CARI BAHAN

Tuesday, August 31, 2010

Cari lailatul Qadar

10 yang akhir ini, merupakan hari-hari penghujung Ramadhan yang malamnya dijanjikan satu malam yang bernama "Lailatul Qadar". Dalil-dalil Al-Quran dan hadis menjelaskan bahawa Lailatul Qadar adalah pada bulan Ramadhan. Persoalan bila tarikh tepatnya menjadi perselisihan di kalangan ulama.Namun, malam-malam ganjil 10 yang terakhir daripada Ramadhan menjadi pilihan pendapat kebanyakan ulama berdasarkan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:


تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان
"Carilah malam Al-Qadar pada malam-malam ganjil daripada 10 malam terakhir".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Maka, mencari malam Al-Qadar ialah dengan memperbanyakkan amal ibadat pada malam-malam tersebut. Bukanlah mencari lailatul Qadar itu dengan mencari petandanya sama ada di malamnya atau siangnya. Kalaupun dengan takdir Allah SWT, kita melihat tandanya, kalau tidak beribadat, tidaklah berguna lailatul Qadar itu kepada kita.

Orang tua banyak menukilkan cerita mengenai tanda lailatul Qadar ini. Antaranya ialah pokok-pokok bersujud, air perigi jadi membeku, langit menjadi cerah di malamnya, anjing tidak menyalak dan sebagainya. Tanda-tanda yang dinukilkan itu tidak soheh daripada nabi. Apa yang nabi SAW bersabda  mengenai tanda lailatul Qadar ini adalah malamnya tidak panas dan sejuk, rasa tenang di hati orang beriman dan subuh harinya matahari bersinar tanpa cahaya menyucuk mata.



Merdeka?

Pada detik jam 12 malam, anak-anak muda bermotosikal pelbagai jenis, dari yang berkuasa tinggi hinggalah kapcai berbondong-bondong melalui jalan di tepian tembok tersebut. Sambil menekan minyak dan bersorak gembira, mereka barangkali cuba menyatakan rasa gembira mereka atas detik 31 Ogos yang menjelma. Yang berkereta pula menekan minyak membunyikan kereta sambil melepas asap hitam. Bunga api dilepaskan ke udara dari perkarangan Navy. Mereka yang datang mengerumuni dataran tembok melengok ke udara.

Sambutan ambang merdeka sudah dinyatakan bahawa tidak dianjurkan oleh kerejaan. Namun, sebahagian anak muda  yang terdidik dengan sambutan ambang merdeka beberapa tahun dahulu, sudah biasa. Lagipun, pemberhentian sambutan ambang merdeka itu dihentikan sementara kerana menghormati kesucian Ramadhan. Itu sahaja. Bukan kerana memberhentikan gejala tidak sihat yang tumbuh di kalangan rakyat, khususnya muda mudi.

Apalah makna merdekanya negara bagi anak-anak muda itu. Merdeka disambut bukan dengan rasa syukur tetapi dengan hiruk pekik yang membawa kepada sirnanya pancaran akhlak Islam.

Jangan sesal jika merdeka itu memberikan apa-apa makna. Merdeka negara tetapi jiwa warga terhamba di bawah pengaruh syaitan dan nafsu!

Monday, August 30, 2010

Nikmat menyebar risalah

Berdakwah dengan menyebar risalah kepada orang ramai bukan mampu dilakukan oleh semua orang. Ia memerlukan keberanian dan sifat berjiwa besar kerana pada saatnya ada risalah yang kita berikan mengundang tindak balas yang kita tidak jangkakan. Sesetengah orang memikirkan bahawa menyebarkan risalah akan mendedahkan identitinya berdasarkan risalah yang diedarkannya. Banyak orang mahu berjuang tetapi tidak suka dikenali, lebih-lebih lagi jika perjuangan itu bukan mengikut arus perdana. Dengan kata lain, perjuangan itu berada di kelompok yang tidak mesra pemerentah.

"Aku banyak dikenal orang...", Kata seorang ustaz yang popular dan  sering menerima jemputan ceramah di sana sini. "Nanti orang tahu aku dari kelompok mana. Ia menyukarkan tugas dakwahku.", Dengan itu dia menguzurkan diri untuk menyertai mana-mana gerakerja berbentuk penyebaran risalah.

Jika dilihat, dengan tidak menyertai penyebaran risalah itu, dakwahnya pun tidak selestari mana. Berselindung macam mana pun, tidak menambahkan hebatnya medan dakwahnya. Kehebatan dalam dakwah bukan diukur pada ceramah berapi-rapi. Bukan juga berapa ramai  khalayak pendengar.Tetapi ia diukur sejauh mana ia mampu mengubah manusia. Apabila manusia berubah kerana dakwahnya, itu tandanya ada keberkatan. Kerana itu, dakwah yang berkat tidak semestinya datang daripada ustaz. Mungkin sahaja ia terbit daripada kerja-kerja biasa anak-anak muda yang ikhlas berdakwah dengan cara penyebaran risalah!

Pada saat aku mula berjinak-jinak dalam dakwah melalui penyebaran risalah ini, aku merasa sangat berat sekali. Malunya untuk pergi kepada khalayak dan menghulurkan kertas. Berpeluh juga untuk menghabiskan walau 10 risalah. Namun, setelah saban tahun aku terjun dalam kerja-kerja ini, ada semacam perasaan nikmat dalam serelung hatiku. Aku merasa satu kepuasan. Puas kerana dapat mendekati anak muda yang sedang melepak di tepian tembok, menyampaikan pesanan yang tertera dalam sehelai kertas. Bermacam-macam ragam manusia akan kita temui. Kita belajar menenangkan diri saat menghadapi manusia pelbagai reaksi. Kita juga berpeluang berlatih mengucapkan kata nasihat pada saat yang sesuai.  Kita mencernakan gaya sebenar seorang pendakwah yang melata di antara rerumput dan bukan terbang dari bintang ke bintang laksana komet.

Kini, aku sudah betah menjalankan misi penyebaran risalah dakwah. Sambil menyebar risalah, aku cuba memperbaiki pendekatan dengan mengucapkan kata-kata nasihat kepada yang menerimanya.

"Ini risalah untuk dibaca...semoga dapat faedah...", demikian paling tidak kuucapkan.

Ya Allah, jadikan apa yang kami lakukan ada perkiraan di sisiMu di akhirat kelak.

Niat tidak mengatasi amal

Sesetengah orang melihat keutamaan pada hati. Bila sebut hati, termasuklah niat. Mereka kata, asal hati baik, tak kiralah macam mana pakaiannya. Kemudian dikatakan pula, kalau pakaian bagus macam mana sekalipun, apalah guna kalau hati jahat. Ayat ini selalu dikumandangkan oleh golongan artis yang mana mendedahkan aurat menjadi keperluan dan budaya hidup mereka. Ketika ditanya kenapa anda sudah balik dari Makah, baru buat haji, tapi cara pakaian tak melambangkan hajjah. Jawapan simplistik mereka adalah pakaian tak penting. Hati yang penting.

Seorang teman menceritakan satu cerita tentang mimpi seorang lelaki yang tertidur di pinggir Ka'abah. Dalam mimpinya dia diberitahu oleh seseorang bahawa semua hujjaj yang mengerjakan haji pada tahun tersebut tidak diterima hajinya. Hanya niat haji seorang tukang kasut yang tinggal di sebuah negeri belahan Iraq yang tak sampai pun ke Makkah yang diterima. Ini kerana, dalam cerita tersebut, dia telah bertahun-tahun mengumpulkan wang hasil kerja sebagai tukang kasut dengan niat hendak ke Makkah. Pada waktu wangnya sudah cukup, dia dipertemukan dengan satu peristiwa yang mengubah hasratnya. Seorang ibu memasak bangkai kuda buat makan anak-anaknya kekrana kemiskinan. Kasihan kepada si ibu dan anak-anaknya, tukang kasut itu menyerahkan semua hasil simpanannya kepada mereka anak beranak buat membeli makanan halal.

Kerana niatnya untuk pergi haji dan kebaikan hatinya, maka hajinya ia satu-satunya orang yang diterima hajinya oleh Allah SWT.

Aku keberatan menerima pengajaran cerita ini sebagai sandaran dalam berhujah. Selamanya, aku mengambil sikap menolak mimpi sebagai hujah. Mimpi hanya sekadar hiasan cerita dan tiddak punya nilai dalam berhujah. Sementelahan pula, mimpi ini menceritakan keutamaan niat berbanding amal. Amat luar biasa fadhilat niat. 

Trend mengutamakan niat ini menjadi kegemaran golongan seperti artis yang dinyatakan tadi. Mereka mengatakan niat yang afdhal. Amal, penampilan dan luaran jatuh nombor dua. 

Menjawab hujah yang meletakkan niat begitu istimewa, kita cuba kembali kepada fakta mengenai iman itu sendiri. Iman menurut nabi bukanlah tamanni tetapi ia adalah tasdiq dalam hati, iqrar dengan lisan dan amal dengan anggota. Walaupun nabi mengatakan taqwa itu "ha huna" sambil mengisyaratkan kepada dadanya, takwa mempunyai pancaran lahiriah. Sebab itu orang bertaqwa dan tidak dikenali berdasarkan lahiriahnya.

Pemuda yang hidup berjemaah

Antara dua pemuda ini mana yang lebih anda sukai mengimamkan solat jemah yang anda sertai. Satunya seorang pemuda yang terlibat dengan gerakan dan yang satu lagi tidak terlibat dengan gerakan. Gerakan yang dimaksudkan adalah hidup berjuang dalam jemaah. Kedua-duanya sama baik dari segi akhlaknya dan sama elok bacaannya. Kaytakanlah pemuda yang terlibat dalam gerakan itu adalah pemuda yang bukan ustaz dan pemuda yang tidak terlibat dengan gerakan itu seorang ustaz. Mungkin itu satu kelebihan fardi bagi pemuda yang tidak terlibat dalam gerakan. Kelebihan fardi pemuda yang terlibat dalam gerakan itu pula ialah penglibatannya dalam gerakan.

Mana lebih anda sukai?

Sebagaimana solat dibuat secara berjemaah, maka demikianlah juga hidup dan perjuangan. Ia perlu melalui cara berjemaah. Seorang yang hidup dan perjuangan bergerak atas landasan jemaah tentu lebih berhak memimpin sebuah jemaah solat berbanding seorang yang hidup dan perjuangannya secara sendiri.

Wahai pemuda...mengapa anda tidak malu di depan Tuhanmu saat memimpin jemaah solat sedang dalam kehidupan dan perjuangan anda menjadi laksana alghanamil qasiah?

Khawarij memperjuangkan furu'

Mungkin kerana hendak memperlihatkan kepada rakyat bahawa ia adalah pembela agama, maka beberapa kerat pemimpin kerajaan menunjukkan kemarahan mereka berikutan doa untuk orang bukan Islam dalam khutbah dan membenarkan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid dan surau. Itulah tahap agama yang kerajaan ada. Agama yang bersifat furu'. Hukum menyebut nama bukan Islam dalam khutbah bukan masalah pokok. Demikian juga hukum orang kafir masuk ke dalam masjid.

Masalah pokok, pemimpin tersebut tak menyibukkan diri. Masalah melaksanakan kandungan Al-Quran dalam bernegara dan menegakkan daulah Islam yang lengkap dengan ciri-cirinya, itu adalah antara masalah pokok. Ia berkaitan dengan akidah dan keyakinan kita kepada Al-Quran sebagai sumber primer dalam Islam.

Ciri-ciri pejuang agama yang mengutama soal furu' seperti ini adalah perwatakan golongan khawarij.

Sunday, August 29, 2010

Ulamalah pembela agama.

Sultan membela agama Islam?Benarkah? Yang tertulis dalam perlembagaan begitulah. Sultan adalah ketua agama Islam. Sebab itu Majlis-majlis agama Islam bertanggungjawab secara langsung kepada Sultan. Imam-imam masjid, siak dan bilal, mereka semua itu ditauliahkan jawatan mereka oleh Sultan. Kerana Sultan dikatakan ketua agama Islam dan pembela agama Islam.

Apabila berlaku isu YB bukan Islam masuk surau, Sultan pun murka. Kalau zaman Melaka dulu, murka Sultan itu amatlah dahsyatnya. Petir halalintar pun belum sedahsyat ketakutan terhadap murkanya sultan.Tapi zaman sudah berubah. Zaman dulu rakyat bebal dan bodoh. Rakyat macam lembu dan kerbau. Mudah dicucuk hidung. Pada masa ini rakyat dan mendapat pelajaran. Malah rakyat lebih cerdik daripada Sultan. Pelajaran Sultan pun tidak setinggi sesetengah rakyat.

Rakyat tak heran lagi dengan tulah dan daulat. Rakyat pejam mata malam hari tak fikir pun siapa sultannya. Buka mata esok pagi, tak tertanya-tanya pula siapa sultannya. Kalau sultan dapat anak, rakyat tak ambil tahu pun. Tak rasa gembira pun. Kalau sultan mati, rakyat tak juga bersedih. Menangis pun tidak. 

Zaman dah berubah banyak. Perubahan disebabkan ilmu. Zaman ini pangkat dan darjat bukan diukur berdasarkan darah kerabat ningrat. Ramai rakyat berdendang. Darah sama merah. Kentut sama busuk. Mati masuk ke lubang kubur yang sama luasnya.

Rakyat telah merdeka. Rakyat tidak lagi berkata "hamba patik mohon ampun". 

Waadat Sang Sapurba dan Demang Lebar Daun dah lama berkubur.

Islam terbela bukan oleh Sultan. Islam terbela oleh perjuangan ulama yang berfikrah. Kalau tidak,  dah lama Islam di bumi Melayu jadi agama Melayu. Mengapa bila pasal seorang bukan Islam masuk surau, kita hendak mengadu kepada Sultan. Apa pasal pula Sultan hendak murka. Sebab orang menghina Islamkah? Kalau menghina Islam, dah banyak yang berlaku. Tak laksana hukum Quran dalam negara itu sudah sebesar-besar penghinaan. Namun, sejak dulu hingga kini belum ada seorang pun sultan yang bangkit membela satu hal ini.

Tanyalah ulama yang ada fikrah. Jangan tanya Sultan. Jangan juga tanya ulama yang ada barah dalam otaknya.Ulama yang berfikrah boleh jawab. Merekalah pembela agama. Merekalah sebenarnya ulil amri!

Igauan para juhala

AJK masjid dan surau sudah menunjukkan jiwa besar mereka membenarkan orang bukan Islam masuk ke dalam masjid dan surau. Siapa tahu dengan masuk ke dalam masjid dan surau, mereka yang bukan Islam itu tertarik kepada Islam dan masuk Islam? Tapi, orang yang bukan AJK masjid dan surau pulau yang melatah bila ada YB Cina bukan Islam masuk ke dalam masjid.

Hairan sekali dengan bebal dan jahilnya orang yang membantah peristiwa masuknya YB Teo Nie Ching ke dalam sebuah surah di Kajang. Di masjid negara setiap hari pelancong masuk ke dalam masjid. Di antara pelancong tersebut pula adalah warganegara US, negara yang dilebel sebagai harbi. Tapi tak ada pula suara membantah. Pandai pula mereka menjustifikasikannya sebagai medium dakwah. 

Dakwah? Dah berapa orang mat saleh yang masuk Islam dengan cara menjadikan masjid sebagai tempat lawatan mereka?

Yang sibuk membantah itu pun bukan selalu ke masjid. Mereka melihat masjid sebagai tempat suci dan pergi seminggu sekali buat mencuci dosa. Macam sahaja puak kristian pergi ke gereja setiap Ahad untuk mendapat pengampunan dari padri.

Ada pula YB lompat yang kononnya pejuang Islam menyifatkan kejadian masuknya YB tersebut ke surau itu adalah lambang ketaksuban politik. Ketaksuban agamanya sangat jelik dan tempang. Meracau dalam politik, meracau dalam agama tanpa ilmu. Ilmu agama yang dipetiknya pula pramatang. 

Sungguh hebat sikap Nik Aziz dalam meladeni isu ini. Bijaksana dan berpaksikan ilmu. Demikian tokoh-tokoh ilmuan yang menghujahkan kebolehan orang kafir masuk ke masjid dengan dalil-dalil. Alangkah jauh bezanya mereka yang berilmu dengan mereka yang jahil.

Orang jahil, masa tidurnya mengingau dan masa jaganya juga mengingau!


Bila PAS akan menggalakkan poligami?

Al-Arqam telah berjaya melaksanakan sunnah poligami dalam jema'ah dengan jayanya. Sehingga Al-Arqam dibubarkan dan bekas ahlinya bergerak dalam perbagai aktiviti yang disatukan dengan di bawah syarikat Rufaqaa dan kemudian bertukar kepada syarikat Ikhwan, sikap ahlinya tehadap poligami masih serupa. Muslimatnya begitu positif terhadap poligami. Sehingga pemimpin kerohanian agungnya meninggal, isterinya Khadijah Am tetap punya tanggapan positif terhadap poligami sehingga beliau menubuhkan kelab isteri-isteri berpoligami. Veliau juga mengarang buku yang menghujjahkan kebenaran poligami.

Dalam zaman kaum wanita muslimah berdepan dengan pelbagai masalah ini, poligami sepatutnya dilihat sebagai satu jalan penyelesaian. Bertambahnya wanita muslimah yang andartu tak akan dapat diselesaikan. Janda-janda terbiar yang kekadang membawa kepada terjerumus ke kancah penzinaan dan pelacuran, seharusnya direlakan untuk penyelesaian mulia melalui poligami.

Tetapi, kaum feminis itu lebih rela wanita hidup hina dan terbiar daripada menjadi isteri kedua, ketiga dan keempat. Malah, mereka lebih rasa terhormat melihat wanita menjadi simpanan tanpa nikah lelaki durjana daripada menjadi isteri sah seorang suami!

Dalam jemaah PAS, poligami masih lagi dilihat dengan pandangan serong. Muslimat PAS yang mampu bercakap soal perjuangan, sunnah Rasul dan daulah Islam pun masih keberatan menerima poligami untuk dimasukkan dalam kehidupan mereka. Kalaulah dalam PAS poligami dapat dibudayakan, kemenangan akan menjadi lebih cepat dan mudah. Pengaruh PAS lebih cepat merebak. Sayangnya, poligami tidak dilihat sebagai satu aset dalam perjuangan.
Poligami dilihat hanya menguntungkan lelaki. Poligami dikaitkan dengan ketamakan nafsu lelaki. Maka, berapa ramai pula para ustaz dan ulama yang sanggup beristeri satu sedangkan dia sepatutnya berpoligami jika dilihat dari keuntungan perjuangan. 

Semoga satu masa, PAS boleh menerbitkan penekanan poligami untuk diamalkan dalam jemaah. Sebahagian masalah sosial akan terungkai dengan poligami. Percayalah! Ini bukan kerana nafsu lelaki. Ini berkenaan menyelamatkan ummat dan memperkukuhkan ummat.

Sebelum saat itu, tarbiah ahli perlu cukup mantap terutama kaum muslimat!

Mukhlas bukan mukhlis

Allah berfirman dalam surah Saad ayat 82-83:


قال فبعزتك لأغوينهم أجمعين إلا عبادك منهم المخلصين


"Berkata syaitan, demi kemuliaanMU (Wahai Tuhan), akan aku tipu semua manusia. Kecuali hamba-hambamu yang mukhlasin".

Hanya hamba-hamba Allah yang mukhlas sahaja yang akan selamat daripada tipudaya syaitan.Hamba Allah yang mukhlas, bukan mukhlis. Ada perbezaan antara mukhlas dengan mukhlis. Mukhlis adalah orang yang ikhlas, sedangkan mukhlas adalah orang yang diselamatkan oleh Allah SWT.

Tidak semua orang mukhlis itu mukhlas. Tapi semua yang mukhlas, tentulah mukhlis. Berapa ramai orang yang  mulanya mukhlis lalu hilang ikhlasnya disebabkan sesuatu perkara. Maka orang itu mukhlis tapi bukan mukhlas.

Untuk menjadi orang mukhlas, orang yang selamat daripada tipudaya syaitan, pertamanya memanglah kita  perlu menjadi orang mukhlis dahulu. Tapi itu tidak cukup. Kita perlu melakukan perkara-perkara yang boleh menetapkan sifat ikhlas dalam diri kita selama-lamanya. 

Antara yang terpenting adalah berdoa kepada Allah mengharapkan keselamatan daripadaNya.

Dosanya lebih besar dari zina, minum arak, berjudi dan bunuh orang!

"Dosa meninggalkan solat itu lebih besar dari dosa kerana berzina, minum arak, berjudi dan membunuh....", aku menegaskan perkara itu ketika berceramah mengenai Ramadhan di PPP Sepilok dan ketika memberi tazkirah Subuh di surau Al-Fajr. 

Mungkin kedengarannya seperti keterlaluan. Tapi itulah hakikatnya.

"Berzina, minum arak, berjudi dan membunuh orang sekalipun, dosanya tidak sampai meruntuhkan agama....", aku menyatakan alasan.        

Sungguh banyak orang mengabaikan solat. Puasa sebulan, berlapar dan dahaga , sanggup. Namun, mendirikan solat yang tidak sampai 5 minit itupun malas. Dalam hadis nabi menegaskan:

"Siapa meninggalkan solat dengan sengaja, maka dia telah kafir yang nyata",

Para pendakwah berhati hati ketika mengaitkan antara solat dengan puasa. Orang yang rajin berpuasa terus dipuji dan disanjung serta diceritakan ganjaran pahala besar buatnya biarpun solatnya diabaikan. Takut kalau dikaitkan solat dengan puasa, nanti timbul kemalasan orang untuk berpuasa pula.

"Kalau dah puasa tak diterima, tak payahlah kita puasa!",. takut jawapan itu yang keluar.

Kalau aku...

"Kalau tak mahu puasa, jangan puasa. Kalau puasa tak solat, percuma sahaja...", jawapan biar tegas. Usah membohongi mereka dengan pujukan melankolik. 

Islam tidak menjadi lemah dengan tidak berpuasanya orang yang tidak mendirikan solat!

Saturday, August 28, 2010

Agamawan konservatif dalam UMNO.

Mereka membantah nama pemimpin bukan Islam disebut namanya dalam khutbah Jumuat.  Mereka kata nama Yang Dipertuan Agung seharusnya disebut dan didoakan bukan nama Ketua Menteri Pulau Pinang. Lim Guang Eng. Kebetulan kejadian itu terjadi di negeri Pulaua Pinang dan nama pemimpin bukan Islam yang disebut itu pula adalah pemimpin yang bukan dari parti pemerintah. Maka, jadi riuhlah soldadu yang sekian lama kepeningan itu menggemerincingkan lembing dan tombak yang tidak bermata. Andaikan jika kejadian itu terjadi di Johor dan yang disebutkan nama dalam khutbah itu ialah Chua Soi Lek, tentu keriuhannya tidak seberapa. Sekalipun nama Lee Kwan Yew yang disebutkan.

Kemudian, ketika seorang perempuan Cina bukan Islam, masuk ke dalam  surau untuk menyampaikan sumbangan di samping berucap, mereka melatah dan mengatakan orang kafir tak boleh masuk rumah ibadat orang Islam. Kata mereka perempuan cina itu tidak menutup kepala. Orang kafir tarafnya macam wanita berhaid. Tak boleh masuk ruang solat. Macam-macam lagi fatwa-fatwa separa masak keluar dari lidah mereka. 

Alhamdulillah, pendapat tersebut berada di pihak pemerintah yang sedang mengalami kejatuhan moral agama. Pendapat yang melarang nama orang bukan Islam disebut dalam khutbah dan melarang orang bukan Islam masuk ke dalam masjid ini adalah pendapat agamawan klasik yang menolak tajdid. Mereka kini menjadi harta modal kerajaan yang ada. Namun, golongan agamawan seperti ini sudah terpinggir dari arus. Lambat cepat, golongan ini terpelanting terus.

Alhamdulillah juga, PAS sebagai sebuah parti yang memperjuangkan Islam bangkit dengan corak pemikiran agama yang lebih moden yang bersifat murunah dan menerima banyak idea tajdid. Islam yang diperjuangkan PAS tidak melayani ketaasuban agama tak berasas dan fiqh klasik yang tidak menguntungkan. Idea-idea kontemporeri banyak mendominasi perjuangan PAS.

Sungguhpun beberapa bulan lalu kita seolah-olah digemparkan dengan kemasukan 40 orang ulama muda ke dalam UMNO yang merupakan ustaz-ustaz yang dikenali sebagai golongan pro tajdid, mereka tidak dapat mentajdid corak pemikiran agama yang ada dalam UMNO.

UMNO masih lagi dengan karat sekularisme yang membuang agama dari dunia. Masjid adalah tempat suci untuk ritual agama. Oleh itu, hal-hal yang tidak berkaitan ritual agama tidak boleh dibawa ke dalam masjid. Apa lagi membawa orang kafir ke dalam masjid. Demikian juga khutbah, tak boleh sebut nama orang kafir.  Tapi kalau khutbah itu sebut program-program keduaniaan yang dilaksanakan kerajaan tidak mengapa.

Oh...YB Cina itu tidak bertudung masuk ke masjid. Barangkali sebab itulah wanita UMNO akan pakai selendang tutup sebahagian kepala kalau hendak masuk masjid. Pada hemat mereka tudung dipakai dalam masjid. Kalau Cina itu pakai tudung tak apalah. Bolehlah dia masuk ke dalam masjid. Dari pak guru mana mereka belajar bahawa bila nak masuk masjid kena pakai tudung. Pakai tudung itu wajib untuk semua muslimah, tak kira di dalam masjid atau di luar masjid. Ia tidak wajib buat yang bukan muslimah. Hukum Syariat tidak dibebankan ke atas yang bukan Islam.

Agama di Malaysia dah lama didominasi golongan konservatif. Dakwah tak marak. Maraknya dakwah hari ini hasil perjuangan NGO dan parti politik berhaluan Islam yang bertindak sebagai gerakan Islam. Inilah yang tidak ada dalam UMNO tetapi agamawan konservatif banyak bergentayangan dalam UMNO.

Nasibmulah wahai UMNO....

Syura bukan demokrasi?

Syura bukan demokrasi. Ya, memang syura bukan demokrasi dan demokrasi bukan syura. Keduanya tidak sama. Namun, dalam demokrasi ada syura, Syura tidak ada dalam sistem raja mutlak. Syura tidak ada dalam sistem kuku besi. Puak HT mendakwa bahawa syura dan demokrasi tidak punyai kaitan atas alasan berikut:

Demokrasi menjadikan suara rakyat sebagai pemutus. Ini bukanlah apa yang dimaksudkan dengan syura kerana pemutus mutlak dalam Islam adalah syariah.

Itu memang sudah kita maklumi. Siapa menafikan bahawa pemutus mutlak dalam menentukan hukum adalah syariah? Dengan kata lain, hanya Allah sahaja memutuskannya. Bukan rakyat. 

Tetapi demokrasi memberikan kuasa kepada rakyat!

Saudara...dalam demokrasi pun, bukan semua rakyat memutuskan. Rakyat hanya mengundi memilih pemimpin. Tidak ada satu pun undang-undang yang diluluskan di parlimen itu diundi oleh setiap rakyat.  Ahli parlimenlah yang mengundikannya sama ada sesuatu undang untuk diabsahkan atau ditolak. Begitulah sisitem demokrasi meluluskan undang-undang. Jadi bukan raktay semuanya. Tapi, oleh kerana rakyat yang memilih ahli parlimen itu, dikatakan rakyat yang meluluskan undang-undang tersebut atau menolak undang-undang tersebut.

Bagaimana untuk merealisasikan pemutusan hukum oleh syariah semata-mata? Siapa yang akan mewakili Allah? Sudah tentu di sini timbul persoalan. Memang syariah pemutus tapi syariah bukan orang! Apakah puak HT mahu mengatakan khalifah seorang sahajalah yang memutuskan sebab dia mewakili Allah. Tak perlu mesyuarat dengan rakyat sebab melaksanakan hukum Allah tak perlu mesyuarat. Khalifah bukan Allah.  bukan juga nabi. Bukan sahabat nabi. Khalifah manusia biasa yang terdedah kepada godaan syaitan. 

Melalui cara demokrasi,  rakyat memilih sekelompok ahli parlimen untuk memutuskan hukum. Jika ahli parlimen yang dipilih itu kalangan yang beriman dan bertakwa, mereka akan mengundi menegakkan hukum Allah. Sepatutnya tak payah diundi pun. Memang hukum Allah tak layak diabsahkan dengan undi manusia. Tetapi itu cuma formaliti dalam pemerintahan. Dalam iman dan akidah, hukum Allah  hendaklah tertegak biarpun manusia mengundi menafikannya.

Demikian juga, kalau khalifah yang dipilih itu beriman dan bertakwa maka dia akan menegakkan hukum Allah. Sebenarnya hukum Allah tegak bukan dengan pengabsahan khalifah pun. Dia tak layak mengesahkan hukum Allah kerana hukum Allah sememangnya mahu tak mahu wajib ditegakkan. Tiada pilihan!

Tapi, bagaimana hendak memilih khalifah yang beriman dan bertakwa. Dalam sejarah, ada khalifah yang teruk sekali iman dan takwanya. Hari ini puak HT mengakui dia sebagai khalifah juga kerana bagi puak HT khalifah hanya tamat pada tahun 1924. Sebelum itu, khalifah sentiasa bersilih ganti.Tak mengapalah. Biar zalim macam mana pun, dia khalifah juga. Cuma, kita melihat satu kenyataan bahawa yang nama khalifah itu tak semestinya manusia terbaik. 

Sistem pewarisan tahta yang digunakan untuk mengangkat khalifah (kemudian katanya ada bai'ah yang mengesahkannya) ternyata tak mampu memilih orang terbaik menjadi khalifah. Kekadang mojoriti rakyat tidak menyukainya. Kerana rakyat tidak sukakannya, ada khalifah tertentu yang menggunakan besi untuk memaksakan kerelaan rakyat atas perlantikannya.

Sistem demokrasi pun belum tentu mengangkat pemimpin yang terbaik. Manusia boleh bertopeng malaikat dan menyembunyikan kesyaitanannnya sehingga rakyat tertipu dan mengundikannya. Tapi, demokrasi memberi ruang rakyat memilih dan menjatuhkan pemimpin. Korban penggulingan tidak seteruk menggulingkan pemimpin yang terangkat dengan sebab pewarisan tahta. Kita telah lihat sepanjang sejarah apa akan berlaku kalau seorang raja mahu digulingkan.

Persoalan sekarang bukan berkisar mengenai siapa pemutus hukum. Rakyat atau Allah? Memang Allahlah pemutus hukum yang satunya. Tak payah didebatkan lagi.

Demokrasi kata dari rakyat untuk rakyat. Itu falsafah. Perlaksanaannya secara praktikal adalah dari ahli parlimen untuk rakyat.

Kalau kita kata dari khaliq untuk manusia, perlaksanaannya bagaimana? Tak guna dendangkan sesuatu yang kita tak tahu cara melaksanakannya. Cara melaksanakannnya itulah yang perlu melibatkan manusia.

Apakah bila manusia terlibat kita katakan telah ternafi hak mutlak Allah tersebut?

Kalau begitu bagimana menjaga hak mutlak Allah sebagai syaari'  yang satu-satunya? Seorang khalifah atau rakyat terbanyak yang kita harus percayakan?

Friday, August 27, 2010

Isteri cerminan suami

Ketika  berbual dengan lelaki itu buat pertama kalinya tentang beberapa isu agama, nampaknya pemahamannya agak baik. Dia menceritakan kepadaku tentang perjuangannya merubah ketempangan agama masyarakat di sebuah kepulauan tempatnya bertugas. Masyarakat kepulauan yang kaya dengan kepercayaan khurafat dan meringankan kewajipan agama.

Alhamdulillah. Apa yang diperkatakannya itu tidak salah. Malah amat bertepatan dengan agama.

Pada satu hari, sewaktu berjalan di bazar Ramadhan, aku bertemu dengannya. Dia bersama isterinya. Dia berseluar singkat bawah lutut manakala isterinya seorang wanita yang tidak bertudung. Kami betegur dan kemudian berlalu.

Oh...lelaki boleh berbicara hebat tentang agama dan isu-isu berkaitannya. Tetapi, jika isteri gagal ditarbiah, itu merupakan kayu ukur muktamad kegagalan lelaki itu. Isteri adalah cermin kepada wajah sebenar sang suami. Kalau isteri tak bertudung, tak usah percaya manisnya bicara agama si lelaki. 

Jangan terpesona dengan pidato pak menteri berapi-rapi tentang agama kalau kepala isterinya seperti bonggol unta. Lelaki perlu belajar memerintah isterinya sesuai dengan kehendak Allah barulah dia boleh dipertanggungjawabkan.

Ya Allah...berikan daku kekuatan dan jadikan isteriku seperti khadijah!

Miski mustahil aku menjadi seperti Muhammad!

Ya Allah...pelihara daku untuk baki hayatku!

Kerlmarin aku menyampaikan ceramah di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok, Sandakan,  kepada sebilangan kakitangannya. Tajuk ceramah adalah "Impak Puasa Ramadhan dalam kehidupan". Aku menyampaikan apa sahaja isi tentang puasa Ramadhan. Sesi soal jawab lebih panjang dari sesi ceramah. Sememangnya kehendak warga PPP ialah ruang soal jawab. Dari jam 10 sehingga jam 12 aku bersama mereka. Hampir masuk Zohor masih banyak persoalan yang ingin dilontarkan oleh warga kerja yang mengikuti sesi ceramahku pagi itu. Pengerusi terpaksa menghentikannya.

Hari ini, aku menyampaikan ceramah sempena nuzulul Quran di Masjid SMK Elopura Bestari kepada para pelajar tahap 2. Ceramah diadakan selepas solat jumuat.  Aku hadir atas jemputan sahabatku Ust. Khairul Asyraf.

Aku bukan seorang penceramah yang berkaliber. Aku masih belajar seni ceramah. Ceramah-ceramahku bukan oratik dan tidak kaya humur sebagaimana sebilangan penceramah terbilang. Tetapi, apa nak buat. Allah yang mentakdirkan aku perlu menyampaikan ceramah. Atas kesedaran bahawa setiap jemputan adalah susun atur daripada Allah SWT, aku tidak tega menolak.

Mujur sungguh Allah melimpahkan kasih sayangNya kepadaku dan menjaga harga diri keustazanku sehingga kini. Banyak sekali pancaroba zaman remaja dan muda beliaku sebelum mencapai umur sekarang. Tetapi, sejauh yang aku sedar, Allah telah memeliharaku daripada terjerumus ke lubang yang bertebing tinggi. Kiranya aku pernah terjatuh ke lubang dalam di zaman remaja dan muda beliaku yang lalu, tentu amat malu sekali bagiku untuk berbicara sebagai penceramah.

Alhamdulillah. Aku ingin mengucapkan syukur kepadaNya atas segala perkara lalu yang terjadi yang tidak disukai oleh hatiku. Benarlah bahawa apa yang kita sukai, belum tentu baik untuk kita. Apa yang kita benci, boleh jadi baik untuk kita. Semasa kita berdepan dengan sesuatu persimpangan, kita tidak tahu hikmah di sebaliknya. Hikmah datang setelah makan masa bertahun-tahun.

Subhanallah...

Thursday, August 26, 2010

Niat membatalkan ibadat.

"Ibu, saya mahu buka puasa, boleh ke?", seorang anak bertanya ibunya
"Nantilah nak, tak lama lagi tu...tahan je...", pujuk ibunya.
Tak larat le bu...", keluh anaknya.

Maka, puasa anak itu terbatallah kerana dia memutuskan niat ibadatnya. Tetapi untuk anak-anak yang baru belajar berpuasa, janganlah dihiraukan sangat tentang memutuskan niat ini. Asalkan anak itu tak makan dan tak minum, sudah memadailah. Bagi orang dewasa, perlulah perhatikan baik-baik hal memutuskan niat ibadat ini. Janganlah sesuka hati berniat untuk berbuka puasa kerana ia membatalkan puasa.

Semasa kita melaksanakan sesuatu ibadat, kita berniat kerana Allah. Ikhlas. Tetapi ketika ibadah sedang dijalankan kita mengubah niat kita. Maka, niat bukanlah satu perkara akan kekal sehingga selesai sesuatu ibadah. Seseorang yang sedang bersolat, andainya dia berniat memberhentikan solat jika berlakunya sesuatu perkara, maka solatnya telah pun batal saat dia berniat membatalkan itu sebelum dia melakukan apa yang diniatkannya.

Demikanlah aku menghuraikan buat seorang ibu sewaktu dia bertanya tentang perkataan anaknya di kala sedang berpuasa.

Wednesday, August 25, 2010

Ke mana kempen kibar jalur gemilang

Hari ini sudah mencecah 25 Ogos. Bukankah ini bulan kemerdekaan? Semasa zaman Dr. Mahathir berdepan dengan kemerosotan reputasi politik, beliau memperkenalkan kempen kibar jalur gemilang di premis-premis dan kenderaan. Sejak permulaan kempen tersebut diwar-warkan lagi , sambutan rakyat berbelah bagi. Pada masa itu kempen tersebut dilihat sebagai usaha mengukur sokongan rakyat kepada kerajaan pimpinannya. Sebahagian besar memandang pesimis dan tidak menyahut seruan tersebut.

Sehingga pemerintahan sudah berpindah tangan kepada perdana menteri berikutnya, rakyat masih melihat asosiasi rapat antara kempen mengibar jalur gemiliang  dengan usaha kerajaan secara simbolik mempamerkan sokongan rakyat kepadanya. Kepercayaan rakyat kepada kerajaan sedia ada belum pulih sepenuhnya.

Maka, kempen kibar jalur gemilang tidak mendapat sambutan rakyat. Pernah beberapa tahun lepas bendera Malaysia diedarkan secara percuma. Itupun tidak ramai yang memasangnya di kenderaan masing-masing.  Tahun ini, hampir tiada kereta yang memasangkan jalur gemilang menyusur di jalan raya.

Apa erti semua ini?

GAH adalah serigala makir

Seekor serigala melihat segugus rambutan berjuntai di dahan. Ia terliur dan cuba melompat untuk mendapatkannya. Tetapi lompatannya tak cukup tinggi untuk memungkinkannya menggapai gugusan rambutan itu. Biarpun ia berusaha melompat, kemampuannya tak sampai juga. Lalu, dia berlalu. Kelakuannya disaksikan oleh seekor monyet di atas pokok rambutan itu. Sang monyet memanggil serigala. Serigala berhenti dan berpaling melihat monyet. Rasa malu ia kalau-kalau monyet melihat kegagalannya mendapat rambutan itu. 

"Hai sang serigala, kenapa kau pergi sebelum mendapat rambutan itu?", tanya sang monyet.

" Rambutan itu masam...", balas serigala selamba.

Monyet terlopong. Tangannya menggapai sebiji rambutan lalu dikupas dan memakannya. Rasanya manis dan enak sekali. Sang serigala melihat dengan terliur.

"Buah yang masam itu pun kau makan monyet? kamu jenis yang lapar dan tak memilih", rugut serigala.Ia pun berlalu pergi sambil merugut.

Hari ini kompilasi hadis tersedia di depan kita sebagai sumber ilmu agama yang menakjubkan di samping Al-Quran. Usaha gigih dan kemampuan luar biasa ulama silam mewariskan kepada kita hadis-hadis nabi  sukar ditandingi oleh manusia zaman kita. Kalau kita cuba mengenali peribadi imam Bukhari menerusi biografinya yang ditulis ramai orang, kita akan menemui ketakjuban mengenai keberadaannya dalm dunia hadis. Dia adalah anugerah Allah untuk menyinari dunia ini dengan hadis nabi.

Namun, golongan anti-hadis yang meragui malah menolak fungsi hadis sebagai sumber hukum Islam, adalah laksana serigala yang gagal menjamah rambutan lalu dikatakan rambutan masam. Mereka itu adalah orang-orang yang lemah akal dan sering pelupa. Mereka menolak autoriti hadis tak percaya ulama hadis mampu menghafal hadis nabi ,  tetapi dalam masa yang sama mereka sering merujuk tulisan ilmiah mereka kepada karya-karya ilmuan Barat. Mereka percaya pula kepada fakta-fakta yang tertulis dalam tulisan para orientalis dan mengakuinya sebagai berautoriti dalam dunia ilmiah.


AKAL-AKALAN

Mana lebih baik? Solat taraweh 20 rakaat atau 8 rakaat? Tak payah pakai hadis untuk jawab pertanyaan ini. Pakai akal-akalan sahaja. Kalau kita tanam 8 batang pokok kelapa sawit dengan tanam 20 batang pokok kelapa sawit, manakah lebih banyak mendatangkan hasil?
Aku tidak bersetuju dengan akal-akalan begini. Persoalan ibadat tidak boleh main akal-akalan. Kalau mahu main akal-akalan, baik ditanya mana lebih baik? Solat subuh 2 rakaat atau 4 rakaat? Tentu akal-akalan akan mengatakan 4 rakaat itu lebih baik sebab ia lebih banyak. 

Kebaikan dalam Islam bukan diukur pada jumlah yang banyak. Dalam ibadat, khususnya, ukuran kebaikannya diukur sejauh mana menepati sunnah. Kalau menyalahan sunnah ibadat itu tidak berguna langsung. Buaang aja dalam longkang. Kalau membetuli sunnah, lihat kepada peratusannya. Yang paling membetuli sunnah itulah yang bterbaik. 

Pasal solat taraweh 8 atau 20 rakaat, jangan dihukum berdasarkan bilangan. Bilangan yang banyak belum tentu terbaik. Aku tidaklah bermaksud mengatakan 8 itu lebih baik. Tidak juga 20 itu lebih baik. Sunnah nabi tidak menetapkan bilangan rakat taraweh. Penentuan kebaikan boleh dilihat bagaimana solat taraweh itu dilakukan.

Aku berpandangan taraweh 8 rakaat dengan jemaah yang ramai lebih baik daripada 20 rakaat dengan jemaah yang sedikit. Solat taraweh 8 rakaat dengan adanya tazkirah lebih baik daripada 20 rakaat tanpa tazkirah. Tapi, kalau buat 20 rakaat, jemaah ramai pula, ada tazkirah lagi, tentu itu lebih baik daripada 8 rakaat yang ada ciri-ciri seumpamanya.

