CARI BAHAN

Wednesday, January 07, 2026

Nikmat yang tidak disyukuri akan hilang

 Tajuk ini adalah berfokus kepada isu politik. Walau tidak suka kepada rencah politik hari ini, aku tidak dapat lari daripada melirik mata kepadanya. Mutakhir ini adalah isu UMNO keluar daripada kerajaan dan beraksi sebagai pembangkang. Ia bermula bila KP UMNO, Dr. Akmal Saleh membuat gesaan tersebut dalam Konvensyen Pemuda UMNO yang diadakan. Tanpa basa basi, Dr Akmal mendangkan UMNO bergabung dengan PAS untuk membina front pembela Melayu yang tangguh dalam menghadapi ancaman masa kini. 

Lontaran cadangan dan gesaan Akmal itu menarik reaksi pelbagai. 

Sekarang ini UMNO tengah bersedap-sedap di atas kerusi empuk kekuasaan biarpun  tidak sebagai zaman pemerintahannya dulu selama 6 tahun. UMNO terpaksa berbagi kuasa dengan Pakatan Harapan yang dilihat dalamnya ada DAP yang mengancam survival perjuagan Melayu dan asobiyyahnya.

Tarik diri keluar daripada kerajaan ini bermakna UMNO hilang semuanya nikmat kuasa. Hanya kerana ingin jadi bermaruah, mencari maruah yang penuh kejantanan, UMNO perlu rela hilang kuasa. Ini satu dilema yang perlu difikir masak-masak oleh para mala-ul a'la dalam UMNO.Bukan sahaja 8 menteri dan juga beberapa timbalan menteri akan tergelungsur turun daripada kerusi kuasanya, tetapi beberapa negeri juga akan rebah dan UMNO hilang kepimpinannya. Itu belum lagi dilihat peringkat grassroot seperti Ahli Mahlis, JKK dan Ketua kampung. Semua itu akan lenyap dalam tempoh berbaki tak sampai 2 tahun lagi sebelum PRU ke16.

Di tambah pula dengan kesukaran menyelesaikan isu peranan dan pembahagian kerusi antara PAS dengan Bersatu, maka UMNO akan termanggu jauh sebelum keputusan muktamad berani dibuat untuk keluar daripada kerajaan Madani.

Ditelan mati ibu diluah mati bini dikemam mati ayah. Oh...memang sukar. Tapi, politikus sejati ada seribu helah. Yang tidak makan makanan politik memang sukar nak baca riak dan angin. Macam aku dan macam juga Dr. Akmal yang masih mentah. Umur pun belum 40 tahun. Dia tak faham sepak terajang politik lagi. Aku juga tak percaya dengan ulasan para profesor politk yang membebel dari kamar pejabatnya di universiti. Yang benar-benar ahli dalam hal politik adalah para politikus, terlebih lagi yang otai dan telah lama berkecimpung.

Sekadar mencongak, aku mengjangkakan bahawa nikmat yang UMNO sedang nikmati ini akan lenyap ghuyub kalau ia buat keputusan ikut gegabah Dr. Akmal.Hannya didorong emosi yangada masa naik dan ada masa turun, UMNO akan menuai hasil padi yang hampa.

Kata bijak pandai, nikmat yang tidak disyukuri akan menatijahkan hilang dari mata. Apa guna kalau dengar guruh berdetum di langit, air di temapayan dicurahkan. Saf pembangkang dan Saf kerajaan adalah dua barisan soldadu yang siap berperang dan sibuk mengatur strategi siang dan malam. Masing-masing mahu satu tempat yang namanya KUASA.  Pembangkang hari ini juga pernah diberikan Allah kuasa. Allah SWT yang menjadi pemilik kuasa yang tunggal membolak balikkan kuasa di tangan manusia agar kita dapat menilai dan melihat apa yang dilakukan semasa berkuasa. 

Idealisma, ghayah bahkan prinsip dan dasar bukan laksanan gunung everest yang tidak pernah berubah tempatnya sejak jutaan tahun. Manusia sifatnya berubah dan demikian apa yang dijunjung manusia daripada idealisma, ghayah dan prinsip juga boleh berubah. Idealisma reformasi juga ada yang kendur. Ghayah negara Islam dan menegakkan syariat Islam juga bukan simpul mati. Dasar yang berpijak atas Quran dan Sunnah pun tidak kekal di tangan manusia yang berjuang untuknya. Ia bergantung pada naluri dan emosi manusia yang sifatnya bertaqallub sentiasa. 

Maka, saya tidak terpesona dengan seruan apa yang akan dilakukan, tetapi saya mahu lihat dan hanya akan lihat apa yang sedang kau lakukan. 

Andaikan, UMNO berani keluar kerajaan , siapa boleh jamin PAS dan Bersatu akan menanti digerbang perlepasan dengan mendepangkan tangan menyambut kedatangan UMNO. Boleh jadi waktu itu datang hasutan lain. Ada bilik kosang dalam istana kekuasaan. Maka, dari pintu dapur mereka masuk mengisi kekosongan itu. Berdepan denngan kuasaan, ramai yang tersungkur. Kawan setia hanya di bibir. Peluang dan kuasa boleh mengubah persahabatan.

Apakah ini sikap negatif dan penuh syak wasangka? Bukan! Ini adalah pengallaman dan pemerhatian. Ini adalah tafakkur. Ini adalah kefahaman tentang falsafah hidup di dunia. Ini adalah hakikat bahawa dunia bukan syurga. Ulama sehabat Bal'am bin  Ba'ura lagikan terpeleset, apalah sangat dengan orang yang hidup di abad 21 ini. Abad kilauan kebendaan yang menyilau mata.

Perhatikanlah dan hubaya-hubaya. Yang selamat hanya yang diberi rahmat. Allahummarhamna!

No comments: