imam untuk menyampaikan kuliah di masjid. Ada sekali aku bercadang mengadakan program untuk remaja kampung dan memberitahu imam mengenainya, malangnya dia, dengan curiga menyatakan kebimbangannya kalau-kalau program aku itu berunsur politik.

Di sabah ini, aku kerap sekali menjadi khatib Jumuat, imam solat Jumuat.,imam solat taraweh, Aidil Fitri dan juga sering menyampaikan kuliah di masjid. Aku juga selalu dijemput menyampaikan ceramah di jabatan, sekolah dan beberapa majlis sambutan sempena kebesaran Islam. Aku dapat berperanan sebagai ustaz sebagaimana layaknya untuk ustaz sepertiku.

Jadi, apalah gunanya aku balik ke kampung dan menetap di sana kalau sekadar menjadi tulisan khat perhiasan dinding? Masyarakat kampungku berbalut pelbagai masalah, ramajanya dalam krisis, warga tuanya berpecah belah, masjidnya diboikot sebahagian warga, solat jemaah hidup segan mati tak mahu, sunyi sepi daripada suasana agama yang memberikan semangat dan sekali lihat tak banyak beza pun dengan kampung Siam namdot di Naka dan Nami. 

Bukan salah aku. Salah mereka yang berkehendakkan kuasa tapi tak mampu menjalankan tanggungjawab. Aku pulang hanya sekadar menemui ibuku dan sanak saudaraku.  Sekadar menjenguh kampungku dan menunggu saatnya perubahan terbuka untuk mereka yang punya idea bernas. Aku? aku membawa kekecewaan ke sabah mencari sinar di bumi orang. 

Aku batu kerikil di sana tetapi mampu bersinar seperti mutiara di sini...Alhamdulillah....

No comments: