"Baca buku , di mana sahaja kamu berada. Menjadi ulat buku bukan hina...", aku memberi nasihat kepada murid-murid dalam kelas 6 satu ketika.
Aku terkenang zaman persekolahanku. Aku memang ulat buku sewaktu di peringkat menengah. Lebih-lebih lagi sewaktu tingkatan 5 dan 6. Ke mana aku pergi aku menyelitkan sebuah buku nota kecil dalam poket bajuku. Di dalamnya aku tuliskan perkataan-perkataan Arab beserta maknanya yang aku ekstrak daripada kamus. Aku suka mengahafal kamus. Kamus Arab maupun Inggeris. Ustaz di sekolah menggelarku "sahibul kamus".
Aku kerap membantu ibu bapaku menoreh di kebun getah milik keluarga kami di Bendang Yol. Aku ke sana dengan basikal tua. Apabila aku pergi menoreh, aku membawa beg usang yang di dalamnya aku isikan buku. Aku menoreh membantu ibuku. Setelah beberapa pokok aku toreh dan penat, aku duduk bersandar di pokok getah dan mengeluarkan bukuku. Aku membaca sehingga keinginan menyambung kerjaku datang semula.
Di musim menuai, aku dan abangku ditugaskan memukul padi. Padi-padi yang telah dikerat oleh ibu, kakak serta adik perempuanku diletakkan atas tunggul padi. Kamilah yang kena pukul padi agar terelai dalam tong layar. Kekadang aku lakukan bersama abangku. Kekadang aku lakukan seorang diri. Aku selalu bawa buku bersama. Setalah penat memukul padi, aku duduk di balik timbunan jerami dan membuka bukuku untuk kubaca atau hafal. Kalau padi yang hendak dipukul banyak, aku buat pondok jerami sementara yang ringkas untuk berteduh.
Aku pernah baca buku sambil bela kerbau di permatang sawah. Aku pernah buat 'ran' di atas dahan pokok tinggi dan duduk di sana membaca buku. Aku pernah buat meja di bawah pokok rendang di cerok yang sunyi tanpa gangguan dan duduk membaca di sana. Pendeknya, aku menjadi ulat buku satu masa dahulu.
Sekarang tak nampak macam ulat lagi. Ulat ada masanya menjadi rama-rama.
Sekarang tak nampak macam ulat lagi. Ulat ada masanya menjadi rama-rama.
Ulat buku bukan hina. Dengan buku kita menambah ilmu.
No comments:
Post a Comment