CARI BAHAN

Tuesday, August 17, 2010

Motif Politik

Ketika Al-Arqam sedang mencapai zaman kemuncaknya, Al-Marhum Ashaari, pemimpin unggulnya yang dipanggil 'abuya' mula membisikan harapan buat pengikutnya bahawa dialah bakal perdana menteri Malaysia. Lalu, kerajaan Malaysia, melalui Kementerian dalam negeri dan pelbagai institusi penguatkuasaan agama bertindak dan Al-Arqam diharamkan. Ashari diburu dan ditangkap serta diISAkan. Sebahagian pengikut utamanya juga diISAkan. Al-Arqam lumpuh.

Ketika diharamkan Al-Arqam, pengharaman itu dilegitimasikan berdasarkan penyimpangan akidahnya. Rakyat diberitahu bahawa Al-Arqam diharamkan kerana akidahnya menyimpang. Dengan kata lain, ia sesat.

Kini, dalam negara Malaysia terdapat puluhan ajaran sesat. Tindakan yang diambil terhadap ajaran sesat ini tidak seberapa. Jabatan Kemajuan Islam Malaysia hanya sekadar menggazetkan sejumlah ajaran sesat. Dalam bentuk tindakan penguatkuasaan, boleh dikatakan tiada. Kalau pun ada, tidak sebagaimana tindakan terhadap Al-Arqam.

Kesesatan ajaran cikgu Kahar di Selangor, kalau hendak diperkirakan, lebih jauh sesatnya daripada ajaran Al-Arqam. Cikgu Kahar mengaku dirinya sebagai rasul Melayu. Tindakan yang diambil ke atasnya memakan masa yang lama untuk diputuskan. Setelah proses perbicaraan panjang, cikgu Kahar menghistiharkan dirinya meletak jawatan sebagai Rasul buat bangsa Melayu! Mengapa tindakan mengISAkannya tidak dibuat sebagaimana telah dibuat ke atas Ashari?

Dua tiga tahun kebelakangan ini heboh pasal gerakan Jemaah Islamiah dan Darul Islam. Tindakan ke atas anggota kumpulan ini ialah diburu, ditangkap dan diISAkan. Kumpulan ini tidak pula dikatakan menyimpang akidah. Tetapi nasib menimpanya sepertimana yang telah menimpa jemaah Al-Arqam.

Kesimpulan yang aku boleh buat setakat ini ialah segala tindakan yang dilakukan kerajaan adalah bermotifkan politik. Kerajaan bukan pembela kepada akidah. Kalau membela akidah sudah habis tumpas segala ajaran sesat itu. Ashaari hanya ditangkap setelah dia menyentuh soal politik iaitu mahu menjadi perdana menteri Malaysia. Ayah Pin dan cikgu Kahar tidak punya kaitan politik. Tak perlu diperangi sangat. Jemaah Islamiah dan Darul Islam sangat banyak membicarakan hal politik. Ia pertubuhan tak berdaftar dan perlu diperangi.

Kerajaan tak boleh buat semua itu kepada PAS kerana walaupun PAS sebuah pertubuhan politik, ia didaftarkan sebagai sebuah parti!

No comments: