Seorang sahabat menimbulkan persoalan, apakah semua amalan adat yang kita lakukan perlu diniatkan sebagai ibadat setiap kali melakukukannya untuk menjadikannya ibadat?
Menurutku begitulah. Satu amalan adat kebiasaan perlu diniatkan setiap kali hendak melakukannya. Jika tiada niat, jadilah ia amalan adat kebiasaan. Makan akan jadi amalan kebiasaan. Mandi akan jadi amalan kebiasaan. Tidur akan jadi amalan kebiasaan. Persetubuhan suami isteri juga akan jadi sekadar amalan kebiasaan. Semua amalan kebiasaan akan jadi amalan kebiasaan yang tidak dianggap ibadat tanpa niat.
Semua yang namanya ibadat memerlukan niat!
Sahabat ini mengimpikan niat satu kali di permulaan dan ia terpakai sepanjang hayat. Misalnya niat makan kerana Allah untuk selama hidup. Justeru berapa kali makan pun, miski tanpa diserta niat kerana Allah pada setiap kali makan itu, akan jadilah makan itu ibadat dengan sebab niat pada kali pertamanya. Demikianlah amal-amal kebiasaan yang lain. Hanya niat sekali sahaja.
Solat perlu diniatkan setiap kali mahu melakukannya. Puasa juga perlu diniatkan setiap kali melakukannya. Sungguhpun ada pendapat yang membenarkan niat puasa malam pertama untuk sebulan Ramadhan, tidaklah pula ada pandangan yang mengesahkan bolehnya berniat puasa sekali sahaja untuk puasa-puasa yang dilakukan sepanjang hidup.
Aku tegaskan bahasa apabila disebut ibadat, ia terdedah kepada hukum sah dan batal. Sedangkan iman pun ada yang membatalkannya, maka demikianlah pula ibadat. Apabila iman terbatal, mengucap semulalah. Dalam mengucap itu tentu ada niat yang merupakan tasdik dalam hati. Ibadat yang terbatal maka kena ulang balik. Solat terbatal, maka kena ulang semula daripada semula dengan niat yang baru.
Demikian juga makan dan minum. Hari ini kita makan dan minum kerana Allah. Tiba-tiba pada keesokan hari kita makan dan minum kerana lapar dan dahaga. Maka terbatallah ibadat makan dan minum. Jadi adat kebiasaan. Tiada pahalalah. Kena perbaharui niat. Baru jadi ibadat.
No comments:
Post a Comment