Tiba-tiba meletus isu bahawa ada cubaan pihak tertentu untuk menukar perlembagaan sedia ada bagi negara Malaysia kepada satu perlembagaan baru. Isu itu ditimbulkan oleh mufti negeri Perak Datuk Harussani Zakaria yang mengatakan kedudukan perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang memperakukan Islam sebagai agama rasmi kini terancam dengan adanya cubaan tersebut. Menurutnya cubaan tersebut merupakan agenda tersembunyi Pakatan Rakyat.
Perlembagaan Malaysia hari ini adalah warisan penjajah. Ia tetap warisan penjajah sungguhpun telah dibuat beberapa pindaan. Pindaan adalah bersifat artificial sahaja. Kalau mahu tukar perlembagaan baru, tidak menjadi masalah. Asalkan, perlembagaan tersebut adalah perlembagaan Islam. Menukarkan satu perlembagaan dengan perlembagaan baru yang lebih baik kita harus sokong dan alu-alukan. Namun, kalau perlembagaan sedia ada ditukar dengan perlembagaan yang lebih kufur, tentulah kita tidak suka dan kita tentang.
Bagaimana dengan rukun negara "Keluhuran Perlembagaan". Ya...Perlembagaan memang luhur. Tetapi jika ada beberapa perkara yang tidak luhur, parlimen telah buat persidangan dan telah banyak kali membuat pindaan. Bermakna, perlembagaan bukanlah bersifat luhur semuanya. Kalau luhur, tak adalah pindaan. Bagaimana kita hendak meluhurkan perlembagaan yang mengandungi kesalahan dan kekurangan? Itulah dibuat pindaan agar ia mencapai kesempurnaan dan dapat diluhurkan.
Sila kemukakan perlembagaan baru yang dikatakan itu. Kita mahu lihat perlembagaan jenis apa. Namun, mempertahankan perlembagaan secara totok sebagaimana kalam tuan mufti adalah tidak sesuai bagi seorang muslim yang menginginkan kebaikan dan pertambahan dalam kebaikan.
No comments:
Post a Comment