CARI BAHAN

Monday, August 09, 2010

Bandingan syurga

"Taman perumahan ini sungguh cantik. Rumah-rumah di sini besar dan lamannya luas. Tentunya penghuni taman ini orang yang mewah dan berpangkat tinggi dalam masyarakat Ada pula taman yang cantik terjaga di tengahnya" , fikriku satu hari ketika aku tersesat masuk ke lorong-lorong taman perumahan bernama Ngu Yen.

Selama ini, aku kira pentadbiran bandar Sandakan tidak mengutamakan pembangunan taman sebagai rekreasi rakyat. Rupanya, ada taman-taman rekreasi yang indah tersorok di taman-taman elit. Memang, kalau buat orang ramai, Sandakan adalah bandar yang tidak mesra rekreasi.

 "Taman ini memang cantik, tapi sayangnya bukanlah penempatan yang baik....tiada surau di dalamnya", ujarku kepada isteriku. Aku sering menjadikan kewujudan surau atau masjid sebagai kriteria utama taman perumahan yang baik. Padaku, sebuah kampung setinggan yang ada surau di dalamnya lebih mendamaikan berbanding sebuah taman perumahan yang cantik dengan rumah agam tetapi tiada surau atau masjid di dalamnya.

Namun, bagi mereka yang tidak menjadikan masjid sebagai pusat kerohanian, tentu taman yang cantik dengan rumah agam itu laksana syurga dalam dunia. Sememangnya keadaan yang berbeza-beza antara sebuah taman dengan taman yang lain, dan berbeza pula dengan rumah perkampungan air dan setinggan, umpama beza antara tingkat-tingkat syurga di akhirat.

Di akhirat nanti, ada syurga yang indah permai lebih daripada syurga -syurga lain. Satu syurga dengan syurga lain tidak sama. Taman Tyng tak sama dengan Taman Fajar. Taman Grand View tak serupa pula dengan perkampungan BDC. Perbezaan antara beberapa penempatan dalam negeri kita adalah bandingan perbezaan antara satu syurga dengan syurga yang lain.

Namun, syurga itu tidak dapat dibayangkan. Bukan apa yang pernah kita lihat. Bukan pula yang pernah kita dengar. Lintasan hati tak mampu mengkhayalkannya.

Ya Allah, masukkan kami ke dalam syurgamu!

No comments: