Kesetiaan Hang Tuah kepada Sultan hendaklah dicontohi. Dengan kesetiaannya yang tidak berbelah bahagi itu, Melaka dapat mencapai keamanannnya dan meluaskan empayarnya. Bukan kependekaran Hang Tuah yang menjadi sebab kepada hebatnya empayar Melaka, tetapi kesetiaannya kepada Sultanlah yang menjadi ramuan terpenting. Kalau pendekar, Hang Jebat juga pendekar, tetapi dengan sebab kederhakaannya, negeri Melaka menjadi porak peranda.
Justeru, kita hendaklah mencontohi kesetiaan Hang Tuah. Dia setia kepada raja dan negara. Kita hendaklah setia kepada pemimpin kita dan negara.
Demikian seorang sahabat guru menghuraikan tentang erti sebuah kesetiaan dan kepentingan buat negara.
Cuma, satu hal yang perlu diperbetulkan, kesetiaan Hang Tuah kepada Sultan itu bukanlah faktor kejaguhan , gemilang, cemerlang dan terbilangnya Melaka. Melaka mempunyai rakyat yang bermentaliti "pantang derhaka" itu akhirnya tewas dan tak mampu mempertahankan negeri Melaka. Ketika raja Melaka cabut meninggalkan bumi Melaka, lantaran diserang Feringgi , rakyatnya pun berbondong-bondong meninggalkan tanah tumpah darah mereka.
Dalam sejarah singkat Melaka antara 1402 sehingga 1511, terdapat antara sultannya yang zalim, kaki perempuan dan bersultan di mata beraja di hati. Sultan merampas tunangan orang. Sultan menyimpan gundik dan pantang melihat perempuan cantik terus mahu digundikinya. Sultan seperti perompak yang merampas harta dan anak dara orang. Sultan seperti ini menjadi faktor jatuhnya sebuah kerajaan. Ditambah pula mentaliti Melayu yang diwakili oleh watak kesetiaan membuta tuli Hang Tuah.
Hang Jebat membawa watak melayu medeka. Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah. Demikianlah motto Hang Jebat.
Lalu, apabila kerajaan Melaka tumbang, apakah watak seperti Hang Jebat harus dipersalahakan? Pemimpin khianat, celaka dan malaun itulah yang meruntuhkan kerajaan Melayu. Melayu menyimpan harapan tinggi buat mereka untuk memacu keagunggan bangsa bersendikan agama Islam, tetapi, harapan itu dikhianati.
Aku suka kalau Melayu berwatak Hang Jebat. Ia sesuai dengan fitrah manusia yang mahu kebebasan dan tidak rela kezaliman menginjaknya. Watak rakyat sebegini akan menyelamatkan negara. Pemimpin boleh berganti seribu kali, tetapi keadilan tetap satu dan perlu lestari selamanya.
Tiada kesetiaan kepada pemimpin yang corrupt, pecah amanah, khianat dan hanya memikirkan jalan membuncitkan perut sendiri!
No comments:
Post a Comment