CARI BAHAN

Friday, August 27, 2010

Ya Allah...pelihara daku untuk baki hayatku!

Kerlmarin aku menyampaikan ceramah di Pusat Penyelidikan Perhutanan Sepilok, Sandakan,  kepada sebilangan kakitangannya. Tajuk ceramah adalah "Impak Puasa Ramadhan dalam kehidupan". Aku menyampaikan apa sahaja isi tentang puasa Ramadhan. Sesi soal jawab lebih panjang dari sesi ceramah. Sememangnya kehendak warga PPP ialah ruang soal jawab. Dari jam 10 sehingga jam 12 aku bersama mereka. Hampir masuk Zohor masih banyak persoalan yang ingin dilontarkan oleh warga kerja yang mengikuti sesi ceramahku pagi itu. Pengerusi terpaksa menghentikannya.

Hari ini, aku menyampaikan ceramah sempena nuzulul Quran di Masjid SMK Elopura Bestari kepada para pelajar tahap 2. Ceramah diadakan selepas solat jumuat.  Aku hadir atas jemputan sahabatku Ust. Khairul Asyraf.

Aku bukan seorang penceramah yang berkaliber. Aku masih belajar seni ceramah. Ceramah-ceramahku bukan oratik dan tidak kaya humur sebagaimana sebilangan penceramah terbilang. Tetapi, apa nak buat. Allah yang mentakdirkan aku perlu menyampaikan ceramah. Atas kesedaran bahawa setiap jemputan adalah susun atur daripada Allah SWT, aku tidak tega menolak.

Mujur sungguh Allah melimpahkan kasih sayangNya kepadaku dan menjaga harga diri keustazanku sehingga kini. Banyak sekali pancaroba zaman remaja dan muda beliaku sebelum mencapai umur sekarang. Tetapi, sejauh yang aku sedar, Allah telah memeliharaku daripada terjerumus ke lubang yang bertebing tinggi. Kiranya aku pernah terjatuh ke lubang dalam di zaman remaja dan muda beliaku yang lalu, tentu amat malu sekali bagiku untuk berbicara sebagai penceramah.

Alhamdulillah. Aku ingin mengucapkan syukur kepadaNya atas segala perkara lalu yang terjadi yang tidak disukai oleh hatiku. Benarlah bahawa apa yang kita sukai, belum tentu baik untuk kita. Apa yang kita benci, boleh jadi baik untuk kita. Semasa kita berdepan dengan sesuatu persimpangan, kita tidak tahu hikmah di sebaliknya. Hikmah datang setelah makan masa bertahun-tahun.

Subhanallah...

No comments: