CARI BAHAN

Thursday, November 22, 2012

Sebuah Episod di KLIA



Lelaki itu kelihatannya seperti orang baik-baik. Dia menegurku saat aku di luar surau yang terletak di Balai Berlepas KLIA. Dia beritahuku bahawa dia dalam perjalanan ke Labuan untuk mesyuarat. Datangnya dari Kelantan sejak kelmarin dan seharian ini dia menumpang di rumah kawannya di KL. Penerbangannya ke Labuan dikatakannya pada jam 6 petang. Perbualanku dengannya tak panjang. Aku minta diri dan bersama anak isteri ke Food Court.

Ketika aku duduk sendirian di Food Court menunggu isteri dan anakkumyang pergi mengambil makanan, lelaki itu datang ke arahku.

"Alah...malunya saya...sebenarnya saya dah order makanan tadi, baru perasan dompet tertinggal dalam kereta kawan saya....", dia mula meluahkan masalahnya.

"Jadi?", soalku .

"Ingat nak minta pinjam duit kat enta", bicaranya ber'enta', macam para ustaz juga.

"Berapa?", Soalku.

"Buat tambang teksi, RM 60 ataj RM70 cukuplah,"jawabnya.

"Tapi bagi RM 100 lah" sebaliknya dia melanjutkan.

Aku sangat berbaik hati ketika itu. Tiada perasangka buruk terhadapnya.Penampilannya pun tidak mencurigakan aku. Lantas, aku keluarkan wang RM100 dari dompet dan letakkan di atas meja.

"Anta akan duduk di sini kan, jangan ke mana-mana, nantj saya datang jelaskan balik...." katanya.

"Telefon saya nanti", aku berikan nombor telefonku kepadanya. "Apa nombor anta?", soalku.

"Nombor saya baru tukar, tak ingat," dia membalas.

Aku terkesima sebentar. Dalam fikiran sepintasku, masakan dia tak bawa hp sedangkan dia dalam perjalanan ke Labuan. Kalaupun terlupa dompet dalam kereta kawan, masakan hp pun terlupa juga? Namun, wang sudah bertukar tangan. Ia sangat pantas. Dia minta diri dan berlalu dengan wang RM100 yang aku pinjamkan.

Tanggapanku 50-50, antara percaya dan tidak. Namun, aku cuba bersangka baik. Wajahnya nampak macam orang baik. Kalaudia mahu menipuku, itu adalah bahagiannya. Wang RM100 itu bukan apa-apa. Aku tetap pinjamkannya kepadanya dengan sangka baik. Jika dia menipu, dia akan terima akibatnya.

Setalah berlalu episod iyu, aku kembali memikirkan logiknya masalah yang dinyatakan lelaki bernama Azman itu. Agak tidak masuk akal seoarang yang dalam perjalanan dengan kapal terbang untuk mesyuarat di Labuan boleh ketinggalan dompet.Sudahlah begitu, tiada pula hp.

Kenapalah aku tidak bersilat sedikit sebelum membantunya tadi? Agak terkilan. Sekurang-kurangnya ambil gambarnya dan bolehlah letak dalam blog ini supaya orang boleh kenali. Ia mungkin beguna untuk orang lain.

Lalu, aku tuliskan dalam FBku....

"Siapa yang besabar dengan kehilangan yang sedikit, Allah akan gantikan dengan yang lebih baik",

Amin Ya Rabbal Alamin!

Sidek Baba bergayut di pintu Istana

Aku masih ingat pertemuan dengan Dr. Sidek Baba dalam sebuah bilik hotel di Kuantan yang aku ikut serta. Tahun itu tahun 1998. Kekacauan politik meletus di Malaysia berikutan pemecatan DS Anwar Ibrahim. Dr. Sidek Baba pada masa itu merupakan Tim Reaktor di UIAM. Beliau datang ke Kuantan atas kapasiti pimpinan ABIM dan bertemu dengan pimpinan ABIM Negeri untuk menjelaskan kedudukannya yang perlu dipertahankan di UIAM. Alasannya adalah supaya orang jama'ah perlu terus berada di bahagian pengurusan UIAM agar UIAM tidak diambil alih oleh orang bukan anggota jama'ah ABIM.  Hujah-hujah Dr. Sidek Baba adalah untuk memperlihatkan dirinya sebagai pemain strategi yang hebat dalam kemelut penyingkiran orang-orang yang dikaitkan dengan DS Anwar Ibrahim dari kerajaan.

Itu adalah pada tahun 1998. Aku mengamati keperluan mempertahankan jawatan Tim Reaktor di UIAM sebagaimana yang ditekankan oleh Dr. Sidek Baba itu. Pada masa itu aku boleh terima hujah-hujahnya miskipun aku tidak pasti samada jawatan yang dia mahu pertahankan itu demi kepentingan jema'ah atau diri sendiri. Namun, setelah jawatannya itu diambil daripadanya juga pada akhirnya, nayatalah strateginya itu hanya tidak ke mana. Kalau tidak silap,  Datuk Sri Sanusi Junid yang dilantik menjadi Reaktor kemudiannya.Maka aku melihat lekehnya strategi Dr. Sidek Baba itu dan ia tidak lebih dari mempertahankan jawatan untuk diri sendiri. Tidak ada apa pun keuntungan jemaah di sana. Kekadang kebijaksanaan dan strategi tidak diperlukan apabila pendirian tegas sedang dituntut oleh rakyat.

Fikrah Dr. Sidek Baba pada masa ini sudah nampak jelas. Ia makin ketara apabila dia mengambil langkah menyertai kelompok Dr. Hasan Ali yang dipecat dari PAS untuk sama-sama berada dalam JATI. Orang ABIM yang menyelusur ke JATI adalah tidak punya wawasan jelas pada hematku. Penyertaan ke dalam JATI hanya satu escapisme orang-orang yang kecewa dan keliru. Dari perjuangan untuk Islam, ia menjadi pecahan 3 jalur yang mengelirukan.

Pada malam ini, Dalam satu slot TV1, aku berkesempatan melihat sepintas lalu bagaimana Dr. Sidik Baba berpencak silat bicara sepihak mengenai doa memohon kemusnahan orang lain sebagaimana yang dihebohkan dalam media kerajaan dua tiga hari ini. Apa yang cuba ditanamkan ke dalam minda penonton olehnya ialah ketempangan doa tersebut kerana ia tidak melambangkan sifat da'i dan murabbi sejati. Dia mahu orang yang berdoa itu bertindak sebagai pendakwah yang sabar dan tidak memohon keburukan kepada lawan yang disifatkannya sebagai saudara Islam. Hujah-hujahnya lebih menampakkan kecenderungannya untuk mentazkiah UMNO dan menempelkan kesalahan kepada pihak yang berdoa mohon kemusnahan terhadap UMNO.

Beliau hanya menyalahkan pihak yang berdoa dan tidak pula mahu memperkatakan sebab apa mereka berdoa begitu secara adil dan saksama. Alasan doa ke atas orang zalim juga cuba dinafikan kerana menurutnya tidak berlaku kezaliman di pihak kerajaan untuk membolehkan rakyat berdoa demikian. Beliau mengemukakan contoh apa yang dibuat oleh kerajaan dalam pendidikan yang mana dia pernah sebagai moderator Darul Quran , melatih murid-murid hafaz Al-Quran dan kemudian disalurkan ke bidanng guna tenaga negara yang pelbagai. Menurutnya kerajaan yang zalim tidak melakukan hal yang sedemikian. Contoh-contoh keadilan diambil untuk menidakkan contoh-contoh kezaliman.  

Firaun pun bukan zalim kalau hendak dikira jasanya. Firaun berjasa buat rakyat negeri Mesir dengan membina sistem saliran yang sangat membantu pertanian rakyat Mesir. Firaun juga membela nabi Musa sejak kecil. Firaun bangunkan bangunan pencakar langit di Mesir. Banyak Firaun buat untuk lahirkan tamadun Mesir yang hebat dalam sejarah. Tetapi itu bukan bermakna Firaun tidak zalim. Pertama sekali,  Firaun zalim sebab menolak seruan dakwah nabi Musa. Apabila pemerintah menolak seruan Islam yang dikumandangkan, itulah zalim namanya. Tambahan pula kalau sampai merampas hak rakyat.

Hak royalti Kelantan yang dinafikan, apa macam Prof?

Aku terkenangkan tanah Palestin yang dirampas Zionis.  Sungguh zalim Zionis. Siapa merampas hak orang lain, orang lemah yang tak berdaya, tak waras kalau dikatakan dia adil dan orang tertindas dimarahi kerana berdoa minta tolong dari Allah SWT.




Wednesday, November 21, 2012

ORANG-ORANG YANG TIDAK BERIMAN DENGAN HARI AKHIRAT

Beriman dengan hari akhirat merupakan salah satu dari rukun Iman. Ia bukan sahaja dengan lafaz lidah bahawa hal-hal akhirat diimani, tetapi memerlukan pembuktian melalui tindakan. Tidak ada maknanya jika seseorang itu berbuih mulut menegaskan bahawa dia percaya kepada hari akhirat dan balasan-balasan yang dijanjikan pada masa itu, tetapi tindak tanduk tidak menggambarkan begitu.

Konsep keimanan dengan hari akhirat bukan melalui lafaz lidah seperti mengucap dua kalimah syahadah lalu diakui sebagai muslim tanpa mempersoalkan hati dan amalannya lagi. Apabila hal mempecayai akhirat itu dikatakan soal keimanan, ia memerlukan amalan. Amalan adalah syarat keimanan.

Seorang yang makan rasuah berbilion-bilion ringgit lalu berjaya melepaskan diri dari hukuman dunia, dia berasa sangat senang hati dan bebas, maka orang itu tidak beriman dengan hari akhirat. Dia merasa dirinya selamat dengan pembebasan dunia dan lupa pembalasan akhirat. Orang seperti ini menunjukkan dirinya bersih dalam kehidupan dunia sedangkan dosa rasuah yang disembunyikannya akan dibawa dan dibalasi di akhirat.  Dia tidak pula takut dan bimbang dengan balasan akhirat yang menantinya.

Dia tidak beriman dengan hari akhirat.

Tidak beriman dengan hari akhirat menyebabkan seseorang tidak akan masuk syurga. Rasulullah SAW ketika ditanya oleh Aishah mengenai tempat Abdullah bin Jad'an, jutawan hartawan Jahiliyyah, baginda menjawab:

"Dia di dalam neraka kerana tiada sekalipun dia mengatakan semasa hidupnya:Wahai Tuhan, ampunkan daku",

Tuesday, November 20, 2012

Doa hancurkan orang zalim

Aku petik apa yang ditulis oleh Ust. Tn Ibrahim Tn. Man dalam FBnya. Ini merupakan renungan buat orang yang masih tak faham makna di sebalik doa membalas kezaliman orang yang zalim. Tidak ada orang waras mengatakan perbuatan merampas hak rakyat satu negeri itu sebagai adil. Tidak ada juga orang waras yang menyaksikan perbuatan khianat terhadap wang amanah negara sebagai tidak zalim.


Suatu hari rumah Pak Mat dipecah masuk oleh perompak, dia dan isterinya diikat dan tidak mampu berbuat apa apa....Anak perempuannya telah dirogol oleh perompak tersebut. Manakala anak lelakinya pula dibelasah dgn teruk... Yang Pak Mat mampu lakukan ketika itu hanyalah berdoa supaya Allah hancurkan perompak perompak tersebut...Setelah mendengar doa tersebut perompak-perompak tersebut memarahi Pak Mat dan berkata: "Mana boleh doa macam tu sebab aku ni ISLAM dan MELAYU!! Jangan doakan kehancuran sesama ISLAM, nanti Cina tepuk tangan!". Keesokan harinya kecoh satu kampung dan masuk akhbar tempatan dengan tajuk "DOA PAK MAT PECAH BELAHKAN ISLAM".
" Kalau ilmu hanya sepipi, usah mendakwa menguasai kitab".

Pemimpin berlidah orang biasa

Setelah bercakap berdegar-degar mengutuk Israel yang sedang menyerang Gaza, Dr. Mahathir pun melontarkan persoalan mengenai sikap DS Anwar Ibrahim mengenai Israel. Umum  tahu sejauh mana yang Dr. Mahathir telah lakukan semasa pemerintahannya terhadap Israel. Dalam banyak situasi, kutukannya terhadap Israel tidak disertai dengan tindakan. Bak kata pepatah, telunjuk lurus kelingkin berkait.

Aku masih ingat pada zaman aku di Universiti Malaya tahun 1996. Demonstrasi terbesar yang kami lakukan pada masa itu ialah membantah kemasukan pasukan kriket Israel ke Malaysia. Pada masa itu kerajaan merestui kedatangan pasukan itu malah menangkap para pelajar yang membuat bantahan. Tindakan kerajaan pada masa itu tidak melambang sikap anti Israel sebagaimana yang cuba digembar gemburkan oleh Dr. Mahathir dewasa ini. Sebab itu, aku tidak tertarik dengan bahawa keras yang Dr. Mahathir cuba tunjukkan terhadap Israel. Orang yang merasai corak pemerintahannya pada masa lalu dapat mengenalinya.

Setelah bercakap dan luahkan kemarahan terhadap Israel, ditanya soalan...

"Apa orang lain buat?",

"Adakah mereka buat sebagaimana saya?".

Ummat sudah bosan mendengar retorik pemimpin yang berkuasa. Bukan taranya pemimpin bercakap dengan bahasa rakyat.


Kataib Al Qassam

Meletusnya peperangan di Gaza memberikan keyakinan buat pemuda-pemuda Islam mengenai jalan perjuangan yang mana paling diimpikan. Apa yang ditempuhi oleh Kataib Al-Qassam benar-benar mengujakan. Ia menunjukkan keberanian para pemuda menentang soldadu Sohyuni. Ia menjadi idola pemuda yang bermaruah.

Alangkah baiknya jika pemuda seperti Kataib Al-Qassam dicontohi oleh pemuda-pemuda Islam seantero dunia.


Putarbelit kata

"Jangan jadi budak jahat...", Budak A menasihati budak B.

Budak B berang. Muka budak A ditumbuknya. Hidung budak A berdarah. Pipi budak A leban. Tidak puas denangan tumbukan, disepak dan diterajangnya budak A. Budak A tidak kuat melawan. Lagipun, budak A memang sifatnya mengalah. 

Sedang dalam keadaan budak A kena belasah begitu ibu bapa mereka datang dan cuba mendamaikan.

" Kenapa ni? Kenapa dengan kamu berdua?", Bapa budak B menahan pergaduhan itu berterusan.

" Dia kata aku budak jahat!", budak AB memberi alasan. Doa membetulkan songkoknya yang senget dan hampir jatuh.

" Tak elok tuduh orang jahat", bapa budak A sendiri menasihati anaknya. 

Budak A terkabil-kabil dan pening. Seingatnya, dia menasihati supaya jangan jadi budak jahat. Tetapi kenapa sampai bertukar mengatakan dia tuduh budak B jahat. Apakah ada salah faham atau sengaja putarbelit perkataan?

*****

" Jangan sampai kamu murtad!", pesan nasihat seorang ulama

" Dia kata kita murtad!", seorang murid dunggu dalam majlis ulama itu melantunkan kata, penuh emosi.

Monday, November 19, 2012

Apa lagi salahnya berdoa?

Doa...siapa boleh halang orang berdoa? Dulu heboh pasal orang Kristian buat majlis doa supaya Malaysia jadi negara Kristian. Ada pihak yang sangat marah kerana majlis doa tersebut. Ini kerana doa supaya Malaysia jadi negara Kristian itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Maka doa septutnya selari dengan peruntuk perlembagaan. Entah ulama mana yang mensyaratkan bahawa doa mesti selari dengan perlembagaan.

Pasal doa juga, sehari dua ni heboh lagi dalam media TV. Semasa Pas buat himpunan di Stadium Sultan Muhamamd di Kelantan, solat hajat telah dilakukan. Selepas itu doa diucapkan. Apa yang menjadi kemarahan pihak berkenaan ialah kerana doa tersebut memohon supaya kerajaan UMNO-BN tumbang dalam PRU ke 13.

Sekali lagi isu doa mohon kehanduran ke atas saudara muslim dimainkan. Sekalipun telah dijelaskan oleh banyak pihak sebelum ini bahawa doa bencana ke atas orang zalim ada asasnya dalam Islam, ia tidak mudah difaqihi oleh para pengkritik doa. Sebagaimana lumrahnya orang yang buta sebelah mata, larangan mendoakan keburukan ke atas saudara Islam menjadi kata kunci. Mereka lupa pula tentang kezaliman.

Berdoalah lawan doa itu kalau anda yakin anda di atas kebenaran. Jangan halang orang berdoa. Suka berdoa adalah lambang manusia bertuhan. Bukan salah satu rukun negara adalah "Kepercayaan Kepada Tuhan".

Biarkan orang berdoa kerana ia menjadi petanda bahawa hidup kita bernaung di bawah perasaan kehambaan kepada Tuhan.

Perumpamaan hidup

Hidup ini seperti garis lurus
di mana pangkalnya yang ditinggalkan
hujungnya nun jauh ke dapan
tidak akan bercantum

Hidup bukan bak garis bulatan
pangkal dan hujungnya bersatu

Sekali melintas tiada berulang
barang lepas jadi kenangan
tiada muda setelah tua
setelah rambut uban melata
tak kan lagi menghitam semula

langkah salah bawa ke depan
hidup bukan eksperimen
untuk cuba dan gagal
gagal bererti gagal
tidak akan bertukar jaya

masa tidak boleh ditunda

Bahasa yang serupa

Mengapa dalam kepelbagaian bahasa manusia, Tuhan jadikan bahasa gembira dan duka sama antara satu sama lain? Ketika gembira, orang ketawa. Ketawa Melayu, Cina dan India sama sahaja. Lantunan suara tawa dan memek muka semasa ketawa tidak berbeza antara mereka. Ketika duka, orang menangis. Tangisan Melayu, Cina dan India sama sahaja. Rintihan tangis itu punya irama yang serupa dan gaya tangisan pun sama. 

Kenapa dalam kelainan bahasa manusia, bahasa gembira dan bahasa duka sama sahaja?

Apakah makna di sebalik semua itu?

Wahai pejuang bangsa!
Mengertikanlah!

Sunday, November 18, 2012

Polimik" Siapa Perdana Menteri?"

Siapa yang bakal menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Rakyat menang?  Ini mrupakan persoalan yang dilemparkan oleh gerak saraf UMNO-BN untuk menimbulkan kegelisahan di kalangan rakyat yang menyokong Pakatan Rakyat. Malangnya, soalan ini disambut oleh sebilangan pemimpin dunggu dari Pakatan Rakyat lalu memperpanjangkan isu tersebut sehingga memperlihatkan kekecamukan pemikiran di kalangan mereka. Pemimpin DAP menyatakan komitmen untuk mengangkat Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri. Beberapa pemimpin PAS, terutama yang veteran juga menyatakan komitmen yang sama. Namun, ada suara-suara agar calon Perdana Menteri adalah dari Pas sendiri. TG Nik Abdul Aziz dcadangkan. Mungkin kerana faktor tua dan uzur, cadangan itu tenggelam begitu sahaja. Lalu, pilihan terbaik adalah TG Hj. Hadi Awang. Dalam Muktamar Pas baru-bari ini, Wakil dari Dewan Ulama, Hairun Nizam Mat Hussain menyatakan calon paling sesuai untuk jawatan Perdana Menteri adalah TG Haji Hadi Awang.

TG Hj. Hadi Awang atas sifat tawadhuknya menyatakan bahawa dia lebih rela kembali menjadi nelayan. Dia mahu menjadi khadam rakyat.

Siapa bakal Perdana Menteri Malaysia, itu masa yang akan tentukan. Ia tertakluk di bawah takdir Tuhan pemilik kekuasaan. Apalah faedahnya dipolimikkan. Janganlah jadi mangsa mainan gerak saraf UMNO-BN sehingga meloncat dengan isu tersebut. Sudah bertahun-tahun PAS berjuang di Malaysia, masakan mahu jadi buruk perangai hanya kerana menggilai jawatan Perdana Menteri.

Kita lupakan perdebatan tentang itu dan serahkan kepada takdir. Perkara itu masih di alam ghaib dan buat apa menghabiskan masa memperdebatkan persoalan ghaib. Persoalan di depan sekarang adalah adakah mampu membuat turning point dalam PRU ke 13 nanti?

Mereka yang mengukir nama harum

Mereka yang mengukir nama
dengan tinta emas
harum semerbak
di medan syuhada'
hidup mulia berjuang
mati bermaruah biar berdarah

Ahamad Yasin dan Rantisi
disusuli sebilangan nama
yang dikenali dan dijahili
Ja'bari yang terkini
adalah gugur pahlawan harum
darah mereka membajai Gaza

Sungguh bermakna hidup seperti mereka
berlari di bawah bebayang jihad
nama tercatat di dada bidadari
gugur syahid hidup kekal
mendapat razeki sesudah dunia fana

Barakallahu penduduk Gaza.

Selamatkan jantung ummat

Ketika jantung berdegup kencang
gelisahlah sekujur tubuh
letih nafas semput
peluh membasahi ubun-ubun

Palestin itu jantung Muslimin
Gaza itu arterinya
Zionis sedang mengumpulkan angkatan
darat dan udara akan diserang
para syuhada gugur laksana embun dini

Zionis tentera bacul
hanya berani melawan awam bersenjata batu
Al-Qassam sebiji sudah riuh sedunia
Amerika di belakangnya
Mesir dan Turki di belakang Palestin digelisahkan

Ledaklah peperangan
Itulah penawar buat jantung ummat
Wahai pemimpin berjiwa besar
ajarlah Israil mengenali darah dan maut
tempar sepak dan terajang si budak nakal itu.

Nyahkan ia dari bumi warisan.
selamatkan jantung ummat.

Bila hudud tidak disebutkan

"Mengapa Hadi tak sentuh pasal hudud dalam ucapan Dasarnya?", Utusan Melaysia riuh mengomentar.

"Kalau sentuh apa kamu sokong?",tempelak Harakah.

" Bukankah hudud tu dasar PAS?", Utusan Malaysia  tidak puas hati juga sebab hudud tak disebut dalam ucapan Hadi.

" Kenapa kamu sibuk pasal dasar PAS?", soal Harakah.

" Sebab saya sayangkan Islam", Utusan Malaysia membela diri.

"Kalau sayangkan Islam, suruh UMNO tegakkan hudud!", balas Harakah

"UMNO tidak meletakkan hudud sebagai dasarnya",Utusan Malaysia mencipta alasan.

" Kalau begitu apa lagi gunanya bela UMNO? " tempelak Harakah.

50 tahun hudud disebut baru sekarang Utusan Malaysia sibuk dan rasa ralat dalam hati kerana hudud tak disebut. Memang begitu ragam orang. Ketika di depan mata tidak merindui. Bila sudah tiada di depan mata, barulah terasa kehilangan.

Kenapa? Rindukan kalimah hudud?

Saturday, November 17, 2012

Oh Raja Abdulah!

Untuk apa kau jadi pemimpin?
Untuk makan sesuap nasi?
Atau supaya  tidur beralas empuk?
punya istana sunyi di atas bukit?
supaya paling kaya atas rakyat jelata?

Untuk apa kau jadi pemimpin?
Kalau hanya tahu bersandar
dalam pejabat berhawa dingin
sambil mengira kepingan emas
sedang rakyat mengira kerikil jalan

Dunia bergegar dengan  serangan salibi sahyuni
Gaza menangis tidak dipeduli
kau pemimpin kemas berigal putih
atau leka seronok didodoi kuasa
sedang rakyat bosan menanti

Masih boleh berkata
dalam hujanan peluru
"kita mesti bijaksana"
"Jangan emosi"

Oh raja Abdullah!


Karpal akan mati, hudud terus hidup.

Karpal Singh nampaknya konsisten sebagai penentang hudud. Hanya barangkali komentarnya mengenai hudud tidak lagi sekeras dulu. Belia menegaskan kembali penolakannya terhadap hudud apabila Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk harun Taib membuat kenyataan bahaw Pakatan pada dasarnya bersetuju untuk melaksanakan hudud bila kerajaan Pakatan Rakyat dibentuk. Penentangan Larpal Sigh terhadap hudud bukanlah hal yang luar biasa. Penyokong Pas dan Pendokong Pas tidak perlu responsif terhadap kenyataan Karpal Singh.

Kenyataan bukan hal perlu diperdebatkan. Lagipun, Karpal bukan akan hidup selamanya. Idea hudud akan terus hidup melepasi usia Karpal Singh dan melepas usia Datuk Harun Taib sekalipun. Orang Cina di Malaysia, khasnya yang berada dalam DAP sedang mengalami anjakan sedikit demi sedikit. Tidak mustahil satu masa nanti hudud akan diterima secara terbuka oleh kebanyakan orang cina DAP. Sampai bila Karpal Singh hendak menetang.

Orang Pas hendaklah jadi waqar menhadapi sentimen hudud. Politik itu diperjuangkan makan masa bertahun-tahun. Hasilnya bukan hari ini atau besok. Klimaknya bukan setelah membentuk kerajaan sebaik memerintah Malaysia.

Pejuang Islam acuan Ikhwanul Muslimin hendaklah punya pendekatan sabar dan hikmah. Tidak perlu diasak oleh puak yang duduk berteleku lalu bersorak. Ikhwanul Muslimun di Mesir kelihatan telah meletakkan orangnya di puncak kuasa. Namun, hudud bukan termasuk keutamaan selepas memerintah. Demikian Erbakan di Turki dan Parti An-Nahdha di Tunisia.

Kalau diikut UMNO, Perkasa dan Jati, hari ni menang hudud wajib dilaksanakan esok. Tetapi, UMNO sudah memerintah lebih 50 tahun, perkataan hudud pun tidak pernah dilafazkan oleh pemimpinnya. Kalau disebutpun hanya kerana hendak mencabar Pas.

Tahalluf Siyasi dan Half Al-Fudhul

Ada suara orang-orang mengigau yang mempersoalkan kewajaran Tahalluf Siyasi, pendekatan politik yang diamalkan oleh Pas. Igauan itu diforumkan pula dengan tajuk" Tahalluf Siyasi: Syar'i atau Justifikasi". Samada ia menepati syarak atau hanya sebuah justifikasi, itu bukan hak pemerhati politik untuk membuat justifikasi. Ulama yang meladeni politik mempunyai kredebiliti untuk berijtihad sedangkan bagi golongan yang berada di luar pagar, jadi tukang sorak pertarungan politik, tidak berhak untuk berijtihad. 

Sekalipun para ulama yang mengesahkan keabsahan amalan "Tahalluf Siyasi" dalam PAS itu silap, ia masih diberi pahala kerana menggunakan daya ijtihad. Mereka memang layak menggunakan ijtihad. Mereka ahli pertarungan politik. Sedangkan pihak yang hanya memerhati lalu membuat justifikasi, mereka tidak punya hak untuk berijtihad.

Peristiwa Half Al-Fudhul pada zaman nabi sebelum menerima wahyu menjadi satu sandaran kuat yang digunakan untuk memulakan perbincangan mengenai "Tahalluf Siyasi".Setelah itu, kita akan menemui banyak ayat yang mengesahkannya terutama dalam Surah At-Taubah:

Nabi bersabda mengenai Half Al-Fudhul:

 لَقَدْ شَهِدْتُ فِي دَارِ عَبْدِ اللهِ بِنِ جُدْعَانَ حِلْفاً، مَا أُحِبُّ أَنَّ لِي بِهِ حُمْرَ النَّعَمِ، وَلَوْ أُدْعَى بِهِ فِي الإِسْلامِ لأَجَبْتُ 


" Demi sesungguhnya aku telah saksikan di rumah Abdullah bin Jud'an satu perjanjian setia yang aku lebih suka kepada daripada unta merah. Seandainya aku diajak kepadanya pada zaman Islam, nescaya aku sahut ajakan itu".

(Dikeluarkan oleh al-Baihaqi dalam Sunan Al-Kubra dan ditashih oleh al-Bani dalam Tahqiq Fiqh Sirah; Al-Ghazali)

Malang tidak berbau.

Malang sungguh tidak berbau.Itulah pepatah orang tua-tua. Sebenarnya ia bermaksud qadha dan qadar Allah itu tidak diketahui. Bila sampai masanya, berlakulah apa yang ditakdirkan. Sebab itu, salah satu dari rukun iman adalah meyakini qadha dan qadar datangnya dari Allah SWT. Bila datang dari Allah, ia datang dari ilmu Allah SWT.

Adakah seseorang yang boleh menerobos apa yang disimpan kemas dalam ilmu Allah?

Kelmarin, sekatu pulang dari solat Jumuat yang mana aku sampai khutbah bertajuk " Hijrah buar ummat", aku nampak Hj. Jahidin Laballe berjalan dengan tongkatnya pulang dari masjid. Aku menunggang motosikal menujunya. Hasrat hati adalah nak boncengkan dia buat dihantar ke rumahnya di Lorong 11. Entah apa tang menimpaku, aku goyah. Aku meluncur ke arah belakang Hj. Jahidin.Cuba mengelak tetapi masih mengenainya sipi-sipi. Dua rebah. Tetapi lebih malang adalah aku kerana tersemban ke tar. Motosikal rebah.

Mujur Hj. jahidin tidak cedera. Orang tua itu sudahlah jalan bertongkat, kalau aku sebabkan cedera ke atasnya, besarlah ralat yang menimpa hatiku. Namun, syukur Alhamdulillah, dia selamat. Aku luka di mulut, tangan dan calar di hidung(kerana terkena cermin mata).

Mujur tidak ramai yang lalu lalang. Tidak ada yang saksikan kejadian. Kalau tidak, malulah juga. Nanti dikata orang, bagamana naik motosikal sampai boleh terlanggar Hj. Jahidin yang berjalan di tepi jalan. Dia sudah berjalan bertahun-tahun dan tidak ada orang pernah melanggarnya. 

Aku memang bingung. Kenapa boleh sampai terlanggar Hj. Jahidin. Tidak habis fikir dibuatnya aku mencari sebabnya. Ia memang luar biasa. Ia memang tidak dapat dibayangkan kejadiannya. Ia sepontan dan sekelip mata.

" Apalah dosaku hari ini!", aku mengeluhkan hal itu ketika isteriku mencucikan luka-luka di tangan dan mukaku.

" Apakah khutbahku tadi tidak baik ?", aku berguman dalam hati , cuba meneroka sebab.

Thursday, November 15, 2012

Arwah Hamid Osman Tokoh Maal Hijrah 1434

Memang sikap kerajaan yang suka memberi penghargaan kepada orang yang sudah mati boleh dijenakakan. Begitu ramai orang hidup yang boleh dihargai, orang mati juga yang dicari. Dengan nada seloroh, seorang meluahkan dalam sembang kedai kopi.


"Memang kerajaan UMNO-BN sangat menjaga hantu, orang mati lebih  utama dari orang hidup",

" Itu pasal banyak hantu boleh mengundi",


Masa P.Ramli hidup, dia bukan dihargai. Bila dah mati, namanya didewakan ke tahap melampau. Dianugerahkan gelaran seniman. Diberi bintang Tan Sri. Tiada orang sehebat P. Ramli. Orang hebat yang masih hidup hari ini tidak pula mahu disanjung.Hamid Othman masa hidupnya tidak pula mahu dianugerahkan sebagai tokoh Ma'al Hijrah. Lagi pun apalah maknanya anugerah walau setinggi gunung pun kalau dah mati. Barang dunia tiada makna kalau dah mati.

Wednesday, November 14, 2012

Lelaki

Lelaki itu
bukan seorang wanita
tak layak pula dipanggil perempuan
apatah lagi dijoloki betina
juga bukan bernama jantan

Lelaki itu
hidup bermaruah perwira
mati harum nama
tegak nama selamanya
walau jasad di mamah reput

lelaki itu
namanya dikarang bidadari
meniti di bibir malaikat

Jihad Gerakan Islam merawat penyakit ummat.

Mengamati polimik yang timbul berkaitan perpecahan ummat Islam kekadang sangat meletihkan. Polimik besar meletus antara ahli Sunnah dan Syiah.  Kemudian, timbul pula isu wahabi, salafi, sufi, tariqat dan kini pluralisme, liberalisme dan sekularisma. Semua ini menjadi penyakit buat ummat ini. Kenapa semua penyakit ini timbul dan apa cara mengatasinya?

Kita lihat polimik ini dipendamkan dan tidak diperdebatkan jika Islam bergerak atas carta jihad. Para pendokong gerakan Islam, mereka tidak menghabiskan masa mendebatkan isu tersebut yang kesudahan tidak ke manapun. Gerakan Islamlah kelompok ummat ini yang melaungkan jihad sama ada jihad peperangan maupun silmiah.

Kerana tidak ada gerakan jihad, ummat mempergunakan masa lapangnya untuk bermain-main. Bila sudah banyak bermain, berlakulah  pergaduhan. Ia seperti sekumpulan kanak-kanak hinggusan yang bermain sepanjang hari. Pada hujungnya, akan ada yang menangis.

MENGUBATI PENYAKIT UMMAT

Ummat Islam dewasa ini dilanda pelbagai penyakit. Penyakit luaran mahupun dalaman. Tidak terhitung lagi banyaknya penyakit yang melanda ummat ini. Kalau ibarat manusia, seluruh tubuh sudah bersalut kudis dan antibodi sudah begitu lemah sekali. Pelbagai penawar dan ubat telah dicubakan tetapi banyak tenaga  yang tercurah sia-sia. Seminar, kolokium, perbincangan, debat, pemulihan ekonomi, ketenteraan dan sebaginya telah pun dicubakan, namun hasilnya masih tidak seberapa. Lantas, timbul persoalan, apakah sebenarnya ubat untuk penyakit ummat ini?

Dalam tulisan ini, saya hanya menyebutkan hipotesis saya dan pembuktian akan dibawakan kemudian. Saya mengatakan penyakit ummat ini dapat diubat dengan menggerakkan usaha jihad. Jihad pula sudah tentu ia berkaitan dengan usaha untuk berdiri berkuasa di muka bumi. Penawar ini adalah penawar mujarab yang menjadi ramuan kejayaan ummat terdahulu.

Sekian.

Tasawwuf mengisi lakuna jihad.

Bila berlalu zaman jihad datanglah zaman tasawwuf. Bila datang zaman jihad, berlalulah pula zaman tasawuf. Permulaan Islam ialah zaman jihad. Bila Islam telah mencapai kemenangan dan menguasai pemerintahan, maka ummat telah tertarik dengan pengisian untuk kehidupan beragama. Antara pengisisan utama yang mendominasi masa-masa kosong rakyat negara Islam yang menikmati hasil kemenangan jihad ialah menjalani kehidupan tasawwuf dalam ertikata zuhud, benci dunia dan akhirnya menjelajah kepada falsafah kebatinan yang sangat dekat sekali dengan persoalan tasawwuf.

Para peneliti sejarah panjang ummat Islam akan melihat hakikat ini. Pada zaman awal Islam, budaya bertasawwuf tidak berkembang dalam masyarakat. Ummat disibukkan dengan jihad sama ada peperangan membebaskan negara-negara yang terjajah oleh kuasa kafir Parsi dan Rom atau pun menyebarkan Islam ke seantero dunia. Namun, pada saat daulah khilafah telah tegak berdiri mentadbir sebahagian alam ini, maka ketika itulah meresap pelbagai dogma, pemikiran, amalan yang akhirnya menjadi polemik dalam masyarakat.

Hingga satu fasa, amalan tasawwuf menjadi makanan harian ummat. Para ulama besar yang hidup di zaman tersebut menjadi penganut tasawwuf. Mengengkari tasawwuf akan menjadikan mereka terpinggir dari arus perdana. Mengingkari tasawwuf juga akan meletekkan dimensi tazkiatun nafsi Islam berdepan dengan pelbagai pencemaran yang merosakkan keaslian. Maka, keberadaan ulama besar dalam dunia tasawwuf boleh dilihat sebagai satu usaha membentuk benteng mempertahankan konsep sejati Islam dan meminimakan konsep kependetaan asing.

Tidak ternafi bahawa ada tokoh tasawwuf yang benar-benar hanyut mengikut konsep khayalan mereka dalam tasawwuf sehingga mengguris keaslian Islam. Namun, sebahagian besar ulama zaman tersebut, miski bertasawwuf, masih memiliki asas-asas kesufian Islam. 

Sekarang, ummat Islam berada pada fasa jihad kembali. Pemikiran jihad sedang kembali marak dan bangkit dari lena panjang. Di sebahagian negeri Ummat Islam, jihadnya membebaskan dari penjajahan. Zaman penjajahan fizikal sudah hampir tamat. Kini dibalut pula penjajahan mental. Semuanya menuntut perjuangan. Bila datang roh perjuangan, tasawwuf pun menjadi dimensi yang keringgalan. Ia menjadi pengisian yang dilihat tidak membangkitkan roh perjuangan. Ia dianggap melekakan dan membuatkan orang lupa dengan masalah besar yang sedah melanda ummat.

Sebenarnya, ummat ISlam itu perlukan apa? Jihad atau Tasawwuf?

Menjawap persoalan ini, baik kita imbau zaman nabi dan sahabat serta tabi'in sebagai model. Apakah yang mereka perlukan semasa mencanai zaman kegemilangan Islam? Apakah yang telah mereka lakukan?

Sudah tentu jihad.Mereka ummat yang berjihad. Jihad sebagai jalan ke syurga. Mereka tidak kenal tasawwuf sebagai aliran sebagaimana yang dikenali pada zaman-zaman kebelakangan sesudah mereka.

Sekarang, para ulama politik sedang berjihad menumbangkan taghut dalam negara ummat ISlam. Malang sekali pula, ada ulama Tasawwuf menjadi benteng mempertahankan penguasa taghut tersebut. Ambil contoh luar negara. Dr. Said Ramadhan al-Butti sangat membela Bashar Al-Assad. Dia adalah sebagaian dari tokoh ulama yang dillihat bertasawwuf. Ulama-ulama anggota gerakan Islam disubukkan dengan dakwah menyedarkan masayarakat untuk bangkit merdeka.

Lihat juga di Malaysia. Siapa yang berjihad untuk memenangkan Islam dan meletakkannya pemerintah dalam bernegara? Siapa pula yang duduk menyokong para penguasa yang mendokong pemerintahan gaya warisan terdahulu berlumuran najis sekular?

Ummat perlu kefahaman jitu dalam menelah perkembangan ini!

Tuesday, November 13, 2012

Malang Pemimpin Ke Enam

Imam As-Sayuthi menyebutkan dalam karyanya Tarikh Al-Khulafa' bahawa Ibn Al-Jauzi memetik perkatan As-Suli di mana dia telah berkata:

Ada orang berkata bahawa sesiapa yang menjadi pemimpin keenam akan berdepan dengan pemecatan (disingkirkan dari jawatannya).

Petikan yang sama juga diturunkan oleh Ibn Kathir dalam Al-Bidayah Wan Nihayah .


Ibn Al-Jauzi berkata bahawa dia telah meneliti hal tersebut dan mendapati ia sangat menakjubkan. Beliau membawa contoh pemerintahan Islam yang bermula dengan nabi SAW dan khalifah yang yang ke enam adalah Hasan bin Ali. Jawatannya dicabut dan diambil oleh Mu'awiyah. Lalu selepas itu dalam kekhalifahan umaiyyah, dengan meletakkan Ibn Zubair sebagai khalifah ke enam, beliau juga dicabut kekhalifahannya apabila terbunuh dalam serangan Hajjaj bin Yusuf As-Tsqafi ke atas kota Makkah. Setelah itu, bermula khalifah Al-Walid, Sulaiman, Umar Abd Aziz, Yazid, Hisyam dan Al-Walid sebagai yang ke enam, dia juga hilang kekuasaan dan tamatlah pemerintahan Umaiyyah.

Dalam dinasti Abbasiyyah,bermula khalifah As-Saffah, Al-Mansur, Al-Mahdi, Al-Hadi, Ar-Rasyid dan yang ke enamnya adalah Al-Amin. Dia ditewaskan abangnya Al- Makmun yang merebut jawatan khalifah daripadanya. Selepas itu, bermula dengan Al-Makmun dan disusuli dengan Al-Mu'tasim, Al-Wathiq, Al-Mutawakkil, Al-Muntasir dan yang ke enamnya Al-Musta'in juga mengalami nasib yang sama. 

Dapat disimpulkan, meneliti perjalanan khalifah-khalifah seterusnya, yang ke enam setelah proses rampasan kuasa, pemecatan, penggulingan atau apa sahaja seumpamanya juga akan mendapat nasib yang sama atau hampior sama. Ia memberi satu kesimpulan hasil pemerhatian (tajarrub) bahawa pemimpin ke enam akan berdepan pemecatan.

Komen penulis: 

Teringat pula pemimpin ke lima adalah DS Abdullah Ahmad Badawi, beliau letak jawatan dan diambil alih oleh DS Najib Tun Abd Razak.  DS Najib Adalah pemimpin keenam. Apakah beliau akan berdepan dengan nasib para pemimpin ke enam sebagaimana yang ditulis oleh ulama dalam karya mereka? Kita tunggu dan lihat.

Kalau apa yang dihuraikan oleh Ibn Al-Jauzi itu boleh diambil kira, maka hubaya-hubaya wahai sesiapa yang dipilih jadi pemimpin ke enam. Tidak kira pemimpin peringkat manapun. Nombor enam seperti punya rahsia Allah yang masih perlu ditadabburkan. 

Mungkinkah ada kaitan dengan penciptaan langit dan bumi dalam masa enam hari?




Guru dan Murid tidak menjadi: Salah sistem?

Seorang teman yang bertugas di sebuah Institut Perguruan mengeluhkan masalah sukarnya memproduksi guru-guru yang mampu bertindak sebagi agen perubahan mesyarakat. Guru-guru agama yang dilahirkan tidak mampu beraksi sebagai da'i dalam masyarakat apabila sudah tampil ke gelanggang. Kebanyakannya hanyalah bekerja dan memenuhi tuntutan kerjayanya dengan mengharapkan gaji dan pangkat. Apatah lagi untuk diharapkan menyertai perjuangan dalam gerakan Islam.Sudah tentu amat jauh sekali untuk mengimpikan mereka di tahap itu.

Jika demikian gagalnya sebuah IPG melahirkan guru yang menjadi murabbi kepada masyarakat dan bertindak sebagai da'i kepada agama Allah di samping terlibat dengan rangkaian gerakerja berjamaah, maka demikianlah pula halnya dengan soal  kemenjadian murid-murid. Murid-murid yang dididik oleh guru-guru di sekolah tidak menjadi sebagaimana diharapkan. Pelbagai masalah menghantui terutama dari segi akhlak dan nilai-nilai agama dalam diri.

Kegagalan melahirkan guru berkaliber dan murid yang menjadi insan bermutu membuatkan kita terfikir, di mana salahnya?

Seorang penggiat sekolah Islam swasta pernah membuat rumusan terhadap permasalahan ini dengan mengatakan bahawa kesalahannya adalah kerana sistem pendidikan kita berorientasikan melahirkan manusia robot yang tidak dihiasi dengan nilai ketakwaan. Sistem pendidikan kita caca marba dan hilang hala tuju.  Terlalu banyak yang mahu dilakukan sehingga tiada satu pun yang berfokus. Sebab itu, sekolah-sekolah Islam yang ditubuhkan, baik oleh individu maupun jamaah tertentu menggariskan sistem yang berbeza dengan menekankan aspek pendidikan dan tarbiah menyeluruh. 

Ada orang mencabar saya dengan mengatakan bahawa saya juga lahior dari sistem pendidikan caca marba ini maka bagaimana orang yang dilahirkan dari sistem caca marba ini mahu membuat sistem baru dan hilang kepercayaan dengan sistem pendidikan yang melahirkannya?

Saya menegaskan bahawa saya belajar di sekolah agama rakyat selama 8 tahun sebelum masuk universiti. Bahagian terbesar dalam pendidikan untuk saya ialah semasa di sekolah agama rakyat. Selain itu keberadaan saya dalam sistem ini adalah demi menahan kerosakan yang lebih besar bakal terjadi kalau mengambil pendekatan konfrontasi meninggalkan sistem yang sedia ada. Tidak salah untuk bertugas dalam sistem pendidikan perdana kerana ia menjadi pilihan terbanyak rakyat. Namun, ia tidak bermakna kita harus melupakan usaha untuk membangunkan sistem pendidikan yang kita yakini keberhasilannya.

Monday, November 12, 2012

Kesalahan kerajaan yang tidak termaafkan.

Kalau kerajaan tak mahu laksanakan hudud, saya boleh terima dengan tafsiran. Mungkin kerajaan tak mampu atau ada maslahat umum yang kerajaan mahu pelihara. Ada pelbagai alasan yang kerajaan boleh andalkan untuk memuaskan hati rakyat muslim mukmin.

Demikian juga, kalau kerajaan tak istiharkan Malaysia negara Islam. Tidak mahu sistem pentadbiran yang berjenama Islam. Sistem ekonomi yang tidak berjenama Islam. Aku boleh dengar dan mempertimbangkan untuk tidak memaksakan idealismeku supaya direalisasikan. Dalam keadaan demikian, aku masih boleh bersedia untuk memaafkan kerajaan dan mungkin memilihnya untuk memerintah penggal berikutnya.

Namun...ada satu hal yang tidak boleh dimaafkan sama sekali.

Ia adalah kerana hilang dua kelayakan utama menjadi pemerintah iaitu kekuatan dan amanah. Kerajaan yang tidak mampu melaksanakan harapan rakyat terbanyak adalah kerajaan yang lemah. Kerajaan tidak kuat jika tidak mampu menguruskan jenteranya yang berbuat makar menindas rakyat. Demikian pula hilangnya amanah, ia tidak boleh dimaafkan.

Aku tidak pernah dapat memaafkan kenapa wang rakyat RM250 juta diberikan kepada syarikat milik suami Ketua Wanita UMNO. Demikian aku tidak lupa kebocoran wang rakyat dalam soal pembelian kapal selam negara. Hilangnya enjin jet tentera beberapa masa dulu juga khianat yang tidak akan dilupakan. Soal-soal pecah amanah ini tidak ada tafsiran yang boleh membawa kepada kata maaf kepada para pengkhianat. Ia adalah teras sebuah kerajaan dan gagal menegakkan membuatnya tidak layak dinobatkan sebagaio kerajaan.

Kekadang aku  berasa alangkah bertuahnya rakyat negara Barat yang pemimpinnya bersikap amanah dan kuat membelam keadilan rakyat. Rakyat Amerika Syarikat lebih dihormati pemimpinnya daripada rakyat Malaysia yang sering diperbodohkan oleh pemerintahnya melalui indoktrinasi melampau dalam media utama.

Berjuang mempertahankan nama Islam

Nampaknya hari ini kecenderungan ramai orang yang berhempas pulas mempertahankan nama. Bercakap soal berjuang mempertahankan nama ini, ada dua nama yang sangat mahal dan cuba dipertahankan habis-habisan oleh orang Melayu Islam iaitu nama Melayu dan nama Islam. Jangan sentuh Melayu kerana Melayu itu satu nama istemewa di bumi Malaysia. Jangan juga gugat nama Islam kerana ia agama kebanggaan Melayu.

Cukupkah dengan bangga berbangsa Melayu dan beragama Islam lalu berhabisan mempertahankan namanya?

Kini, betapa ramai orang Melayu hanya namanya sahaja Melayu tetapi cara hidupnya bukan lagi Melayu. Dari cara berpakaian, bahasa percakapan sehinggalah kepad acara berfikir, bukan lagi menjunjung ciri-ciri Melayu. Kekadang, nama melayunya pun sudah ditukar kepada bunyi luar, khususnya Barat. Dari namanya Johan jadi John. Daripada namanya Khadijah jadi nama Khaty. Banyaklah yang ditukar. Maka, jadilah Melayu itu hanya nama bangsanya dan tak lebih dari itu. Nama yang sudah kosong dari ciri-ciri untuk dikenali.

Demikian pula nama Islam. Sudah ramai orang Islam hanya pada namanya Islam. Kerana ibu bapanya dulu ISlam, maka dia Islamlah. Dari segi iman dan amal, tiada yang ISlamnya. Solat tidak ditegakkan. Minum arak semacam aja. Pakaian dedah sana sini. Fikiran sebiji macam orang kafir. Tapi kalau dikatakan bukan ISlam, melenting amat. 

Sanggup demonstrasi bermerah mata dan bertegang urat. Demi Islam katanya.

ISlam itu disebut tidak lebih dari batang halkumnya. Tidak pun meresap ke dalam dada bersemadi di sanubari.
 

Konvoi Motosikal Berkuasa Besar

Naik motosikal berkuasa besar keliling negara, konvoi beramai-ramai nampak sekilas macm bagus. Ditambah pula dimasukkan dalam kegiatan itu agenda sampaikan bantuan kepada orang miskin. Demikianlah apa yang menjadi hebahan berita sehari dua ini. PM dan para pembesar negeri berada dibasir depan sebagai pihak yang membuat pelepasan gerak mula konvoi tersebut yang khabarnya bakal berakhir di Puterajaya.

Motosikal berkuasa besar ini mahal harganya. Ia kenderaan orang-orang berduit. Kalau zaman dulu, ia samalah dengan kuda hiasan yang tangkas dan hanya dimiliki kalangan bangsawan. Ia jadi kenaikan anak raja dan pembantunya masuk kampung melilau dalam kampung cari anak dara kalau-kalau ada yang layak dibuat gundik.  Jarang sekali anak raja kalau masuk kampung bawa kedamaian. Itu zaman dulu. Itulah sebagaimana diriwayat dalam hikayat dan buku sejarah kerajaan purbakala.

Sekali aku teringat firman Allah dalam Al-Quran mengenai Qarun.


فَخَرَجَ عَلَىٰ قَوْمِهِ فِي زِينَتِهِ قَالَ الَّذِينَ يُرِيدُونَ الْحَيَاةَ الدُّنْيَا يَا لَيْتَ لَنَا مِثْلَ مَا أُوتِيَ قَارُونُ إِنَّهُ لَذُو حَظٍّ عَظِيمٍ
Maka keluarlah Karun kepada kaumnya dalam kemegahannya. berkatalah orang-orang yang menghendaki kehidupan dunia: "Moga-moga kiranya kita mempunyai seperti apa yang Telah diberikan kepada Karun; Sesungguhnya ia benar-benar mempunyai keberuntungan yang besar".

 (Al-Qasas: Ayat 79)

Sunday, November 11, 2012

Mengubah Perlembagaan Negara

Pembangkang dikatakan punya hasrat mengubah perlembagaan Negara. Hal tersebut dinyatakan oleh pemimpin kerajaan sedia ada berdasarkan apa yang dikaitkan dengan Nurul Izzah Anwar dalam kenyataan terbarunya. Di samping menyifatkannya sebagai pluralis, dia juga disifatkan mewakili wajah pembangkang yang tidak berhasrat untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia.

Bila bercakap mengenai mengubah perlembagaan, timbul persoalan dalam benakku khasnya, mungkin juga dalam benak mereka lain yang berfikir, apakah Perlembagaan Malaysia itu setaraf Al-Quran sehingga tidak boleh ditukar atau diubah? Apakah benar pula Perlembagaan Malaysia itu tidak pernah diubah?  

Apa yang disisipkan dalam Perlembagaan Negara sebagai pindaan dalam perkara tertentu itu apa maknanya? Pinda itu bukan ubah ke?

Kalau Perlembagaan Negara tidak mengalami perbahan, baik sekat detikan jarum jam atau tahan putaran matahari sahaja. Jangan biar masa bertunda masa kerana bila tahun bertambah dan maju ke depan, tentu Perlembagaan Negara akan jadi lapuk. Ia bukan bikinan Tuhan yang maha bijaksana. Ia bikinan manusia yang bersidang dalam Jawatankuasa pertama merangka perlembagaan yang diketuai Lord Reid. 

Orang kafir yang mengetuai jawatankuasa itu. Apa nak dibanggakan sehingga dipertahankan keasliannya seperti Al-Quran. 

Rukun Negara yang meletakkan keluhuran Perlembagaan  sebagai salah satunya bukan bermakna Perlembagaan tidak boleh diubah. Pada saat ia perlu diubah, maka mengubahnya itulah yang menunjukkan kita mempertahankan Keluhuran Perlembagaan!

Siapa menjana Pluralisme?

Pasal Nurul Izzah dianggap pluralis heboh dipancarkan dalam media massa. Kerana dia seorang ahli politik dan dari pihak pembangkang, maka kenyataannya ditafsirkan sebagai pluralisme miskipun dia menafikannya. Penafiannya tidak penting kerana yang lebih penting ialah apa yang dapat ditafsirkan daripadanya. Keikhlasan TV3 memperjuangkan Islam dan menolak agenda pluralisme dapat dipersoalkan apabila kita lihat iklan ucapan depavali petronas tahun 2012 baru-baru ini. Ikalan tersebut diulangtayang menggambarkan bagaimana pemikiran seorang gadis melayu yang membesar dalam kepelbagaian bangsa dan agama di Malaysia.

Lihat sendiri dalam iklah ini:



TV3 setiap tahun ada sahaja iklan tajaan Petronas yang ditayangkan. Sebelum ini iklan Hari raya yang digambarkan pluralis dengan ciri-ciri depavali dan krismas. Ramai mengkritik sehingga tayangan iklan tersebut dihentikan. Apa yang jelas, penjana idea pluralis di Malaysia bukanlah pembangkang tetapi kerajaan sendiri.



Dia yang kian tua

Dia mengabdikan dirinya untuk dunia...
Tidak nampak ingatannya terhadap akhiratnya...
Anak yang dilahirkannya....
Memperjuangkan dunia sementara
Yang satunya perjuangkan kebebasan tanpa sempadan
Yang satunya mengaut razeki dari kencing syaitan
Yang satunya menunggang politik sekularis
Sedang dia masih ghairah mengukur sempitnya dunia
Miski kedut sudah seribu
Uban telah mewarnai kepala
Umur  sudah setua azazil...

Nasharuddin meluncur laju tinggalkan Jama'ah.

Saya tidak suka dengan Nasharuddin Mat Isa. Dia rasanya dirinya betul. Manakan betul kalau kata-katanya menyalahi pemimpin jama'ah. Dia seorang menyalak sedangkan  para pemimpin jamaah menunjukkan kematangan berpolitik. Dia membiarkan dirinya jadi tunggangan. Patutnya, dia ambil nasihat Ust Tuan Ibrahim Tuan Man supaya jangan halakan senapang kepada rakan dalam Pakatan tetapi halakan senapang kepada musuh. Kelihatannya Nasharuddin Mat Isa itu sudah tidak tahu lagi siapa musuhnya. 

Demikianlah orang yang terlepas ikatannya daripada jama'ah.

Dia suruh Nurul Izzah bertaubat. Sungguh suci dia hingga nampak dosa orang lain. Hanya bergantung kepada berita media fasiq, dia mempercayai laporan mengatakan Nurul Izzah menyatakan kemurtadan orang Melayu diberikan kebebasan. Bahasa Nasharuddin seirama dengan UMNO. Ludahnya sudah bersambung dengan lidah UMNO.

Sudah tidak ada lagi jalan kembali buat Nasharuddin. Selepas muktamar PAS hujung minggu ini, aku berharap Nasharauddin tersingkir terus daripada PAS. USah juga diberi tempat dalam Majlis Syura Ulama. Orang sepertinya tidak menghadam ilmu politik Islam. Orang sepertinya mudah jadi tunggangan musuh. Sudah berapa kali diberi nasihat, tapi masih dunggu dan tak faham. Sudah berapa kali para pemimpin utama dalam PAS bertasamuh dan berlapang dada dengan celupar lidahnya yang melambang rendah akhlaknya. Tetapi, memang jenis orang yang tak pandai berterima kasih begitu. Orang yang sudah hilang cinta hidup berjemah dan berperjuangan.

Pada perasaannya, dia punya pendapat tepat. Tidak perlu lagi disyurakan apa yang difikirkannya. Sudah dijangkiti racun UG, demikianlah. Sungguh maha besar Allah SWT. Dia memegang hati manusia. Para pejuang ditapisnya. Nampaknya macam kejam dan tak bertimbangrasa. Tapi, Allah maha hebat. Dia maha mengetahui.

Ahli-ahli PAS...berlepas dirilah dari manusia bernama Nasharuddin Mat Isa. Biarlah dia jalan sendirian. Kalau mahu ikutnya, biarkan mereka yang dari JATI dan PERKASA yang mengikutnya. Duduklah bersamanya dan binalah taifah harapan kalian.

" Layang-layang telah terlepas talinya!".

ANTARA "BARBIE" DAN BABI

" Baba, belikan Mila Barbie!", demikian anakku yang berusia 5 tahun itu sering pesankan bila aku bertahunya bahawa aku mahu ke bandar dan tidak membenarkannya ikut sama. Itu adalah sebagai ganti dia tidak ikut serta. 

Barbie adalah anak patung perempuan cantik yang menjadi animasi kegemaran ramai kanak-kanak perempuan dewasa ini. Ia mempunayi raut wajah yang menarik dan gaya berpakaian  yang fashionable. 

" Apa? belikan babi?", aku sering mengusik.
" Eh...bukan babi, barbie", anakku yang usianya lima tahun itu dengan panats membetulkan. Dia pun tahu bezanya antara babi dengan barbie. 

Aku tersenyum. 

Anak-anak orang Islam memang ditanamkan rasa anti-babi. Semakin membesar, kefahaman mereka tentang babi akan bertambah. Babi ditanggapi dengan jijik dan kotor. Babi itu nista dan haram. 

Barbie lain dari babi. Itu cuba dibetulkan. Tetapi sebutan hampir sama. Kalau ada masalah pendengaran, maka barbie akan jadi babi. Bagi yang jahil dan bodoh mengenai perkembangan dunia kanak-kanak hari ini, mereka akan kata barbie itu samalah dengan babi. Kalimah babi sudah dikenali sejak zaman berzaman tetapi kalimah barbie itu baru sahaja diperkenalkan akhir-akhir ini.

Ada juga orang yang buat-buat bodoh dan dungu kerana ada kepentingan tertentu. Bak kata seperti apa yang dituliskan oleh Ust. Zaharuddin dalam FBnya:


Pihak yang membodohkan diri sekarang ini sengaja memutarbelitkan dua kalimah yang hampir sama bunyinya supaya dengan putarbelit tersebut dapat dicapai sesuatu maksud jahat mereka. Kalau anakku yang lima tahun pun tahu bezakan antara "barbie" dengan "babi", mengapa TV3 dan Utusan Malaysia amat bengong sehingga tidak tahu membezakannya?

Cuti bermula...sekilas muhasabah.

Kini, cuti persekolahan hujung tahun telah bermula. Ramai orang mengambil kesempatan untuk balik bercuti di kampung, terutamanya mereka yang bertugas sebagai guru di rantau orang.  Guru-guru dari Sabah dan Sarawak sangat gembira dengan percutian hujung tahun kerana inilah masanya mereka dapat membuang bebanan kerja di samping meleraikan rindu dendam dengan orang ibu bapa dan sanak saudara di kampung.

Awal percutian ini, keadaan cuaca tidak menentu. Berita TV melaporkan bahawa banjir sedang melanda negeri-negeri di Selatan Semenanjung. Ribuan orang dipindah kerana banjir termasuk di Selangor. Keadaan di Sandakan pula hujan sering turun.Negeri Kedah, setakat ini belum dilaporkan menjadi mangsa serangan banjir hujung tahun.

Aku pulang lewat sedikit ke kampung tahun ini kerana ada urusan. Bukan juga urusan aku tetapi urusan isteri yang mahu mengejar masa mendapat lesen memandu. Kalau ikut hatiku, aku ingin pulang secepat mungkin. Namun, apakan daya.

Daurah Al-Quran telah pun aku tangguhkan bagi sesi 2012. Masjid Al-Fajr bakal ditinggalkan oleh para asatizah. Namun, hadrcore jamaah masjid masih ramai. Hanya mungkin program yang dihentikan. Aku kira program kebanyakan masjid di Sandakan juga begitu. Ia "pause" di musim cuti sekolah ini. Ini kerana sebahagian pengkuliah masih lagi insan perantau dari Semenanjung yang pulang bercuti bila tiba hujung tahun. Hanya segelintir adalah anak tempatan. Itupun turut mengambil kesempatan pergi ke mana-mana di musim cuti ini.

Tahun depan ada hal-hal baru yang belum dapat diduga. Anakkku masih lagi belajar di Taski ABIM aku kira. Itulah yang paling mudah, miskipun aku ingin kalau dia belajar di Pasti. Masalah pengangkutan masih tidak terselesai. Tugas persekolahan tahun depan, aku telah diringankan. Tidak lagi guru kelas dan bukan lagi penyelaras RMT. Hanya guru kebajikan. Aku pun tidak jelas skop kebajikan yang perlu aku lebarkan. Namun, aku sudah bayangkan program kebajikan murid yang bakal aku gencarkan.

Di masjid Al-Fajr, awal tahun, mungkin pengerusi akan panggil buat mesyuarat Agong. Bulan Oktober baru-baru ini di mesyuaratkan untuk cari tarikh pada bulan Disember. Aku cadangkan dianjak ke tahun hadapan. Para AJK bersetuju. Aku tahu siapa di belakang desakan agar mesyuarat Agong diadakan. Ia tidak perlu tergesa-gesa. Aku mengaharapkan ada perubahan politik tahun hadapan. Jika pun tidak makro, mikro pun jadilah. Dengan itu beberapa manusia yang bergentayangan dengan kepentingan peribadi dapat dilupuskan.

Aku berhasrat untuk beli kereta baru. Tapi ada sedikit perasaan keliru. Sehingga cuti ini, aku masih sayang kepada kereta Waja yang kupakai. Hal tersebut hanya akan aku fikirkan menjelang tahun depan. 

Tahun depan 2013. Tahun 1434 kalau kalender Islam. Apakah perubahannya? Oh...yang pasti aku makin tua. Makin tua maknanya makin dekat mati. Baik aku tingkatkan amal pahala di tahun depan. Hal itu tidak harus dilupakan sama sekali.

Saturday, November 10, 2012

Utusan Malaysia itu UMNO.

Utusan Malaysia itu sebuah akhbar yang telah termaklum secara daruri menjadi lidah rasmi UMNO. Apa pun berita yang dikeluarkannya adalah untuk mengangkat parti UMNO di mata rakyat. Sudah beberapa kali Utusan Malaysia di saman fitnah dan ia kalah dalam saman tersebut hingga terpaksa membayar pampasan sebagai hukuman atas fitnah yang ditaburkannya. 

Maka, sewaktu TG Nik Aziz diminta mengulas mengenai kenyetaan Nurul Izzah mengenai kebebasan beragama yang dipromosikan oleh Utusan Malaysia. dengan selamba TG Nik Aziz mengatakan tidak perlu komen laporan yang dibuat oleh Utusan Malaysia.  Ini kerana ia berlidah fitnah dan tidak boleh dipercayai.

Utusan Malaysia yang punya sejarah panjang sejak zaman sebelum merdeka itu, kini telah terputusa hubungan daripada idealisma asal penubuhannya. Hayatnya bergerak seiring dengan UMNO. Selepas pilihanraya ke 13 ini, jika Allah SWT menghendaki UMNO tersungkur dan rebah maut, maka Utusan Malaysia juga akan menenpa nasib yang sama. Orang Melayu harus kuat dan berani. Orang Melayu tidak perlu hidup dengan nostalgia kerana hanya orang-orang yang lemah sahaja dibayangi nostalgia lampau. 

UMNO boleh hilang. Mana-mana parti Melayu pun boleh sahaja kalau mahu sirna. Akhbar orang Melayu juga tidak perlu dipertahankan sampai bertangisan air mata. Apa sahaja wadah dan alat sebaran boleh dibuat kembali. Lahir dan mati adalah lumrah dan ia sunnah yang mentajdidkan kehidupan.

Kali ini, saat Utusan Malaysia diberi peringatan oleh Nurul Izzah kerana dituduh menfitnahnya, seorang pencacai politik bernama Zulkifli Nordin menawarkan khidmat guaman percuma untuk membela  Utusan Malaysia bersama barisan guamanan yang didakwanya bakal menampilkan peguan kanan yang bakal mengejutkan. Terus terang, aku tidak pernah dengar Zulkifli Nordin itu memiliki nama besar dalam bidang guaman. Aku juga tidak pasti apakah dia peguam. Dia kata dia peguam, mungkin dia betul dan aku tidak yakin bahawa dia benar-benar mahd dalam ilmu kepeguaman.

Kalau bertekad untuk membela Utusan Malaysia, apakah maknanya itu? Utusan Malaysia sudah jadi lidah rasmi UMNO. Semua orang sudah punya tanggapan begitu. Apa yang mahu dibela oleh Zulkifli Nordin kalau bukan UMNO itu sendiri? Kalau sudah hati dan jiwa mahu membela UMNO, baik isi borang masuk ahli UMNO. Tak ada sapa nak bersedih. Tidak cantik pula seorang UMNO cakap pasal Islam berlebihan kerana orang pun tahu tahap mana sumbangan UMNO kepada Islam. ISlam bentuk apa yang UMNO cuba bina di Malaysia selama ini.

Orang-orang yang terlepas dari bimbingan ulama yang faqih politik sering lancang bercakap mengenai Islam. Padahal, mereka ini tidak pula faham mengenai Islam melainkan sebagaimana orang-orang UMNO faham. Kalau benar-benar faham Islam, jadikan ISlam sebagai nombor wahid dalam pentadbiran. Jadikan Islam diterima kaum Cina sebagai panutannya. 

Siapa boleh bagi tahu aku antara Cina MCA dan Cina DAP, mana yang lebih faham Islam?

Friday, November 09, 2012

i-THINK

Kementerian Pendidikan menghendaki i-THINK dilaksanakan di sekolah pada tahun hadapan.Ia dikatakan satu kaedah pengajaran berpusatkan murid. Khabarnya ia adalah program yang dibeli oleh Kementerian untuk dilaksanakan di sekolah-sekolah di Malaysia. Ia menimbulkan pesoalan juga. Mengapa sampai perlu dibeli?Pasal peta minda ini, sudah lama diperkenalkan. Hanya sekarang ini ia dijenamakan semula dengan nama i-THINK?


Pada hemat saya, ia satu lagi projek menangguk di air keruh untuk memberi keuntungan kepada pihak tetentu.Sekadar untuk mengajar menggunakan peta minda, apalah perlunya dihebohkan. Apa perlunya dibeli dari luar negara. Malang sekali untuk wang rakyat kalau ia diberikan pula kontrak kepada syarikat tertentu untuk mengaut untung daripadanya.

Thursday, November 08, 2012

Manipulasi isu untuk menang

Pada penghujung penggal pemerintahan kerajaan  BN ini, kita dapat saksikan bagaimana gelagat para pemimpinnya yang melinggas menggapai pelbagai isu. Peperangan politik masa kini telah menjadi peperangan memanipulasi isu.Isu agama, bangsa dan raja Melayu adalah antara isu paling banyak dimainkan. Semuanya itu merupakan hal sensitif yang mampu mengumpan percikan api. Namun, ia bukan masalah kerana nafsu politik tidak mengenal semua iyu.

Isu agama menjadi kegemaran apabila simpati dari para agamawan diperlukan. Namun, kita pun tahu sejauh mana keikhlsan pihak berkenaan dalam memperjuangkan isu agama tersebut. Isu hudud hanyalah tunggangan dan bukan untuk dilaksanakan. Isu murtad hanya mainan dan tidak ada usaha pun untuk menanganinya secara komprehensif sama ada dari segi pendidikan maupun perundangan. Demikianlah isu-isu lain.

Siapa berjaya manipulasi isu sehingga mempengaruhi rakyat, penguasaan politik akan berpihak kepadanya.

Katak dalam kolam berbunyi.

Bagaikan katak sekolam
Bunyi berkeruak dengung

Konon pejuang Islam
Tapi duduk dalam parti asobiah
Konon cinta Islam
Tapi kepala dogol tidak bertudung

Masyarakat tak pernah kenal mereka
Sebagai pencinta Islam

Sekilat isu
Sudah kutahu lukah di pergentingannya.

Tuesday, November 06, 2012

Hidup sekadar secupak beras

Kalau hanya masalah perut yang difikirkan
Takut kalau lapar
Itulah hidup untuk secupak beras.

Hidup semut
Hidup lalat
Hidup nyamuk
Ternakan dan haiwan liar di hutan
Semunya fikir untuk perut...

Fikirkan untuk seruang kuburmu..

Orang bodoh agama

Bahananya terjadi kalau orang bodoh agama dengar orang cakap pasal agama, dan dia sukar nak faham. Apabila dia gagal itu faham, maka dia akan buat tafsiran sendiri mengikut apa yang dia mampu faham. Ditambah pula jika dalam dirinya tersimpan maksud jahat.

Demikianlah apa yang boleh difahami dari putarbelit media blog dan dilanjutkann pula TV3 terhadap kenyataan yang diucapkan oleh  YB Nurul Izzah Anwar.

Apa yang dicakapkannya ialah mengenai konsep tiada paksaan dalam agama sebagaimana yang telah pun ditegaskan dalam Al-Quran. Kerana kurang faham dengan hukum hakam Islam, dikatakan pula Nurul Izzah itu galakkan Melayu jadi murtad. Islam ada hukumnya dan kebebasan memilih agama adalah hukum umum. Ada yangg khusus untuk muslim sahaja iaitu hukum murtad.

Para penjilat dari Perkasa dengan pantas memberi reaksi terhadap laporan tidak bertanggungjawab dari blog murahan dan pemberitaan tercela TV3 itu. Namun, mereka berdiam diri pula terhadap kenyataan biadap yang terang lagi bersuluh daripada CSL mengenai hudud.

Monday, November 05, 2012

Kerjaya Haram di TV 3

Dulu, antara sekian banyak slot TV3, slot beritalah dikatakan bagus. Slot lain banyak yang haram kerana mendedahkan aurat, hiburan melampau dan sebagainya. Tapi, itu dulu. Sekarang, banyak-banyak slot TV3, beritalah yang banyak dosa. Terutama Buletin Utama jam 8 malam. Corak pemberitaan yang penuh maksud jahat, menggubar fitnah, memetik tulisan-tulisan orang fasiq dari blog tanpa usul periksa, menyebabkan rancangan berita itu bergelimang dosa. Maka, malang sekali bagi tenaga kerja TV3 yang terpaksa menelan razeki dari kerjaya nista itu. Dari penerbit hinggalah pembaca berita, semuanya berkongsi bahagian dalam pemberitaan dosa seperti itu.

Orang jahil agama dalam berita dengan petah, bercakap agama kondem para alim ulama dan orang-orang baik.

Pemberita yang tidka pun menutup aurat membaca berita menista wanita yang dikenali masyarakat sebagai solehah. Malam ini, Nurul Izzah Anwar yang dikenali orang sebagai muslimah yang terpelihara, dikaitkan pula dengan menyokong agenda memurtadkan Melayu. Berita nista memetik Ibrahim Ali an Zulkifli  Nordin, dua manusia yang hatinya bernanah dan penuh makar membuat komen tanpa usul periksa. Pengetahuan mereka tentang isu pun lintang pukang, tetiba tumpang sekaki dengan isu Bulitin TV3 yang mengaut sampah maklumat dari blog pencacai.

Bagaimana nak hukumkan orang-orang seperti ini. Bagaikan, pembaca Berita TV3 yang jenis free hair itu lebih faham Islam daripada Nurul Izzah. Mungkin orang kata dia hanya baca sahaja berita . Tapi ia menampilkan kepada khalayak betapa orang yang tidak layak diletakkan untuk bercakap mengenai apa yang tidak layak, lebih-lebih lagi terhadap orang yang dikenali baik oleh masyarakat.


Sunday, November 04, 2012

Hobi berkokok

Kala ayam bertina berketok,
kubalingkan tongkol kayu,
marah kerana buat bising
tak senang untuk istirehat
lelap mata di saat qailulah
ayam betina lari jauh
lau terus berketuk di hujung padang,
ambil lastik aku tube
ia lari berketuk tepi hutan dara
biarlah....
ketukannya hanya sayup kedengaran

Kalau kucing betina piaraan
tengah naik gatal mengawan
cari jantan
mengiau tak tentu
pun bising menganggu lena
ambil rotan aku cemuk
kucing lari bawah rumah
suaranya sayup di berselinap
di belakang rumah balik pokok kelapa

Murai berbunyi tak kira masa

Kenapa buat bising?
Kenapa aym betina berketuk?
kenapa kucing betina gian mengiau?

Kenapa ahli politik tua itu berkokok lagi?

Biarkanlah...kerana kokokan itu memberinya nikmat.

Memisahkan suami isteri

Apakah patut pihak yang bertanggungjawab dalam soal perpindahan mengatur perpindahan guru-guru atau mana-mana kakitangan awam memisahkan antaranya dengan isteri dan anak-anak? Seharusnya, demi kerukunan rumahtangga rakyat, sebarang perrtukaran dan perpindahan hendaklah mengambil kira kemudahan suami isteri untuk kekal bersama. Biar betapa sukar membuat pengaturan tersebut, ia menjadi kewajipan bagi pihak diberi amanah. Kalau tidak mampu, tarik diri daripada jadi pengatur dan serahkan kepada orang lain yang mampu.

Memisahkan antara seseorang dengan isterinya adalah tabiat ilmu sihir yang dipelajari dari harut marut di zaman dahulu. Itulah tujuan para pemburu ilmu sihir yang sebenarnya diajarkan Harut dan Marut sebagai pembeda antara mukjizat dan sihir.

Allah berfirman:

فَيَتَعَلَّمُون َمِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِهِ


" Lalu mereka pelajari daripada kedua-duanya ilmu sihir yang tujuannya memisahkan seseorang dengan isterinya".

(Al-Baqarah: 102)

Saturday, November 03, 2012

KUNCI KEAMANAN NEGERI

Mengapa negeriku aman?
negeri orang kacau bilau.
tiada peperangan di negeriku
Tiada gempa bumi
atau letusan gunung berapi
tidak pula jadi mangsa Tsunami
atau kebeluran kelaparan
banjir atau kemarau pun tiada

 Kata para penguasa  riak itu
pandainya mereka tadbir negeri
hubungan kaum terjalin bersemi
negara kaya makmur
kerana bijak bistari mereka

sebenarnya apa sebab negeriku aman?

lalu...Al-Quran bercerita
amannya negeri kerana ada para da'i
yang melarang mungkar menyuruh ma'ruf
mewarisi kerja nabi-nabi

Gerakan Islam dalam negeri
menjadi rahmat buat warga
menolak bencana langit
murka dari ilahi rabbi...

Bukan masalah politik?

Aku masih berat untuk percaya bahawa kerajaan mengutamakan akidah dalam tindakannya terhadap Al-Arqam. Terbaru ialah serbuah ke atas program anjuran Global Ikhwan yang menyaksikan pula penangkapan pemimpin penting PKR, Ust Badrul Amin Baharum. Memberi reaksi terhadap penangkapan tersebut, Tim. Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yasin manasihatkan agar isu tersebut jangan dilihat dari kaca mata politik. Ia adalah persoalan akidah yang seolah-olah sangat diperhatikan oleh kerajaan.

Banyak ajaran sesat di Malaysia yang tidak dibanteras kerana tiada kepentingan politik. Malah, kefahaman sesat yang menggugat akidah juga tidak diendahkan kerana ia tidak punya nilai politik. Arwah Ashaari Muhamamd dulu, diburu hanya setelah dia mendakwa bakal menjadi Perdana menteri Malaysia. Selama bertahun-tahun sebelum keluar dakwaan politik itu, pertubuhannya tidak pernah digugat.

Bagaimana harus dipercayai bahawa isu ini isu akidah? Kalaupun ya Global Ikhwan itu adalam masalah akidah, maka bagaimana dengan pertubuhan lain yang juga punya konflik akidah? Orang perseorangan dan perkumpulan yang mempertikaikan hukam hakam Allah itu juga punya masalah dari sudut akidah. Kenapa hilang kesungguhan pihak berkuasa agama membanteras percambahan idea yang merosakkan akidah seperti itu?

"Tidak tumbuh tidak melata!"

Siapa suamiku di syurga?

Antara soalan yang ditimbulkan dalam sesi usrah semalam adalah mengenai suami bagi seorang perempuan yang berkahwin dengan beberapa lalaki di dunia. Antara lelaki-lelaki tersebut, siapakah yang akan menjadi suaminya di syurga (bagi kes suami dan isteri masuk syurga semuanya)?

Menjawab persoalan tersebut, aku mengingatkan bahawa syurga itu bukanlah sebagaimana yang kita khayalkan. Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan oleh Imam Bukhari dalam sohehnya melalui Abu Hurairah, dinyatakan oleh Rasulullah SAW telah bersabda:

قال الله تعالى أعددت لعبادي الصالحين مال عين رأت ولا أذن سمعت ولاخطر على قلب بشر واقرءوا إن شئتم

" Berfirman Allah SWT: Aku sediakan kepada hamba-hambaku yang soleh apa yang mat tidak pernah lihat, telinga tidak pernah mendengar dan tidak pernah terlintas dalam hati manusia dan bacakanlah jika kamu inginkan".

Dalam sebuah hadis nabi SAW menyebutkan kepada seorang lelaki yang bertanya kepada baginda mengenai bilakah berlakunya kiamat ketika baginda hendak mendirikan solat. Selepas selesai solat Rasulullah mencari lelai itu dan bertanya kepadanya mengenai persediaannya untuk kiamat. Lelaki itu mengatakan bahawa persediaannya tidaklah dengan solat dan puasa yang banyak. Hanya dia sangat mencintai nabi. Lantas Rasulullah SAW  bersabda:


المَرْءُ معَ مَنْ أَحَبّ، وَأَنْتَ مَعَ مَنْ أَحْبَبْتَ

" Sesorang itu akan bersama dengan orang yang dicintainya, dan kamu akan bersama dengan siapa yang kamu cintai".

Daripada hadis ini, bolehlah juga difahami bahawa isteri yang berkahwin dengan beberapa suami masa hayatnya dan semuanya pula masuk syurga, dia akan menjadi isteri kepada suami yang paling dicintainya ketika di syurga.

Namun, ada pandangan yang menyatakan bahawa isteri yang bernikah dengan beberapa suami di dunia dan jika semuanya masuknya syurga, isteri itu akan menjadi pasangan bagi suaminya yang terakhir. Ini berdasarkan sebuah riwayat yang dinyatakan oleh Baihaqi dalam sunannya bahawa sahabat rasulullah SAW bernama Huzaifah telah berpesan kepada isterinya sebelum matinya:


إن شئت تكوني زوجتي في الجنة فلا تزوجي بعدي، فإن المرأة في الجنة لآخر أزواجها في الدنيا. فلذلك حرم الله على أزواج النبي صلى الله عليه وسلم أن ينكحن بعده، لأنهن أزواجه في الجنة.


" Jika kamu ingin menjadi isteriku dalam syurga, maka janganlah kamu berkahwin sesudahku. Sesungguhnya seorang perempuan itu akan menjadi pasangan kepada suaminya yang terakhir di dunia. Kerana itu Allah mengharamkan ke atas para isteri nabi SAW daripada berkahwin lagi sesudahnya kerana mereka akan menjadi isterinya dalam syurga". 


Walau bagaimanapun, mengambil perkataan Huzaifah tersebut bukanlah satu dalil yang boleh dimuktamadkan. Ia adalah perkataan seorang sahabat yang berlaku perbezaan pula dengan perkataan sahabat yang lain  serta tindakan beberapa di antara mereka. Kalangan sahabat, ada yang berkahwin dengan janda sahabat yang lain. Lagi pula, alasan kenapa isteri nabi diharamkan menikah lagi sesudah Rasulullah tidaklah boleh disandarkan kepada suami terakhir akan menjadi suami di syurga. Para isteri nabi sebenarnya adalah ibu orang beriman, maka bagaimana ibu hendak dikahwini oleh anak-anak?

Apapun, ingatlah firman Allah SWT mengenai nikmat syurga:

 
وَفِيهَا مَا تَشْتَهِيهِ الأَنْفُسُ وَتَلَذُّ الأَعْيُنُ وَأَنْتُمْ فِيهَا خَالِدُونَ

" Dan di dalamnya apa sahaja yang diingini oleh syahwat dan enak dipandang mata serta kamu kekal di dalamnya.".
(Surah Az-Zukhruf: Ayat 71)

 Ahli syurga punya keluasan yang tidak dapat dibayangkan dengan akal dan minda dunia. Apa yang diingini berdasarkan keinginan mereka, Allah akan tunaikan. Maka, apalah mahu dirungsingkan mengenai siapakan suami seorang wanita dalam syurga kelak. Suami mana yang dia mahu, Allah SWT akan tunaikan keinginannya. Bukankah itu janji Allah SWT. Tentu sekali semua keinginan warga syurga kelak adalah keinginan yang sesuai dengan watak para syurgawi. Jangan pula dibayangkan keinginan yang bukan-bukan.

Memberi pesanan atau wasiat kepada isteri supaya jangan berkahwin lagi, menurut hematku, adalah tidak wajar. Ia merupakan satu wasiat yang cuba menghalang perkara yang dihalalkan Allah SWT.  Juga merupakan wasiat yang menzalimi wanita tersebut. Terlebih lagi jika wanita itu masih dalam kondisi memerlukan suami baru dan berkeinginan kepada keperluan seksual dan pembelaan hidup. Isteri tersebut tidak terikat dengan wasiat yang seumpama itu. 

Hendaklah kita berlapang dada dan buangkan kerungsingan tentang dengan siapa kita akan berkahwin di akhirat sana. Tetapi, yang perlu kita rungsingkan, apakah kita ini layak dan akan masuk menghuni syurga Allah SWT!