Namun, guna akal-akalan dalam menyimpulkan persoalan ibadat, minta dijauhkan Allah.

Perbaharui niat untuk ibadat

Seorang sahabat menimbulkan persoalan, apakah semua amalan adat yang kita lakukan perlu diniatkan sebagai ibadat setiap kali melakukukannya untuk menjadikannya ibadat?

Menurutku begitulah. Satu amalan adat kebiasaan perlu diniatkan setiap kali hendak melakukannya. Jika tiada niat, jadilah ia amalan adat kebiasaan. Makan akan jadi amalan kebiasaan. Mandi akan jadi amalan kebiasaan. Tidur akan jadi amalan kebiasaan. Persetubuhan suami isteri juga akan jadi sekadar amalan kebiasaan. Semua amalan kebiasaan akan jadi amalan kebiasaan yang tidak dianggap ibadat tanpa niat.

Semua yang namanya ibadat memerlukan niat!

Sahabat ini mengimpikan niat satu kali di permulaan dan ia terpakai sepanjang hayat. Misalnya niat makan kerana Allah untuk selama hidup. Justeru berapa kali makan pun, miski tanpa diserta niat kerana Allah pada setiap kali makan itu, akan jadilah makan itu ibadat dengan sebab niat pada kali pertamanya. Demikianlah amal-amal kebiasaan yang lain. Hanya niat sekali sahaja.

Solat perlu diniatkan setiap kali mahu melakukannya. Puasa juga perlu diniatkan setiap kali melakukannya. Sungguhpun ada pendapat yang membenarkan niat puasa malam pertama untuk sebulan Ramadhan, tidaklah pula ada pandangan yang mengesahkan bolehnya berniat puasa sekali sahaja untuk puasa-puasa yang dilakukan  sepanjang hidup.

Aku tegaskan bahasa apabila disebut ibadat, ia terdedah kepada hukum sah dan batal. Sedangkan iman pun ada yang membatalkannya, maka demikianlah pula ibadat. Apabila iman terbatal, mengucap semulalah. Dalam mengucap itu tentu ada niat yang merupakan tasdik dalam hati. Ibadat yang terbatal maka kena ulang balik. Solat terbatal, maka kena ulang semula daripada semula dengan niat yang baru.

Demikian juga makan dan minum. Hari ini kita makan dan minum kerana Allah. Tiba-tiba pada keesokan hari kita makan dan minum kerana lapar dan dahaga. Maka terbatallah ibadat makan dan minum. Jadi adat kebiasaan. Tiada pahalalah. Kena perbaharui niat. Baru jadi ibadat.



Update ilmu

Pada masa ini, ilmu agama telah tersebar ke segenap cerok rantau melalui pelbagai cara. Selain aktiviti pendakwahan lapangan yang marak (berbanding zaman dominasi pondok yang mengekslusif ilmu agama di dalam koloni pondok), ilmu agama juga tersebar menerusi  lambakan buku agama dan ditambah pula dengan kecanggihan zaman internet. Keilmuan seseorang bukan lagi terkurung dalam institusi agama. Keilmuan bukan terkepung dalam dada pak guru atau pak imam. 

Ilmu agama melalui proses update dan sesiapa yang tidak update ilmunya, akan terpamerlah kejahilannya dalam masyarakat. Seorang penceramah yang gagal mengupdate ilmunya akan menyebarkan sesuatu fakta yang salah mengenai agama sedangkan masyarakat telah mengetahuinya sebagai salah.

Di bulan Ramadhan ini, kita dapat melihat kegagalan beberapa tokoh agama mengupdate ilmunya apabila terpancul daripada mulutnya hadis-hadis yang telahpun diperjelaskan statusnya sebagai daif atau maudhui'. Umpamanya, masih ada yang menyampaikan tazkirah, ceramah dan nasihat semasa Ramadhan mengungkapkan hadis nabi bahawa Ramadhan itu awalnya rahmat, pertengahannya maghfirah dan akhirnya itqun minannar. Hadis tersebut telah dirumuskan oleh mereka yang pakar sebagai amat daif. Bukan tercela sangat menyebut hadis teramat daif tetapi bukankah banyak lagi hadis saheh yang boleh diketengahkan?

Dahulu, hadis mengenai fahilat solat taraweh daripada malam pertama hingga malam ke tigapuluh banyak disebarkan dalam masyarakat menerusi lisan maupun tulisan. Kini, kebanyakan anggota masyarakat telah mendapat tahu bahawa yang dikatakan hadis itu sebenarnya adal;ah rekaan atas nama Rasulullah SAW. Jika ada penceramah atau ustaz yang masih menyebutkannya, bagi mengetahuinya akan dapat mengukur tahap keilmuan sebenar penceramah dan ustaz itu.

Mungkin juga penceramah atau ustaz itu orang berilmu tetapi dia gagal gagal mengupdate ilmunya.

Tuesday, August 24, 2010

Nabi yang membakar sekoloni semut

Pepatah Melayu menyebutkan:

"Jangan kerana marahkan nyamuk, kelambu di bakar...".

Mesejnya, jangan membuat kerosakan di muka bumi. Jangan diikut perasaan marah. Berpada-padalah dalam menghukum. Hanya yang bersalah sahaja layak dihukum. Seseorang yang tidak bersalah tidak harus ditimpakan akibat dari kesalahan yang dilakukan oleh orang lain.

Terdapat sebuah hadis Rasulullah mengenai hal ini sebagai yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW telah bersabda:
 
نزل نبي من الأنبياء تحت شجرة فلدغَتْهُ نملةٌ ، فأمر بجهازه فأُخرج من تحتها ، ثم أمر ببيتها فأُحرق بالنار ، فأوحى الله إليه : فهلا نملةٌ واحدة ؟
"Seorang nabi singgah di bawah pohon, dia digigit oleh seekor semut. Dia memerintahkan agar barang bawaannya dijauhkan dari bawah pohon itu. Lalu dia memerintahkan agar rumah semut itu dibakar. Maka Allah mewahyukan kepadanya, 'Mengapa tidak hanya satu ekor semut saja?"
(Hadis Muttafaq Alaih)

وفي رواية لمسلم : ( فأوحى الله إليه أفي أن قرصتك نملة أهلكت أمة من الأمم تسبح ؟


Dalam riwayat Muslim, " Allah pun mewahyukan kepadanya, 'Hanya karena kamu digigit oleh seekor semut lalu kamu membinasakan sebuah umat yang ber-tasbih.'"

Kisah nabi zaman dahulu yang Rasulullah SAW ceritakan itu menggambarkan situasi seperti yang disebutkan dalam pepatah Melayu itu. Pepatah lain yang berkaitan dengan situasi ini ialah "jangan kerana nila setitik risak susu sebelanga".

Kerbau dalam keluargaku

Kerbau adalah binatang belaan yang amat dekat dengan masa laluku. Di zaman aku kanak-kanak lagi aku sudah kenal dengan kerbau. Bapaku, selain petani dan penoreh, juga merupakan penternak kerbau. Tapi, tidaklah kerbau dalam jumlah yang banyak.Seingatku, paling banyak kerbau yang dibela oleh bapaku dalam satu masa hanyalah lima ekor. Itupun kerbau-kerbau dalam satu keluarga. Ibu kerbau, bapa kerbau dan anak-anak kerbau.

Biasanya, kerbau yang dibela bapaku adalah untuk dijual atau disembelih buat kenduri, terutamanya kenduri kahwin. Perkahwinan saudara-saudara kandungku kebanyakannya berlaukkan daging kerbau peliharaan bapaku. Setelah bapaku meninggal, ibuku melanjutkan membela saki baki kerbau yang ada untuk beberapa tahun. Kemudian, kerbau belaan keluargaku pupus semuanya.

"Saya masuk universiti dengan jasa kerbau...", aku memberitahu sahabat-sahabatku dalam perbualan kami di satu pagi. 

Ya, bapaku menjual seekor kerbau untuk mengirimkan aku ke universiti. Keluargaku miskin. Tiada bantuan kerajaan yang menampung kemasukanku ke universiti. Cuma, kemudian dapat pinjaman JPA semasa sudah qarar belajar di universiti.

Kerbau binatang yang mudah diajar. Bapaku mengajar kerbau-kerbaunya menenggala sawah di kala traktor belum masyhur penggunakan di kalangan petani-petani dataran tinggi seperti kampungku. Dengan hanya berdiri di atas permatang sawah, bapaku mengarahkan kerbau menarik tenggala.Ketika sampai ke penjuru sawah, bapaku akan mengarahkan belok dengan bahasa yang sudah difahami kerbaunya.

Di musim selesai menuai padi, bapaku melepaskan kerbaunya. Beberapa bulan kerbau bebas lepas meragut rumput di sana sini. Kerbau orang lain juga dilepas. Bila hampir tiba musim menanam padi, semua penternak kerbau akan menangkap kerbaunya kembali. Waktu ini, aku sering membantu bapa memburu kerbau yang jadi liar akibat terbiasa dengan kehidupan bebas yang singkat itu. Berbagai helah digunakan untuk memerangkap kerbau.

Ada sekali peristiwa,kerbau bapaku yang ditambat dalam sawah di bendang Yol didapati mati. Bapaku mengandaikan ular berbisa yang memagutnya. Sayang sekali. Kerbau itu adalah kerbau ibu yang gemuk sihat. Tubuhnya berisi. Kalau dijual,paling tidak harganya mencecah RM2000. Itu harga waktu itu, sekitar  awal tahun 90-an. Dengan hati sedih, kami menarik kerbau itu ke banggul dan mengebumikannya dalam sebuah hutan belukar. Pada saat kami melintas di pinggir hutan itu, kami sering dihantui memori kerbau ibu gemuk montel itu.

Rasa seperti saudara sendiri yang mati. Perasaan bapaku tentu lebih lagi. Pagi petang dia banyak habiskan masa menjaga kerbaunya.

Hari ini,kerbau telah hilang daripada kehidupan keluargaku. Hanya ada beberapa ekor lembu yang mulanya dilanjutkan pemeliharaannya oleh ibuku. Kini ibuku tidak mampu lagi mempedulikan haiwan peliharaan itu. Adikku yang meneruskannya.

Jadilah tua yang belajar

Kalau sudah jahil, menutup telinga pula daripada pengajaran ilmu yang disampaikan, bagaimana kejahilan itu boleh dihilangkan? Jangan hairan kalau anda melihat manusia jenis ini. Kejahilan ini disebut sebagai 'jahil murakkab'.Jahil jenis ini memang sukar diubati.Si jahil itu tidak pula  menyedari dirinya jahil lalu tidak mahu mencari ilmu.

"Ah...yang menyampaikan tazkirah ini siapalah...anak muda mentah!", mungkin demikian rugut orang itu untuk tidak mahu mendengar tazkirah. 

Ada seorang anak muda  di kampungku. Dia hafiz Al-Quran. Satu masa dia diberi peluang untuk naik mimbar hari jumuat menyampaikan khutbah. Ada suara rugutan seorang yang lebih dewasa mengenainya.

"Masih muda lagi...orang tua kan masih ada!" 

Jika disuruhnya untuk naik mimbar baca khutbah, dia tentu enggan. Tapi masih mahu orang tua yang ditamakan. Agama tidak meletakkan orang tua di depan. Adat istiadat sahaja yang mengutamakan orang tua. Dalam agama,ukuran keutamaan didasarkan kepada beberapa nilai maknawi seperti takwa dan ilmu. Untuk menjadi imam, bukan usia yang dilihat, tetapi  yang paling mahir membaca Quran. Untuk menjadi pemimpin bukan usia yang dinilai tetapi sifat kuat dan amanah yang diukur.

Demikian, mereka yang enggan meluangkan masa buat sepasang telinga mendengar tazkirah itu, jika diminta menyampaikan tazkirah, mereka akan menolak dan mengatakan tak pandai menyampaikan tazkirah. Apa salahnya kalau merendahkan diri dengar tazkirah seorang anak muda kalau si tua tak tahu menyampaikan tazkirah?

Malangnya manusia merasa gembira untuk dipuji apa yang dia tidak miliki!

Kebijakan mengadakan tazkirah

Sesetengah masjid mengadakan solat taraweh 20 rakat. Ada yang mengadakan 8 rakaat dengan tazkirah. Ada yang mengadakan 8 rakaat tanpa tazkirah.

Sejauh yang aku lihat,  masjid yang mengadakan 20 rakaat mengalami kemerososan ketara penyertaan jemaah selepas 8 rakaat. Memang jemaah memenuhi masjid untuk solat taraweh, tetapi selepas 8 rakaat akan berduyun-duyunlah orang bertempiaran keluar dari masjid.

Sebahagian yang keluar itu kerana malas. Sebahagian pula berasaskan ilmu yang mereka yakini benar.

Terdapat perbahasan ilmiah yang diperkatakan mengenai mana yang lebih utama. Solat taraweh 8 rakaat atau 20 rakaat. Mungkin sebahagian yang keluar selepas 8 rakaat itu berkeyakinan bahawa 8 rakaat itulah sunnah. 

Justeru, bagi memaksimakan manfaat berkat Ramadhan, di mana ramai orang mendatangi masjid-masjid Allah, pihak jawatankuasa masjid perlu bijak. Adalah bijak jika memasukkan slot tazkirah antara taraweh sebagai medium dakwah menyedarkan masyarakat. Mudah-mudahan sesudah berlalunya Ramadhan kelak, masjid akan terus dipenuhi manusia yang punya kesedaran,

Kita tidak mahu masjid hanya terus menjadi tempat tumpuan di musim Ramadhan. Kesedaran perlu ditambah!

Monday, August 23, 2010

Kesetiaan berpada

Kesetiaan Hang Tuah kepada Sultan hendaklah dicontohi. Dengan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi itu, Melaka dapat mencapai keamanannnya dan meluaskan empayarnya. Bukan kependekaran Hang Tuah yang menjadi sebab kepada hebatnya empayar Melaka, tetapi kesetiaannya kepada Sultanlah yang menjadi ramuan terpenting. Kalau pendekar, Hang Jebat juga pendekar, tetapi dengan sebab kederhakaannya, negeri Melaka menjadi porak peranda. 

Justeru, kita hendaklah mencontohi kesetiaan Hang Tuah. Dia setia kepada raja dan negara. Kita hendaklah setia kepada pemimpin kita dan negara.

Demikian seorang sahabat guru menghuraikan tentang erti sebuah kesetiaan dan kepentingan buat negara.

Cuma, satu hal yang perlu diperbetulkan, kesetiaan Hang Tuah kepada Sultan itu bukanlah faktor kejaguhan , gemilang, cemerlang dan terbilangnya Melaka. Melaka mempunyai rakyat yang bermentaliti "pantang derhaka" itu akhirnya tewas dan tak mampu mempertahankan negeri Melaka. Ketika raja Melaka cabut meninggalkan bumi Melaka, lantaran diserang Feringgi , rakyatnya pun berbondong-bondong meninggalkan tanah tumpah darah mereka. 

Dalam sejarah singkat Melaka antara 1402 sehingga 1511, terdapat antara sultannya yang zalim, kaki perempuan dan bersultan di mata beraja di hati. Sultan merampas tunangan orang. Sultan menyimpan gundik dan pantang melihat perempuan cantik terus mahu digundikinya. Sultan seperti perompak yang merampas harta dan anak dara orang. Sultan seperti ini menjadi faktor jatuhnya sebuah kerajaan. Ditambah pula mentaliti Melayu yang diwakili oleh watak kesetiaan membuta tuli Hang Tuah.

Hang Jebat membawa watak melayu medeka. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Demikianlah motto Hang Jebat. 

Lalu, apabila kerajaan Melaka tumbang, apakah watak seperti Hang Jebat harus dipersalahakan? Pemimpin khianat, celaka dan malaun itulah yang meruntuhkan kerajaan Melayu. Melayu menyimpan harapan tinggi buat mereka untuk memacu keagunggan bangsa bersendikan agama Islam, tetapi, harapan itu dikhianati.

Aku suka kalau Melayu berwatak Hang Jebat. Ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahu kebebasan dan tidak rela kezaliman menginjaknya. Watak rakyat sebegini akan menyelamatkan negara. Pemimpin boleh berganti seribu kali, tetapi keadilan tetap satu dan perlu lestari selamanya.

Tiada kesetiaan kepada pemimpin yang corrupt, pecah amanah, khianat dan hanya memikirkan jalan membuncitkan perut sendiri!

Sunday, August 22, 2010

Doa rahmat buat orang kafir

Khatib jumuat sebuah masjid di Pulau Pinang berdoa untuk Lim Guang Eng menggantikan doa untuk Yang Dipertuan Agung. Demikianlah isu yang sedang hangat diperkatakan. Isu tersebut telah menarik respons pelbagai pihak. Sebagaimana biasa, UMNO-BN memanipualsikan isu tersebut bagi menggambarkan teruknya sebuah kerajaan yang diperintah oleh PR. Kesimpulan dari semua ini, menurut UMNO-BN, inilah bahananya yang terjadi apabila PR memerintah. PR tidak menghormati raja Melayu. PR sanggup buat apa sahaja demi mengaut sokongan politik.

"Haram mendoakan rahmat buat orang kafir!", seperti sudah terduga, terpacul komen bersifat fatwa seorang mufti tua yang berkhidmat lebih 30 tahun menjunjung kedaulatan Sultan sebuah negeri.

Khatib berdoa agar Lim Guang Eng diberikan hidayah untuk masuk Islam. Demikianlah fakta tersembunyi yang media massa tidak dedahkan. 

Masuk Islam merupakan rahmat. Haramkah mendoakan orang kafir agar terbuka hatinya masuk Islam? Wahai tuan mufti...beranikah tuan mufti mengatakan haram mendoakan orang kafir masuk Islam? Tuan mufti tak ingatkah pelajaran tarikh Islam yang tuan mufti belajar masa di sekolah menengah dulu menyebutkan kisah Islamnya Umar Al-Khattab. Sebelum Islamnya Umar Al-Khattab, nabi SAW telah berdoa:


اللهم أعز الإسلام بأحد عمرين


"Ya Allah, muliakan Islam dengan salah seorang dari dua Umar".

Agaknya sebab itu orang Cina di Malaysia tak berminat kepada Islam. Mufti tak benarkan didoakan agar mereka masuk Islam.

Saturday, August 21, 2010

Tampang Guru profesional

Kursus Kajian Tindakan yang diadakan di SMK Agama pada hari ini melibatkan pembentangan guru-guru hasil kajian tindakan masing-masing dalam kumpulan-kumpulan berasaskan subjek. Aku berada dalam kumpulan bagi subjek sejarah. Lima orang guru terpilih telah membentangkan  kajian masing-masing mengenai apa yang telah mereka lakukan untuk meningkatkan tahap penguasaan pelajar mereka dalam subjek sejarah. Sungguhpun yang dibentangkan itu adalah mengenai subjek sejarah, namun kajian tindakan yang dikemukakan itu, menurut mereka boleh diaplikasikan merentas subjek. 

Pada hari ini dan hari-hari seumpama hari ini,  di kala ramai para guru berkumpul, kita akan saksikan personaliti menarik beberapa orang guru. Personaliti menarik yang aku maksudkan itu adalah dari segi pemakaian, cara pembentangan dan watak keguruan. Kelihatan profesionaliti pada beberapa guru.

Mudahan tampang profesionaliti itu benar-benar dan bukan diada-adakan.

Masyarakat guru bukan golongan miskin gaya, penampilan dan kebolehan. Ramai juga yang tampil dengan hasil kajian masing-masing....anda bila lagi?

HANYA JAUHARI YANG MENGENAL MANIKAM

 Seperti biasa, kita selalu terpengaruh dengan luaran sesuatu. Memang demikianlah lumrahnya. Bagi luaran yang berbentuk persekitaran, ia disebut sesetengah orang dengan istilah "bi-ah". Jika luaran itu meruapakan sikap dan perwatakan, ia terjelma dalam bentuk akhlak dan kelakuan. Pokoknya, luaran mempunyai pengaruh yang besar dalam membentuk tanggapan dan sikap seseorang terhadap sesuatu.

Namun, sikap atau tanggapan terhadap sesuatu banyak yang salah.Sesuatu logam yang disangka emas lantaran warnanya yang kekuningan boleh jadi bukan emas. Mungkin ia cuma sadurn sahaja. Paling malang kalau yang ketulan kuning itu rupanya seketul tahi.

Yang berkilau dari kejauhan itu bukan semestinya kelipan bintang atau sinar batu permata. Mungkin ia cuma sinar dari kristal atau kaca. Paling malang kalau sinar hanyalah dari pancaran mata seekor ular.

Seseorang itu dianggap berilmu tinggi kerana pandainya dia berkata-kata. Masyarakat awam paling mudah membina tanggapan ini kepada seseorang yang  dilihatnya berperwatakan seperti orang alim seumpama berjubah, berserban, pandai berpidato, pandai membaca Quran dan sebagainya. Namun, hanya orang yang berilmu mengenali orang yang berilmu dan mengukur sejauh mana keilmuannya.

Bukankah hanya jauhari yang mengenal manikam?                      

Friday, August 20, 2010

Abdullah bin Abdulah bin Ubai bin Salul

Anak Abdullah bin Ubai bin Salul, ketua orang-orang munafiq di Madinah bernama Abdullah juga. Pada satu hari dia datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata kepada baginda:

بلغني أنك تريد قتل أبي فيما بلغك عنه، فإن كنت فاعلا فمرني به، وإني لأخشى أن تأمر به غيري فيقتله، فلا تدعني نفسي أنظر إلى قاتل أبي يمشي على الأرض فأقتله، فأقتل رجلا مؤمنا بكافر فأدخل النار ".. فنهاه النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ وقال له: بر أباك، وأحسن صحبته


"Telah sampai kepadaku bahawa tuan mahu membunuh bapaku dengan sebab apa yang telah sampai kepada tuan (daripada perkataan kufur bapaku). Jika tuan memang mahu membunuhnya, perentahkan aku membunuh bapaku. Sesungguhnya aku takut jiuka tuan memerintah seseorang yang lain lalu dia membunuh bapaku, maka aku tidak tahan melihatnya berjalan di atas muka bumi lalu aku bertindak membunuhnya pula. Maka ketika itu aku telah membunuh seorang lelaki yang beriman dengan sebab membunuh orang kafir. Maka aku akan masuk neraka...". Maka Rasulullah SAW melarangnya dan berkata kepadanya: Berbuat baiklah kepada bapamu dan perelokkanlah hubungan dengannya".
(Riwayat Ibn Hibban)

Ketika Rasulullah SAW dan tentera Islam pulang daripada peperangan Bani Mustaliq (Al-Muraisi'), sudah sampai ke pinggir Madinah dan bersama mereka ada juga Abdulah bin Ubai bin Salul serta sebilangan orang munafiq di sekelilingnya, putera Abdullah itu telah menahan bapanya dan berkata kepada bapanya:

"Berhentilah hai bapa. Kamu tidak boleh memasuki Madinah sehingga Rasulullah mengizinkan kamu masuk ke dalamnya...",
Lalu, Rasulullah SAW memberi keizinan kepada Abdullah bin Ubai bin Salul untuk masuk ke dalam Madinah. barulah si anak membenarkan bapanya menjejaki kaki ke Madinah semula.

Subhanallah!Lihatlah  kehebatan iman anak si pemuka munafiq itu.Lihatlah betapa hinanya munafiq. Tiada kemuliaan dirinya di mata anaknya sekalipun!


Mendapat lailatul Qadar

Bagaimana dikatakan seseorang itu mendapat Lailatul Qadar? Masa kanak-kanak dulu orang tua-tua bercerita. Siapa yang nampak Lailatul Qadar hendaklah dia minta apa sahaja yang dia mahu. Biasalah, zaman kanak-kanak ada senarai favourite perkara yang akan diminta.

Aku akan akan minta jadi kaya. Sesetengah kanak-kanak menyimpan tekad itu. Ada yang nak minta jadi pandai. Ada pulak yang mahu minta yang bukan-bukan. Nak minta ilmu kebal, ilmu ghaib dan sebagainya. Kanak-kanak mendapat gambaran salah mengenai maksud mendapat Lailatul Qadar. Kesalahan dalam memahami maksud mendapat Lailatul Qadar itu bukan sahaja di kalangan kanak-kanak sepertiku saat itu, tetapi juga di kalangan orang-orang dewasa, malai lebai-lebai kampung.

Pada malam-malam 10 terakhir, ada yang bawa bantal dan selimut untuk tidur di masjid. Memang tidurlah semata-mata. Kononnya menunggu Lailatul Qadar. Sebelum masuk subuh sudah pulang ke rumah untuk bersahur. Bila masuk Subuh, tak datang semula ke masjid.

Kononnya, diceritakan orang tua-tua, ada seorang keluar membuang hajat lewat pagi. Zaman itu orang buang hajat bukan dalam tandas. Tandas ni benda bid'ah (bid'ah dari segi bahasa aje)  zaman moden. Zaman dulu orang buang hajat dalam hutan belakar, di pangkal pokok yang tersorok,  dalam kebun pisang dan sebagainya. Hamba Allah yang seorang ini diceritakan keluar buang hajat di pagi buta yang gelap di satu kawasan yang banyak pokok kelapa. Dengan kain pelikat disebai di bahu dia keluar mencari lokasi strategik. Al-kisah dia pun jumpalah. Kain pelikatnya diletak atas tunggul sebatang kelapa tumbang. Setelah sempurna qadha hajatnya, dia mahu mengambil kain pelikatnya. Malangnya kain pelikat itu tiada di tempat dia letakkan. Dia pula lupa-lupa ingat kerana mamai di pagi buta. Akhirnya dia pulang sahaja dengan niat nak dapatkannya semula bila hari cerah sahaja. 

Bila hari cerah dia pun datanglah mencarai kain pelikatnya di sekitar tempat dia menandas semalam. Tak ditemuinya juga. Pusing sana sini tak jumpa, dia dingak ke atas. Terkejut beruklah dia bila melihat kain pelikatnya tersangkut di pelepah kelapa yang tinggi. 

Maka hebohlah cerita bahawa semalam masa dia membuang hajat itu adalah Lailatul Qadar. Masa dia letak kainnya itu, pokok tengah sujud. Bila pokok sudah bangun dari sujud, jadilah kain pelikatnya di atas pucuk kelapa.

Orang pun kata....

Wah beruntungnya kau dapat Lailatu Qadar semalam!

Hahaha....

Thursday, August 19, 2010

Nostalgia Gendang Sahur

Masa aku masih lagi kanak-kanak, gendang sahur selalu dipalu di awal dini. Ada gendang besar berkulit kerbau di masjid kampungku. Selain dipalu menandakan masuk waktu solat, pada bulan puasa ia juga sering dipalu buat mengejutkan orang bersahur. Selalunya yang suka memukul gendang sahur ini ialah Meli yang rumahnya hanya bersebelahan dengan masjid. Gendang sahur dipukul dengan rentak tersendiri. 

Memang sesuai kalau gendang sahur dipukul buat mengejutkan orang bangun sahur pada waktu yang munasabah. Ia tentu memberi kelegaan kepada ramai orang yang bimbang tak terjaga tidur untuk bersahur. Tetapi, ada juga budak nakal yang suka bermain gendang sahur. Oleh kerana ghairah hendak memukul gendang sahur dan tak sanggup pula tunggu hingga lewat pagi, gendang sahur dipukul jam 12 malam. 

Inilah yang sering dilakukan oleh seorang remaja bernama Mat Toksin. Perbuatannya memukul gendang sahur sebelum waktunya menjadi masalah. Ia mengganggu tidur orang terutamanya yang rumahnya berjiran dengan masjid.Termasuklah rumah keluragaku yang hanya sepelaungan dari masjid.

Bapaku merupakan siak masjid. Mat Toksin takut kepada bapaku. Gendang sahur yang dipalunya itu dibuatnya sekadar melepas gian sebelum bapaku sempat melarangnya. Sebab itu dipukulnya tak lama. Agak-agak sebelum sempat bapaku sampai ke masjid dan melarangnya.

Satu malam gendang sahur pukulan Mat Toksin berbunyi  jam 12 malam lebih. Bapaku ada di rumah. Dia baru pulang dari masjid selepas selesai tadarus. Bapaku sudah malas untuk ke masjid melarang perbuatan Mat Toksin itu. Aku tak senang duduk. Untuk menegur Mat Toksin manalah aku berani. Dia lebih tua daripadaku. Selain tubuhnya kekar, dia  juga dikenal  samseng di kalangan remaja sebayaku.

Aku pergi ke masjid dalam kegelapan malam. Dari luar pagar masjid, kelihatan kelibat Mat Toksin dan beberapa kawannya sedang rancak memalu gendang. Aku mengambil seketul batu dan membaling ke arah pagar masjid yang dibuat daripada besi. Berdeting bunyi batu terkena pagar besi. Serta merta bunyi gendang berhenti dan kedengaran bunyi langkah seribu Mat Toksin dan kawan-kawannya. Aku ketawa keras perut. Rupanya dengan mudah aku memperbodohkan Mat Toksin. 

Aku masuk ke kawasan masjid. Gendang yang bertalu-talu telah senyap tetapi dari jauh, Mat Toksin dan kawannya memalu tin kosong. Mereka menyambung paluan mereka pada tin kosong. Aku menanti di masjid dalam gelap malam itu. Lama-kelamaan paluan tin kosong itu pun berhenti. Mungkin Mat Toksin dan kawan-kawannya sudah kepenatan dan bosan. Bunyi paluan tin kosong manakan sama dengan paluan gendang kulit kerbau di masjid.


Sejak malam itu, Mat Toksin tidak lagi datang memukul gendang sahur jam 12 malam. Meli sahaja yang memukulnya jam 5 pagi. Sampai hari ini Mat Toksin bukannya tahu bahawa akulah yang mainkan dia malam itu.

PenanganTokke

Ketika ujian bulanan bagi kertas pendidikan Sivik Kenegaraan, aku bertugas menjaga kelas tahun 4B. Sambil murid-murid menjawab soalan, aku mengadap laptop membuat kerja yang patut.

Tiba-tiba ketenangan kelas terganggu. Sebilangan murid-murid berlarian keluar kelas. Aku kehairanan dan mengarahkan mereka masuk semula. Namun, arahanku tidak dapat mententeramkan mereka. Aku bangun dan keluar kelas. Sebahagian murid sedang berlarian di tepian longkang mengejar seekor binatang melata seperti mengkarung. Saiznya tidak besar. Hanya sebesar dua jari orang dewasa.

"Tokke!", begitu jerit mereka.

Binatang itu lari kelam kabut dalam parit. Murid-murid memintas. Suasana bising. Yang dikatakan tokke itu nyaris dipukul dengan kasut oleh seorang murid. Belum sempat dia memukul, aku memerintahkannya berhenti dan mengarahkan semua masuk ke kelas.

Melihat arahanku masih kurang berkesan, aku mula membilang dari angka satu. Mendengar aku membilang angka, murid-murid itu pun berlarian masuk ke kelas. Beberapa orang  yang lewat aku denda dengan cubitan diperut.

Demikian sekali penangan tokke....:)

Doaku (8 Ramadhan 1431)

Wahai Tuhan, jadikan puasa Ramadhanku pada tahun ini "junnah' yang membebaskan aku daripada belenggu nista neraka. Aku ingin menjadi manusia yang "tazakka" untuk sekeping hatiku yang tidak seberapa. Berikan daku 'Al-Falah' sesudah Ramadhan. Jauhkan daku daripada kejelikan dosa sejauh langit dan bumi. Singkir daripada kalbuku segala bayangan dan khayalan berdosa. Peliharalah derap langkahku agar kukuh dan teguh menempa pancaroba dunia.

Wahai Tuhan...

Jika dosakan memberatkan daku, Kau leraikanlah. Jika pahalaku jenuh di depan, lanjutkan usiaku. Jadikan aku hambaMu yang berjasa kepada agama ini. Matikan aku sebagai syahid di jalanMu....

Kerana kebangsaan, kebenaran didustakan

Ketika ditanya kepada beberapa pengikut Musailamah Si Pendusta tentang sikap mereka yang menyokong Musailamah dan menentang tentera Islam, mereka menjawab:

"Saya tahu Musailamah itu bohong dan Muhammadlah Nabi yang benar. Tetapi kebohongan Bani Rabi’ah (Musailamah) lebih saya sukai daripada kebenaran Bani Mudhar (Muhammad)".

Demikian apabila asobiah kebangsaan menguasai diri sehingga tidak lagi dapat melihat kebenaran! Semoga Allah mengubat jiwaku dan memasakkan semangat Islam ke dalamnya serta mengikis jauh semangat asobiah. Ya Allah tolonglah daku!

Dunia bukan syurga

Dunia bukan negeri syurga
Dunia negeri tempat menduga
Jangan diharap baik sahaja
Pasti kejahatan ada bersama.

Jika ada pembela kebenaran
Tentulah ada pembela kejahatan
Telah dibentang dua jalan
Buat manusia menentu pilihan

Usah mengeluh melihat syaitan
Membuat onar derhaka Tuhan
Bukankah malaikat juga diciptakan?
Berbuat taat kepada Tuhan

Bagi orang sabar bijaksana
Sifat dunia sumber pahala
Buat menuai di akhirat sana
Tidak suka caci mencela

Perlembagaan baru

Tiba-tiba meletus isu bahawa ada cubaan pihak tertentu untuk menukar perlembagaan sedia ada bagi negara Malaysia kepada satu perlembagaan baru. Isu itu ditimbulkan oleh mufti negeri Perak Datuk Harussani Zakaria yang mengatakan kedudukan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperakukan Islam sebagai agama rasmi kini terancam dengan adanya cubaan tersebut. Menurutnya cubaan tersebut merupakan agenda tersembunyi Pakatan Rakyat.

Perlembagaan Malaysia hari ini adalah warisan penjajah. Ia tetap warisan penjajah sungguhpun telah dibuat beberapa pindaan. Pindaan adalah bersifat artificial sahaja. Kalau mahu tukar perlembagaan baru, tidak menjadi masalah. Asalkan, perlembagaan tersebut adalah perlembagaan Islam. Menukarkan satu perlembagaan dengan perlembagaan baru yang lebih baik kita harus sokong dan alu-alukan. Namun, kalau perlembagaan sedia ada ditukar dengan perlembagaan yang lebih kufur, tentulah kita tidak suka dan kita tentang.

Bagaimana dengan rukun negara "Keluhuran Perlembagaan". Ya...Perlembagaan memang luhur. Tetapi jika ada beberapa perkara yang tidak luhur, parlimen telah buat persidangan dan telah banyak kali membuat pindaan. Bermakna, perlembagaan bukanlah bersifat luhur semuanya. Kalau luhur, tak adalah pindaan. Bagaimana kita hendak meluhurkan perlembagaan yang mengandungi kesalahan dan kekurangan? Itulah dibuat pindaan agar ia mencapai kesempurnaan dan dapat diluhurkan.

Sila kemukakan perlembagaan baru yang dikatakan itu. Kita mahu lihat perlembagaan jenis apa. Namun, mempertahankan perlembagaan secara totok sebagaimana kalam tuan mufti adalah tidak sesuai bagi seorang muslim yang menginginkan kebaikan dan pertambahan dalam kebaikan.

Wednesday, August 18, 2010

Jumuat sah tanpa keizinan mufti

Ketika mengumumkan kedudukan kewangan surau Al-Fajr semalam, bendahari surau secara sepontan menyebutkan tentang penegasan hukum yang telah aku sebutkan mengenai solat jumuat ketika dalam mesyuarat AJK yang terakhir sebelum Ramadhan. Sememangnya aku pernah mencadangkan untuk bertindak di luar peraturan dengan mengajak warga Taman Fajar mendirikan solat jumuat biarpun belum mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Mufti. Apa yang aku suarakan itu telah disokong pula oleh cikgu Hashim. Katanya, kalau kita hendak dikatakan melanggar peraturan kerana itu, sebelum ini pun, dalam soal pembinaan surau Al-Fajar di tapak sekarang, kita telah melanggar peraturan. 

Aku cuma mempertegaskan aspek hukum sahnya solat Jumuat. Bagiku dan demikianlah hukum menurut keyakinanku, keabsahan solat jumuat dari segi syarak bukan terletak di tangan mufti. Keizinan dari mufti untuk mendirikan jumuat bukanlah syarat sah kepada solat jumuat.  Keizinan mufti hanya dari sudut undang-undang. Ia laksana keabsahan sesebuah perkahwinan. Ia tidak terletak di tangan perakuan mahkamah syariah. Jika sesebuah perkahwinan dibuat melengkapi rukunnya, sekalipun mahkamah menghukumkannya tidak sah, perkahwinan itu tetap sah dari segi syarak.

Cuma, sejauh mana keberanian kita melanggar peraturan?Kalau kita nekad untuk mendirikan solat Jumuat di surau Al-Fajr, kita buat sahaja biarpun tiada kelulusan daripada pihak berkuasa agama. Jumuat kita sah. Banyak juga surau yang mengadakan jumuat di perkampungan. Bukan ada kelulusan dari Jabatan mufti pun. 
Namun, kita perlu bersedia menghadapi hubungan yang tidak mesra antara kita dengan pihak berkuasa. Tentu sekali perkara amat keberatan pada pengerusi surau. Cadangan saya itu bukanlah untuk dipilih. Ia sekadar satu pilihan terakhir bagi jiwa yang memberontak!

Bila lagu perjuangan kebangsaan didendangkan

Desakan presiden MCA, Datuk Sri Chua Soi Lek ketika mengemukakan resolosi 13 perkara Kongres Ekonomi Cina agar ekuiti bumiputera dalam semua sektor ekonomi sebanyak  30 peratus dikurangkan secara berperingkat  telah menimbulkan reaksi pelbagai daripada pemimpin Melayu. Kenyataan presiden MCA itu dilihat sebagai cubaan menggugat hak bangsa Melayu yang selama ini kononnya dijaga oleh perlembagaan dan dasar ekonomi negara. 

Saya kira apa yang diutarakan oleh peresiden MCA itu adalah tindakbalas daripada beberapa siri tindak tanduk dan kenyataan pemimpin rasis Melayu. Kita lihat sahaja apa yang telah dilakukan oleh PERKASA mutakhir ini. Kerajaan pula seolah-olah merestuinya. Tindak tanduk syok sendiri itu mengundang rasa terancam kaum yang lain. Tidak hairan kalau kaum Cina seperti sepakat dan menyetujui apa yang dilahirkan oleh presiden MCA itu.

Inilah bahana perjuangan yang mendendangkan lagu kebangsaan!

MERDEKA SEJATI


Beratus tahun negaraku dijajah
Bangsa pribumi tenaganya dikerah
Kekayaan buminya habis diperah
Dirompak penjajah dari Eropah

Saat Melaka runtuh ke bumi
Negara gagah kebanggaan kami
Menjadi takluk bangsa Feringgi
Bermulalah titik kehinaan diri.

Bangsa penjajah bersilih ganti
Bumiku bertuah hilanglah seri
Kita dihina sehari-hari
Hidup hina di bumi sendiri.

Bangkit pahlawan membela nusa
Menyedarkan bangsa dari lena
Menentang penjajah diajak semua
Agar dapat hidup mulia

Penjajah memegang kepala raja
Raja menjadi alat mereka
Rakyat jelata diperas tenaga
Demi sayang pangkat dan harta.

Alangkah susah menyedarkan rakyat
Dari bawah menyusun harakat
Tanpa sokongan raja berdaulat
Bagai menggerak beban berat.

Di seluruh cerok Negara ini
Bangkit pahlawan berjiwa berani
Menyeru rakyat sedar diri
Melawan penjajah bersatu hati.

Inggeris membakar adu domba
Antara rakyat dan juga raja
Melawan penjajah dituduh derhaka
Pantang melayu derhaka raja.

Dol Said namanya terbilang
Pahlawan Naning bukan sebarang
Gugur terkorban di medan juang
Namanya harum disebut orang

Di negeri Pahang sejarah disebut
Datuk Bahaman bangkit menuntut
Maruah bangsa jangan dilurut
Oleh Inggeris dia dijerut

Tok Janggut di negeri Kelantan
Pengaruhnya besar menjadi panutan
Diburu Inggeris dibantu Sultan
Namanya harum sepanjang zaman.

Ada seorang pahlawan Sabah
Menentang Inggeris dengan tabah
Bersama rakyat pantang menyerah
Diserang Inggeris sukar dikalah

Namanya Salleh gagah perkasa
Jiwanya kental kebanggaan bangsa
Membina kota bertahan di sana
Lambang maruah anak merdeka.

Rentap nama pahlawan Sarawak
Menentang penjajah tiada teragak
Tidak goyah walau digertak
Membuat penjajah nafasnya sesak.

Di bukit Semanggul membakar semangat
Penentangan kepada penjajah laknat
Lebih tersusun lebih cermat
Dipimpin ulama penuh berkat

Demikianlah pahlawan pejuang merdeka
Mereka terkorban hilang nyawa
Darah tumpah mengalir bersama
Hidup bukan bersenang suka.

Pejuang merdeka sejati mulia
Kepada penjajah tiada sekata
Tiada duduk minum semeja.
Tiada sekali mengaku saudara.

Kalangan mereka bukan bangsawan
Mereka rakyat golongan bawahan
Mereka basah bermandi keringat
Hidup memimpin gerakan rakyat.

Takdir Tuhan telah tersurat
Tipudaya musuh teramat jahat
Dengan peribumi mereka sepakat
Peribumi terlatih dari barat

Penjajah laknat memberi syarat
Untuk merdeka hendaklah sepakat
Perlembagaan negara mereka buat
Warisan penjajah kekal terpahat

Merdeka sudah jasad rakyat
Namun jiwa masih terikat
Kepada barat terus berkiblat
Sistem barat dibuat azimat

Merdeka negara diberi mudah
Setelah diperjuang dengan darah
Oleh pahlawan berani gagah
Orang lain mendendang megah

Negara merdeka tegak berdiri
Rantai berduri tidak menggari
Kembali bebas mentadbir sendiri
Penjajah tidak dijadikan jauhari.


Itulah merdeka nan sejati
Negara bermaruah diberkat ilahi
Agama Tuhan kandil menyinari
Jadi pedoman mentadbir negeri