Bagaimana dikatakan seseorang itu mendapat Lailatul Qadar? Masa kanak-kanak dulu orang tua-tua bercerita. Siapa yang nampak Lailatul Qadar hendaklah dia minta apa sahaja yang dia mahu. Biasalah, zaman kanak-kanak ada senarai favourite perkara yang akan diminta.
Aku akan akan minta jadi kaya. Sesetengah kanak-kanak menyimpan tekad itu. Ada yang nak minta jadi pandai. Ada pulak yang mahu minta yang bukan-bukan. Nak minta ilmu kebal, ilmu ghaib dan sebagainya. Kanak-kanak mendapat gambaran salah mengenai maksud mendapat Lailatul Qadar. Kesalahan dalam memahami maksud mendapat Lailatul Qadar itu bukan sahaja di kalangan kanak-kanak sepertiku saat itu, tetapi juga di kalangan orang-orang dewasa, malai lebai-lebai kampung.
Pada malam-malam 10 terakhir, ada yang bawa bantal dan selimut untuk tidur di masjid. Memang tidurlah semata-mata. Kononnya menunggu Lailatul Qadar. Sebelum masuk subuh sudah pulang ke rumah untuk bersahur. Bila masuk Subuh, tak datang semula ke masjid.
Kononnya, diceritakan orang tua-tua, ada seorang keluar membuang hajat lewat pagi. Zaman itu orang buang hajat bukan dalam tandas. Tandas ni benda bid'ah (bid'ah dari segi bahasa aje) zaman moden. Zaman dulu orang buang hajat dalam hutan belakar, di pangkal pokok yang tersorok, dalam kebun pisang dan sebagainya. Hamba Allah yang seorang ini diceritakan keluar buang hajat di pagi buta yang gelap di satu kawasan yang banyak pokok kelapa. Dengan kain pelikat disebai di bahu dia keluar mencari lokasi strategik. Al-kisah dia pun jumpalah. Kain pelikatnya diletak atas tunggul sebatang kelapa tumbang. Setelah sempurna qadha hajatnya, dia mahu mengambil kain pelikatnya. Malangnya kain pelikat itu tiada di tempat dia letakkan. Dia pula lupa-lupa ingat kerana mamai di pagi buta. Akhirnya dia pulang sahaja dengan niat nak dapatkannya semula bila hari cerah sahaja.
Bila hari cerah dia pun datanglah mencarai kain pelikatnya di sekitar tempat dia menandas semalam. Tak ditemuinya juga. Pusing sana sini tak jumpa, dia dingak ke atas. Terkejut beruklah dia bila melihat kain pelikatnya tersangkut di pelepah kelapa yang tinggi.
Maka hebohlah cerita bahawa semalam masa dia membuang hajat itu adalah Lailatul Qadar. Masa dia letak kainnya itu, pokok tengah sujud. Bila pokok sudah bangun dari sujud, jadilah kain pelikatnya di atas pucuk kelapa.
Orang pun kata....
Wah beruntungnya kau dapat Lailatu Qadar semalam!
Hahaha....
No comments:
Post a Comment