Aku memberhentikan kereta di tepi tiga kanak-kanak yang menjual lembaran keputusan Sport Toto itu. Malam ini aku memasuki bandar Sandakan tanpa tujuan yang pasti. Meninggalkan majlis Forum di Masjid Jannatun Naim Sri Taman tadi, acara belum selesai. Mulanya tujuanku mahu pergi membeli belah di Pasaraya Borong Gentingmas. Namun, sebaik keretaku meninggalkan perkarangan masjid, puteriku Zamila Salsabila terus terkulai lena. Dia keletihan kerana banyak berlarian di masjid tadi.
"Kamu jual keputusan Sport Toto?", aku menurunkan cermin tingkap dan melontarkan pertanyaan dari dalam kereta. Kanak-kanak itu kebingungan untuk menjawab pertanyaanku. Kelihatan riak ragu-ragu pada wajah mereka.
"Siapa bos yang menyuruh kamu jual?", tanyaku lagi setelah pertanyaan pertama tidak dijawab.
"Cina!", jawab seorang daripada mereka.
"Yang membelinya siapa? Ada yang melayu ke?", soalku lagi
"Ada...", balas kanak-kanak itu.
"Berapa komisen kamu dapat?",
"Kalau kami dapat habiskan sepuluh helai ni, kami dapat RM2.00", seorang kanak-kanak menceritakan.
"Kamu bangsa Suluk?", aku bertanya.
"Ya", jawab seorang.
"Sekolah tak", isteriku menyampuk bertanya.
"Tak...", mereka menggelengkan kepala.
"Ok...semoga kamu semua dapat membesar dengan baik", aku nenamatkan perbualan jalanan itu.
"Semoga tuan haji panjang umur", suara kanak-kanak itu membalas ketika aku telah mula meninggalkan mereka.
Sungguh kasihan mereka. Mereka tidak bersekolah. Mereka miskin. Mereka tak tahu perbuatan mereka menjual keputusan sport toto itu sebagai usaha yang haram. Mungkin ibu bapa mereka pun tidak menerangkan buat mereka.
"Akulah yang akan dipersoalkan...", keluhku risau.
Sekurang-kurangnya mereka tidak merompak. Mereka mencari razeki dengan jalan haram tetapi mereka tidak mencuri dan merompak. Apakah kaedah yang boleh digunakan buat memaafkan mereka yang tersepit dan menjadi mangsa keadaan itu?
"Akhaffu dararain...", kaedah itu berlegar dalam fikiranku. Aku merenung. Apakah mereka itu dibenarkan dibenarkan menjual berdasarkan kaedah tersebut?
No comments:
Post a Comment