Kerbau adalah binatang belaan yang amat dekat dengan masa laluku. Di zaman aku kanak-kanak lagi aku sudah kenal dengan kerbau. Bapaku, selain petani dan penoreh, juga merupakan penternak kerbau. Tapi, tidaklah kerbau dalam jumlah yang banyak.Seingatku, paling banyak kerbau yang dibela oleh bapaku dalam satu masa hanyalah lima ekor. Itupun kerbau-kerbau dalam satu keluarga. Ibu kerbau, bapa kerbau dan anak-anak kerbau.
Biasanya, kerbau yang dibela bapaku adalah untuk dijual atau disembelih buat kenduri, terutamanya kenduri kahwin. Perkahwinan saudara-saudara kandungku kebanyakannya berlaukkan daging kerbau peliharaan bapaku. Setelah bapaku meninggal, ibuku melanjutkan membela saki baki kerbau yang ada untuk beberapa tahun. Kemudian, kerbau belaan keluargaku pupus semuanya.
"Saya masuk universiti dengan jasa kerbau...", aku memberitahu sahabat-sahabatku dalam perbualan kami di satu pagi.
Ya, bapaku menjual seekor kerbau untuk mengirimkan aku ke universiti. Keluargaku miskin. Tiada bantuan kerajaan yang menampung kemasukanku ke universiti. Cuma, kemudian dapat pinjaman JPA semasa sudah qarar belajar di universiti.
Kerbau binatang yang mudah diajar. Bapaku mengajar kerbau-kerbaunya menenggala sawah di kala traktor belum masyhur penggunakan di kalangan petani-petani dataran tinggi seperti kampungku. Dengan hanya berdiri di atas permatang sawah, bapaku mengarahkan kerbau menarik tenggala.Ketika sampai ke penjuru sawah, bapaku akan mengarahkan belok dengan bahasa yang sudah difahami kerbaunya.
Di musim selesai menuai padi, bapaku melepaskan kerbaunya. Beberapa bulan kerbau bebas lepas meragut rumput di sana sini. Kerbau orang lain juga dilepas. Bila hampir tiba musim menanam padi, semua penternak kerbau akan menangkap kerbaunya kembali. Waktu ini, aku sering membantu bapa memburu kerbau yang jadi liar akibat terbiasa dengan kehidupan bebas yang singkat itu. Berbagai helah digunakan untuk memerangkap kerbau.
Ada sekali peristiwa,kerbau bapaku yang ditambat dalam sawah di bendang Yol didapati mati. Bapaku mengandaikan ular berbisa yang memagutnya. Sayang sekali. Kerbau itu adalah kerbau ibu yang gemuk sihat. Tubuhnya berisi. Kalau dijual,paling tidak harganya mencecah RM2000. Itu harga waktu itu, sekitar awal tahun 90-an. Dengan hati sedih, kami menarik kerbau itu ke banggul dan mengebumikannya dalam sebuah hutan belukar. Pada saat kami melintas di pinggir hutan itu, kami sering dihantui memori kerbau ibu gemuk montel itu.
Rasa seperti saudara sendiri yang mati. Perasaan bapaku tentu lebih lagi. Pagi petang dia banyak habiskan masa menjaga kerbaunya.
Hari ini,kerbau telah hilang daripada kehidupan keluargaku. Hanya ada beberapa ekor lembu yang mulanya dilanjutkan pemeliharaannya oleh ibuku. Kini ibuku tidak mampu lagi mempedulikan haiwan peliharaan itu. Adikku yang meneruskannya.
No comments:
Post a Comment