CARI BAHAN

Monday, August 30, 2010

Niat tidak mengatasi amal

Sesetengah orang melihat keutamaan pada hati. Bila sebut hati, termasuklah niat. Mereka kata, asal hati baik, tak kiralah macam mana pakaiannya. Kemudian dikatakan pula, kalau pakaian bagus macam mana sekalipun, apalah guna kalau hati jahat. Ayat ini selalu dikumandangkan oleh golongan artis yang mana mendedahkan aurat menjadi keperluan dan budaya hidup mereka. Ketika ditanya kenapa anda sudah balik dari Makah, baru buat haji, tapi cara pakaian tak melambangkan hajjah. Jawapan simplistik mereka adalah pakaian tak penting. Hati yang penting.

Seorang teman menceritakan satu cerita tentang mimpi seorang lelaki yang tertidur di pinggir Ka'abah. Dalam mimpinya dia diberitahu oleh seseorang bahawa semua hujjaj yang mengerjakan haji pada tahun tersebut tidak diterima hajinya. Hanya niat haji seorang tukang kasut yang tinggal di sebuah negeri belahan Iraq yang tak sampai pun ke Makkah yang diterima. Ini kerana, dalam cerita tersebut, dia telah bertahun-tahun mengumpulkan wang hasil kerja sebagai tukang kasut dengan niat hendak ke Makkah. Pada waktu wangnya sudah cukup, dia dipertemukan dengan satu peristiwa yang mengubah hasratnya. Seorang ibu memasak bangkai kuda buat makan anak-anaknya kekrana kemiskinan. Kasihan kepada si ibu dan anak-anaknya, tukang kasut itu menyerahkan semua hasil simpanannya kepada mereka anak beranak buat membeli makanan halal.

Kerana niatnya untuk pergi haji dan kebaikan hatinya, maka hajinya ia satu-satunya orang yang diterima hajinya oleh Allah SWT.

Aku keberatan menerima pengajaran cerita ini sebagai sandaran dalam berhujah. Selamanya, aku mengambil sikap menolak mimpi sebagai hujah. Mimpi hanya sekadar hiasan cerita dan tiddak punya nilai dalam berhujah. Sementelahan pula, mimpi ini menceritakan keutamaan niat berbanding amal. Amat luar biasa fadhilat niat. 

Trend mengutamakan niat ini menjadi kegemaran golongan seperti artis yang dinyatakan tadi. Mereka mengatakan niat yang afdhal. Amal, penampilan dan luaran jatuh nombor dua. 

Menjawab hujah yang meletakkan niat begitu istimewa, kita cuba kembali kepada fakta mengenai iman itu sendiri. Iman menurut nabi bukanlah tamanni tetapi ia adalah tasdiq dalam hati, iqrar dengan lisan dan amal dengan anggota. Walaupun nabi mengatakan taqwa itu "ha huna" sambil mengisyaratkan kepada dadanya, takwa mempunyai pancaran lahiriah. Sebab itu orang bertaqwa dan tidak dikenali berdasarkan lahiriahnya.

No comments: