CARI BAHAN

Saturday, August 07, 2010

Buatlah tahlil lepas insya!

Bulan Sya'ban hampir melabuhkan tirai. Tak sampai seminggu lagi, Ramadhan akan menjelma. Bulan Sya'ban di kalangan masyarakat tempatan di Sabah dikenali juga sebagai bulan arwah. Pada bulan inilah ramai yang mengadakan kenduri tahlil arwah. Di sesetengah tempat, khususnya di kawasan perkampungan yang padat penduduk tempatannya, boleh dikatakan setiap malam ada kenduri tahlil arwah. Menjelang akhir bulan Sya'ban, makin rancaklah kenduri arwah di sana sini.

Kenduri tahlil arwah sudah menjadi adat kebiasaan bagi masyarakat Islam di Nusantara. Untuk mengubah adat kebiasaan ini memang sukar. Sungguhpun sukar, perubahan perlu dijana dan diusahakan. Membuang kenduri tahlil arwah memang hampir mustahi. Sekurang-kurang buat masa ini. Orang yang mempertikaikan kenduri tahlil arwah sering dilebelkan sebagai berfahaman wahabi. Macam mana sekalipun, kenduri arwah diwajarkan, kendati ke atas keluarga yang miskin dan sering tidak berkecukupan untuk keperluan keluarga sendiri. Para pemuka agama dalam masyarakat pula hanya menjadi penerus kebiasaan tersebut tanpa menimbulkan kesahihannya dari segi sunnah dan keaslian agama.

Biarlah...sekadar yang boleh dijelaskan, jelaskan. Sementara kehendak masyarakat untuk meneruskan kebiasaan ini tak dapat kita halangi.

Cuma, yang menjadi perkara yang sumbang dan perlu diubah segera adalah kebiasaan bertahlil selepas solat maghrib. Kebiasaan ini masih diamalkan oleh sesetengah keluarga. Apa yang menjadi masalahnya ialah jemputannya ialah ahli masjid dan surau. Apabila ahli masjid dan surau berduyun ke rumah yang mengadakan majlis tahlil arwah selepas maghrib, alamtnya sedikitlah orang yang mendirikan solat jemaah insya berjema'ah.

Mana yang lebih utama antara solat insya berjemaah dengan tahlil arwah. Sedangkan tahli arwah, kalaupun nak dibuat sangat, boleh sahaja lepas solat insya. Kenapa waktu sesudah solat maghrib juga yang dipilih. Inilah yang sumbangnya. Aku pernah bertanya alasannya kepada seorang imam yang mengepalai majlis tahlil di sebuah perkampungan. Katanya, para arwah pulang pada waktu maghrib. Di perkampungan itu lebih dahsyat lagi kerana majlis tahlil boleh menggantikan solat maghrib. Kerana arwah pulang pada waktu maghrib, masa paling afdhal dibuat kenduri tahlil arwah adalah pada waktu maghrib.

Sungguh bid'ah dakwaan sebegini. Barangkali ini asal pegangan yang menjadi amalan tahlil selepas maghrib yang diamalkan pula oleh warga taman perumahan.

AKu tidak bersikap anti tahlil. Setiap dijemput tahlil, aku berusaha untuk hadir. namun, jika tahlil itu dibuat sesudah solat maghrib, minta maaflah. Selepas maghrib ada kuliah-kuliah di surau dan masjid. Lagipun, kebiasaannya, kehadiran ke majlis tahlil selepas maghrib akan menyebabkan kelanjutan masa sehingga insya. Akibatnya, terlepas solat insya berjemaah.

Pada hematku, dan aku yakin sekali dengan pendapat ini, majlis tahlil tidak boleh dibandingkan dengan solat Insya berjemaah. Solat Insya berjemaah adalah sunnah baginda Rasulullah. Tahlil pula jauh sekali untuk dikatakan sebagai sunnah Rasulullah. Tidak ada pilihan antara tahlil dan solat Insya berjemaah kerana kedua-duanya di laluan yang berbeza.

Ma'assalamah buat tahlil sesudah maghrib!

No comments: