"Kami bangsa Kagayan. Menurut nenekku, siapa yang puasa pada hari pertama, dia hendaklah berpuasa pada keseluruhan bulan Ramadhan. Jika tidak, dia berdosa besar...", demikian seorang muridku menceritakan.
"Jadi? siapa yang tidak berpuasa pada hari pertama, bolehlah dia ponteng pada hari-hari lain di bulan Ramadhan?", soalku.
"Ya, begitulah...", akui murid itu."Betul ke tu ustaz?", dia bertanya.
"Tentulah salah. Meninggalkan puasa pada mana-mana hari tanpa alasan yang dibenarkan adalah dosa besar....", jawabku.
Mengapa banyak kepercayaan dan pendapat karut dibuat berkaitan puasa oleh masyarakat terdahulu?Dari sumber manakah datangnya fatwa-fatwa sebegini? Islam yang aku pelajari tidak pernah menemukan aku dengan fatwa-fatwa aneh ini. Padahal, Islam yang aku pelajari adalah bersumberkan Al-Quran dan Hadis serta perbahasan para ulama dan kitab-kitab karangan yang pelbagai. Aku meyakini kebenaran ilmu Islamku dan penyimpangan fatwa-fatwa tersebut.
Dulu, sewaktu aku di kepulauan dalam masyarakat Suluk, aku diberitahu bahawa siapa yang tidak mandi puasa, maka puasanya tidak sah. Oleh itu, masuk sahaja bulan Ramadhan, seseorang itu hendaklah mandi puasa. Ada seorang memberitahuku bahawa puasa dalam sebulan hanya ada 3 hari iaitu puasa menghantar anak bulan, puasa menyalam matahari dan satu lagi istilah yang aku lupa namanya. Di samping itu, terdapat kejahilan dalam menanggapi perkara-perkara yang membatalkan puasa. Menelan air liur dikatakan batal puasa. Kalau puasa tak boleh mandi. Kerja nelayan tak boleh puasa sebab terlibat dengan aktiviti penyelaman. Terluka membatalkan puasa dan bermacam-macam lagi.
"Jangan merujuk hal agama dengan nenek moyang kamu...rujuklah kepada ustaz dan ustazah!", demikian aku menegaskan buat murid-murid yang sedang bersekolah di pedalaman ini.
No comments:
Post a Comment