CARI BAHAN

Tuesday, August 15, 2023

Orang ramai umpama domba

Orang ramai seumpama domba
dikawal oleh para gembala
ada masanya dipimpin serigala
jika gembala menjadi maula
maka tongkat sebagai petanda
jika serigala menjadi kepala
maka rakyat menajdi mangsa.

Bagi yang punya jiwa hamba
jadilah diri mengikut segala
ucapan tuan dianggap sabda
diri tertambat dipegang kepala
taat pemimpin setiap masa
jika mati hidup semula
telunjuk pemimpin tetap sebagai hala
ke timur dan barat ke mana sahaja
arahan pemimpin tidak diderhaka
perbuatan melawan sangatlah langka.

Namun jika berjiwa merdeka
tiadalah mengikut membabi buta
arahan pemimpin ditanggap berpada
jika dilihat manfaatnya ada
diikut dengan penuh waspada
jika mudarat bakal menoda
arahan disanggah taat tiada

Taat pemimpin percikan asobiyyah
kerana dorongan semangat ananiyah
demi kerana sama kabilah
atau bersatu dalam wadah
kebenaran datang lalu disanggah
kebatilan apapun tetap disembah
walau gelap dikatakan cerah
walau susah dikatakan mudah
walau goyah dianggap gagah
sanggup ditelan miski air ludah.

Pemimpin menyinga puncanya jelata
kala mereka menjadi satwa
hidup buas memburu laba
yang kuat menguasai rimba
yang lemah jadilah mangsa

Jika rakyat menjadi musleh
naiklah pemimpin kalangan yang soleh
keadilan tegak menjadi legeh
mengalirkan sungai kemakmuran nan jernih







Wednesday, August 09, 2023

Kemelut politik sebagai karya seni agong daripada Allah SWT

Beberapa waktu terdahulu, kita diperdengarkan dengan istilah Perpaduan Ummah dan juga Muwafakat Nasional. Ketika itu, Pas dan UMNO sedang menyemai kesepakatan politik yang menjadikan kesatuan bangsa sebagai ramuannya. Tentunya bangsa Melayu. Namun, masa sangat cepat berubah. Liuk lintuk politik tidak menentu. Ada keragaman yang menimbulkan kesukaran. 

Sementelahan, maslahat kesatuan ummah dalam bentuk tersebut mengikut keperluan Malaysia sangat meragukan. Apakah ia mampu membawa negara ini menerjah kabus kemandoman ekonomi atau akan meninggalkan keterpingaan kepada rakyat jelata?

Percayalah, bahawa apa yang berlaku adalah susunan Sang Pencipta yang Maha Bijaksana. 

Dalam keadaan yang semikian, yakni ada kalangan mengajak kepada bersatu padunya rakyat di bawah payung perpaduan ummah dan muwafakat nasional, Allah SWT datangkan dalam bentuk yang lain yang tidak diharapkan oleh para aktornya.

Kalau masih dapat diingatkan, beberapa tahun lau kita didendangkan dengan istilah Unity Goverment oleh Presiden Pas TG Haji Hadi, Waktu itu, ada ketidaktentuan politik. Pas berkonflik dengan DAP dalam Pakatan Rakyat. Pada pada masa itu belum lagi berkencan dengan UMNO. Bersatu pula belum lahir. 

TG Hj Hadi menyuarakan dalam ucapannya di Muktamar Pas tahun 2008. Ketika itu, telah bertiup angin istilah Kerajaan Perpaduan. Orang belum boleh menerimanya. Tg Hj. Hadi dan beberapa individu dituduh kalangan pendokong Pakatan Rakyat sebangai barua UMNO kerana merancang untuk idea Unity Government dengan UMNO yang saat itu masih berkuasa .

Boleh baca sau artikal yang diterbitkan pada tahun 2015https://theedgemalaysia.com/article/%E2%80%98hadi-wanted-unity-government%E2%80%99

Tentang cadangan Unity Goverment oleh TG Hj Hadi itu, Syed Ali Al-Habshee dari Umno Bahagian Cheras pernah menulis:

Rujuk: http://umnobahagiancheras.blogspot.com/2009/06/cadangan-kerajaan-perpaduan-jangan.html

Kalaulah anda masih ingat. Aku masih ingat detik-detik itu...

Kini, pada tahun 2023, muncul menjadi realitu sebuah kerajaan yang dinamakan Kerajaan Perpaduan yang mengumpulkan 19 parti di dalamnya. Apa yang diangankan oleh Presiden Pas satu masa lalu telah menjadi realiti tetapi tidak sebagaimana yang beliau kehendaki. Alah memang begitu dalam mentakdirkan. Dia tidak mengikut kehendak makhluk tetapi mengikut kehendakNya.

Ironinya dan entah apa rahsianya, Pas tidak dimasukkan dalam kerajaan perpaduan itu. Pas tersisih daripada berkongsi idea besar yang pernah diangkat oleh presidennya. Malah, Pas muncul sebagai penentangnya pula. Menentang apa yang pernah menjadi dendangannya satu masa dulu.

Aku melihat dan menekur makar Allah SWT ini. Apa sebenarnya yang Allah ingin ajar manusia? Lebih tepat lagi, apa yang Allah mahu ajar orang-orang Pas dalam perkembangan terkini ini?

Menjadi bahan renungan bagi yang berfikir...

Pas adalah parti pertama yang mencantumkan sperma dan ovari sebuah idea yang bernama Unity Government. Tapi bila terbentuk, ia tidak menyertainya. Kerajaan perpaduan yang terbentuk itu pula bukan sebagaimana konteks waktu lontaran Presiden Pas. Waktu itu antara PR yang didalamnya ada Pas dengan UMNO yang merupakan kepala kepada BN. 

Pas melaungkan muwafakat nasional, kini ada permuawafakatan besar parti-parti politik nasional, Pas tidak menyertainya , sebaliknya membentuk kelompok penentang yang menghimpunkan 3 parti sahaja. Pas menyeru perpaduan ummah tetapi ummah yang Allah satupadukan kini adalah Ummah Istijabah dan Ummah dakwah! Bukan sekadar Ummah Islamiyyah yang disasarkan Presiden Pas dalam siasat poltik terakhirnya.

Kita tidak akan faham sefaham-fahamnya liku-liku makrullah sehinggalah beberapa tahun mendatang. Dua atau tiga tahun lagi, kita akan dapat memahami sesuatu yang lain. Sesuatu yang baru. Bagaimana Allah menetapkan sesuatu dan melenyapkan sesuatu!

Tunggu dan saksikanlah.