Masa aku masih lagi kanak-kanak, gendang sahur selalu dipalu di awal dini. Ada gendang besar berkulit kerbau di masjid kampungku. Selain dipalu menandakan masuk waktu solat, pada bulan puasa ia juga sering dipalu buat mengejutkan orang bersahur. Selalunya yang suka memukul gendang sahur ini ialah Meli yang rumahnya hanya bersebelahan dengan masjid. Gendang sahur dipukul dengan rentak tersendiri.
Memang sesuai kalau gendang sahur dipukul buat mengejutkan orang bangun sahur pada waktu yang munasabah. Ia tentu memberi kelegaan kepada ramai orang yang bimbang tak terjaga tidur untuk bersahur. Tetapi, ada juga budak nakal yang suka bermain gendang sahur. Oleh kerana ghairah hendak memukul gendang sahur dan tak sanggup pula tunggu hingga lewat pagi, gendang sahur dipukul jam 12 malam.
Inilah yang sering dilakukan oleh seorang remaja bernama Mat Toksin. Perbuatannya memukul gendang sahur sebelum waktunya menjadi masalah. Ia mengganggu tidur orang terutamanya yang rumahnya berjiran dengan masjid.Termasuklah rumah keluragaku yang hanya sepelaungan dari masjid.
Bapaku merupakan siak masjid. Mat Toksin takut kepada bapaku. Gendang sahur yang dipalunya itu dibuatnya sekadar melepas gian sebelum bapaku sempat melarangnya. Sebab itu dipukulnya tak lama. Agak-agak sebelum sempat bapaku sampai ke masjid dan melarangnya.
Satu malam gendang sahur pukulan Mat Toksin berbunyi jam 12 malam lebih. Bapaku ada di rumah. Dia baru pulang dari masjid selepas selesai tadarus. Bapaku sudah malas untuk ke masjid melarang perbuatan Mat Toksin itu. Aku tak senang duduk. Untuk menegur Mat Toksin manalah aku berani. Dia lebih tua daripadaku. Selain tubuhnya kekar, dia juga dikenal samseng di kalangan remaja sebayaku.
Aku pergi ke masjid dalam kegelapan malam. Dari luar pagar masjid, kelihatan kelibat Mat Toksin dan beberapa kawannya sedang rancak memalu gendang. Aku mengambil seketul batu dan membaling ke arah pagar masjid yang dibuat daripada besi. Berdeting bunyi batu terkena pagar besi. Serta merta bunyi gendang berhenti dan kedengaran bunyi langkah seribu Mat Toksin dan kawan-kawannya. Aku ketawa keras perut. Rupanya dengan mudah aku memperbodohkan Mat Toksin.
Aku masuk ke kawasan masjid. Gendang yang bertalu-talu telah senyap tetapi dari jauh, Mat Toksin dan kawannya memalu tin kosong. Mereka menyambung paluan mereka pada tin kosong. Aku menanti di masjid dalam gelap malam itu. Lama-kelamaan paluan tin kosong itu pun berhenti. Mungkin Mat Toksin dan kawan-kawannya sudah kepenatan dan bosan. Bunyi paluan tin kosong manakan sama dengan paluan gendang kulit kerbau di masjid.
Sejak malam itu, Mat Toksin tidak lagi datang memukul gendang sahur jam 12 malam. Meli sahaja yang memukulnya jam 5 pagi. Sampai hari ini Mat Toksin bukannya tahu bahawa akulah yang mainkan dia malam itu.
No comments:
Post a Comment