CARI BAHAN

Tuesday, August 31, 2010

Cari lailatul Qadar

10 yang akhir ini, merupakan hari-hari penghujung Ramadhan yang malamnya dijanjikan satu malam yang bernama "Lailatul Qadar". Dalil-dalil Al-Quran dan hadis menjelaskan bahawa Lailatul Qadar adalah pada bulan Ramadhan. Persoalan bila tarikh tepatnya menjadi perselisihan di kalangan ulama.Namun, malam-malam ganjil 10 yang terakhir daripada Ramadhan menjadi pilihan pendapat kebanyakan ulama berdasarkan apa yang telah disabdakan oleh Rasulullah SAW:


تحروا ليلة القدر في الوتر من العشر الأواخر من رمضان
"Carilah malam Al-Qadar pada malam-malam ganjil daripada 10 malam terakhir".
(Hadis Riwayat Bukhari)

Maka, mencari malam Al-Qadar ialah dengan memperbanyakkan amal ibadat pada malam-malam tersebut. Bukanlah mencari lailatul Qadar itu dengan mencari petandanya sama ada di malamnya atau siangnya. Kalaupun dengan takdir Allah SWT, kita melihat tandanya, kalau tidak beribadat, tidaklah berguna lailatul Qadar itu kepada kita.

Orang tua banyak menukilkan cerita mengenai tanda lailatul Qadar ini. Antaranya ialah pokok-pokok bersujud, air perigi jadi membeku, langit menjadi cerah di malamnya, anjing tidak menyalak dan sebagainya. Tanda-tanda yang dinukilkan itu tidak soheh daripada nabi. Apa yang nabi SAW bersabda  mengenai tanda lailatul Qadar ini adalah malamnya tidak panas dan sejuk, rasa tenang di hati orang beriman dan subuh harinya matahari bersinar tanpa cahaya menyucuk mata.



No comments: