Ketika mengumumkan kedudukan kewangan surau Al-Fajr semalam, bendahari surau secara sepontan menyebutkan tentang penegasan hukum yang telah aku sebutkan mengenai solat jumuat ketika dalam mesyuarat AJK yang terakhir sebelum Ramadhan. Sememangnya aku pernah mencadangkan untuk bertindak di luar peraturan dengan mengajak warga Taman Fajar mendirikan solat jumuat biarpun belum mendapat kebenaran rasmi daripada Jabatan Mufti. Apa yang aku suarakan itu telah disokong pula oleh cikgu Hashim. Katanya, kalau kita hendak dikatakan melanggar peraturan kerana itu, sebelum ini pun, dalam soal pembinaan surau Al-Fajar di tapak sekarang, kita telah melanggar peraturan.
Aku cuma mempertegaskan aspek hukum sahnya solat Jumuat. Bagiku dan demikianlah hukum menurut keyakinanku, keabsahan solat jumuat dari segi syarak bukan terletak di tangan mufti. Keizinan dari mufti untuk mendirikan jumuat bukanlah syarat sah kepada solat jumuat. Keizinan mufti hanya dari sudut undang-undang. Ia laksana keabsahan sesebuah perkahwinan. Ia tidak terletak di tangan perakuan mahkamah syariah. Jika sesebuah perkahwinan dibuat melengkapi rukunnya, sekalipun mahkamah menghukumkannya tidak sah, perkahwinan itu tetap sah dari segi syarak.
Cuma, sejauh mana keberanian kita melanggar peraturan?Kalau kita nekad untuk mendirikan solat Jumuat di surau Al-Fajr, kita buat sahaja biarpun tiada kelulusan daripada pihak berkuasa agama. Jumuat kita sah. Banyak juga surau yang mengadakan jumuat di perkampungan. Bukan ada kelulusan dari Jabatan mufti pun.
Namun, kita perlu bersedia menghadapi hubungan yang tidak mesra antara kita dengan pihak berkuasa. Tentu sekali perkara amat keberatan pada pengerusi surau. Cadangan saya itu bukanlah untuk dipilih. Ia sekadar satu pilihan terakhir bagi jiwa yang memberontak!
No comments:
Post a Comment