Malam ini masuklah 1 Ramadhan. Ketika solat sunat Taraweh di Surau Al-Fajar sedang berlanggsung, hujan pun turun dengan lebatnya. Selama beberapa tahun aku mengamati keadaan ini. Setiap kali bermulanya Ramadhan, hujan akan turun.Kekadang disulami kilat dan petir. Cuma malam ini tiada kilat dan petir.
Secara bergurau, aku pernah berkata bahawa malam pertama adalah malam di mana syaitan-syaitan diburu dan ditangkap untuk dirantaikan. Para malaikat sibuk menjalankan tugas. Petir dan kilat menurut beberapa riwayat berhubungkait dengan pukul, bedal dan panahan malaikat. Entahlah, apakah kaitan ini boleh dipertanggungjawabkan atau tidak.
"Apakah hujan yang turun malam ini secara kebetulan atau punyai makna tersirat?", aku menimbulkan persoalan kepada 2 sahabat jemaah surau, ust Mat Isa Saud dan Ust. Wan Helmi, ketika kami baru selesai solat witir dan ramai jemaah lain mulai bersurai.
Sewaktu perang badar, pada malam sebelumnya Allah turunkan hujan yang lebat. Dalam Al-Quran Allah menyebutkankan hal ini.
إِذْ يُغَشّيكُمُ النّعَاسَ أَمَنَةً مّنْهُ وَيُنَزّلُ عَلَيْكُم مّن السّمَآءِ مَآءً لّيُطَهّرَكُمْ بِهِ وَيُذْهِبَ عَنكُمْ رِجْزَ الشّيْطَانِ وَلِيَرْبِطَ عَلَىَ قُلُوبِكُمْ وَيُثَبّتَ بِهِ الأقْدَامَ
(ingatlah), ketika Allah menjadikan kamu mengantuk sebagai suatu penenteraman daripada-Nya, dan Allah menurunkan kepadamu hujan dari langit untuk mensucikan kamu dengan hujan itu dan menghilangkan dari kamu gangguan-gangguan syaitan dan untuk menguatkan hatimu dan mesmperteguh dengannya telapak kaki(mu).
(Surah Al-Anfal: Ayat 11)
Jadi hujan sebelum peperangan adalah merupakan salah satu bentuk Nusrah Allah buat orang yang beriman. Dengan turunnya hujan, ia membekali air buat bersuci. Ia juga menghilangkan gangguan syaitan serta memperteguhkan semangat dan penderian. Ringkas katanya, hujan melahirkan kondisi stabil dan semangat yang mantap untuk menghadapi peperangan.
Bukankah masuk bulan Ramadhan itu laksana terjun ke medan peperangan? Peperangan melawan hawa nafsu. Tentunya keperluannya tidak banyak beza daripada apa yang diperlukan oleh dalam peperangan melawan musush Islam.
Barangkali di sini ada hubungkait yang boleh kita renungkan antara hujan yang sering turun di malam pertama Ramadhan dengan persiapan peperangan.
No comments:
Post a Comment