CARI BAHAN

Monday, August 30, 2010

Nikmat menyebar risalah

Berdakwah dengan menyebar risalah kepada orang ramai bukan mampu dilakukan oleh semua orang. Ia memerlukan keberanian dan sifat berjiwa besar kerana pada saatnya ada risalah yang kita berikan mengundang tindak balas yang kita tidak jangkakan. Sesetengah orang memikirkan bahawa menyebarkan risalah akan mendedahkan identitinya berdasarkan risalah yang diedarkannya. Banyak orang mahu berjuang tetapi tidak suka dikenali, lebih-lebih lagi jika perjuangan itu bukan mengikut arus perdana. Dengan kata lain, perjuangan itu berada di kelompok yang tidak mesra pemerentah.

"Aku banyak dikenal orang...", Kata seorang ustaz yang popular dan  sering menerima jemputan ceramah di sana sini. "Nanti orang tahu aku dari kelompok mana. Ia menyukarkan tugas dakwahku.", Dengan itu dia menguzurkan diri untuk menyertai mana-mana gerakerja berbentuk penyebaran risalah.

Jika dilihat, dengan tidak menyertai penyebaran risalah itu, dakwahnya pun tidak selestari mana. Berselindung macam mana pun, tidak menambahkan hebatnya medan dakwahnya. Kehebatan dalam dakwah bukan diukur pada ceramah berapi-rapi. Bukan juga berapa ramai  khalayak pendengar.Tetapi ia diukur sejauh mana ia mampu mengubah manusia. Apabila manusia berubah kerana dakwahnya, itu tandanya ada keberkatan. Kerana itu, dakwah yang berkat tidak semestinya datang daripada ustaz. Mungkin sahaja ia terbit daripada kerja-kerja biasa anak-anak muda yang ikhlas berdakwah dengan cara penyebaran risalah!

Pada saat aku mula berjinak-jinak dalam dakwah melalui penyebaran risalah ini, aku merasa sangat berat sekali. Malunya untuk pergi kepada khalayak dan menghulurkan kertas. Berpeluh juga untuk menghabiskan walau 10 risalah. Namun, setelah saban tahun aku terjun dalam kerja-kerja ini, ada semacam perasaan nikmat dalam serelung hatiku. Aku merasa satu kepuasan. Puas kerana dapat mendekati anak muda yang sedang melepak di tepian tembok, menyampaikan pesanan yang tertera dalam sehelai kertas. Bermacam-macam ragam manusia akan kita temui. Kita belajar menenangkan diri saat menghadapi manusia pelbagai reaksi. Kita juga berpeluang berlatih mengucapkan kata nasihat pada saat yang sesuai.  Kita mencernakan gaya sebenar seorang pendakwah yang melata di antara rerumput dan bukan terbang dari bintang ke bintang laksana komet.

Kini, aku sudah betah menjalankan misi penyebaran risalah dakwah. Sambil menyebar risalah, aku cuba memperbaiki pendekatan dengan mengucapkan kata-kata nasihat kepada yang menerimanya.

"Ini risalah untuk dibaca...semoga dapat faedah...", demikian paling tidak kuucapkan.

Ya Allah, jadikan apa yang kami lakukan ada perkiraan di sisiMu di akhirat kelak.

No comments: