CARI BAHAN

Tuesday, August 10, 2010

Mulanya di Tanjong Batu

Januari tahun 1994, aku diposting ke Sabah. Bersama bakal guru-guru dari Semenanjung, aku berkumpul di Berjaya Palace Kota Kinabalu untuk diberi taklimat seterusnya di tentukan daerah dan sekolah tempat bakal berkhidmat. Mulanya aku difahamkan bahawa daerah posting aku adalah Ranau. Aku berharap dipostingkan di Ranau kerana aku menyukai suasana pergunungan dan cuaca dinginnya. Namun, setelah dibuat penyususnan, namaku tersenarai sebagai guru yang bakal diposting ke Sandakan.

Bersama denganku yang nama tersenarai ke Sandakan ialah Lukman Ghazali, Kamal Syurdin dan Hasmadi Azlan. Ada yang lain yang aku tidak cukup kenal. Kami adalah guru-guru agama. Aku bakal ditempatkan di Sk. Tanjung Batu. Lukman Ghazali ditempatkan di Sk. Pulau Sanghai. Kamal Syurdin di Sk Sg. Padas. Manakala Hasmadi Azlan di Sk. Pertanian.

Dari lapangan terbang Kota Kinabalu, kami diterbangkan ke Sandakan. Ust Awang Mahali, penyelia agama daerah Sandakan pada masa itu menguruskan ketibaan kami di Sandakan. Kami ditempatkan di asrama SMK Agama Sandakan untuk beberapa hari. Kemudian seroang demi seorang diambil atau pergi bertemu guru besar sekolah masing-masing untuk urusan lapor diri. Aku adalah yang terakhir dijemput oleh guru besar Sk. Tanjong Batu iaitu En. Asmat Aliaman.

Dalam kepalaku memang tidak tahu apa itu Tanjong Batu. Sehari sebelum aku dijemput oleh guru besar, bersama Lukman Ghazali aku telah menyusur Bandar Sandakan dan bertanyakan orang di sana tentang Tanjong Batu. Pemandu teksi yang kutanya menggelengkan kepala dan mengatakan setahunya Tanjjong Batu itu di Tawau. Aku bertanya kepada orang-orang di jeti tempat banyak kapal penambang dan bot kecil berlabuh. Disuruhnya aku bertanya kepada orang di atas bot kepunyaan seorang lelaki bernama Jumadul. Dialah pemilik bot penambang ke Tanjong Batu.

Aku masuk ke Tanjung Batu bersama guru besar menggunakann bot kecil. Aku difahamkan bot itu adalah kepunyaan dan pemandu bot tersebut bernama Fazle. Meredah ombak sekitar 15 minit, kami sampai ke jeti Tanjong Batu. Tanjong Batu adalah sebuah perkampungan nelayan. Dari jeti, aku mengangkat beg bagasiku melalui jambatan kayu yang sudah uzur melalui celah bakau sebelum sampai ke perkampungan Tanjong Batu Darat.

Hari itu adalah hari pertama aku di Sk. Tanjong Batu. Tidak ramai guru pada masa itu. Yang aku ingat mereka ialah, Martin Embing, Tanis Odong, Yusuf Hamid, Rosli Zakaria, Salina, Zarina dan M.Mong dan dua orang kerani perempuan.

Aku mula menempati sebuah rumah guru dan menghabiskan hari-hari yang terdampar di pedalaman kepulauan. Mengajar di Sk. Tanjong Batu, sesuai dengan kondisi kampung, tidaklah membebankan. Jumlah murid tak melebihi 150 orang. Purata yang hadir setiap hari hanya seratus orang.

Di Tanjong Batu, tiada bekalan elektrik. Sumber air yang utama adalah air hujan yang ditakung dalam tangki. Aku memberli generator peribadi bersaiz kecil. Di malam hari aku hidupkannya. Antara jam 6 petang sehingga jam 12 malam. Aku beli TV untuk menghilangkan kebosanan. Aku memohon talian talifon tanpa wayar jenis CDMA untuk membolehkan aku melayari internet. Sekurang-kurang aku boleh chating melalui YM dan menambahkan bacaanku.

Aku mengajak kanak-kanak kampung yang kebanyakannya muridku di sekolah untuk sama ke surau Tanjong Batu Darat buat solat berjemaah. Bulan pertama aku berkhidmat di sana, atas inisiatif guru besar dan beberapa orang kampung, solat jumuat cuba didirikan. Aku menyampaikan khutbah dan imam Hasan menjadi imam. Orang kampung yang hadir termasuk kanak-kanak tidaklah mencukupi jumlah jumuat menurut mazhab Syafie. Namun, kami teruskan juga dan tidak juga buat solat zohor sesudahnya. Aku menganggap ianya sah dan Allah memberikan kemudahan kepada kami.

Demikianlah selama lebih lima tahun aku bersenandung dalam tugasanku sebagai guru sekaligus jurudakwah di Tanjong Batu. Sehingga ditukarkan dengan perpindahan khas pada suku ketiga tahun 2008. Ditukarkan kerana dilihat berada dalam keadaan keselamatan terancam oleh atasan. Allahumma antas salam....

No comments: