Kerajaan Allah amat luas. Tujuh petala langit dan tujuh petala bumi adalah kerajaan Allah semuanya. Di antara keduanya, berapa banyak planet, bintang, bulan dan matahari, semuanya kerajaan Allah jua. Bumi ini, laksana sebiji pasir dalam kerajaan Allah yang maha luas. Lalu manusia dipilih menjadi khalifah di bumi.
Sudah tentu bumi ini planet yang paling istimewa antara sekian banyak planet di cakerawala luas ini. Kalau tidak, masakan Allah pilih manusia untuk menjadi khalifah di bumi?
Di bumi yang sekecil pasir ini, manusia berebut kekuasaan. Allah memberi kekuasaan kepada siapa yang Dia kehendaki dan Dia juga mencabut kekuasaan daripada sesiapa yang Dia kehendaki. Kekuasaan sebenar hanya milik Allah SWT.
Lihatlah bagaimana manusia berebut kekuasaan di bumi. Antara satu negara dengan satu negara terjadi peperangan kerana berebut hak dan kekuasaan untuk menjadi pihak yang menguasai satu pihak yang lain. Malah, dalam satu negara yang sama, rakyatnya berebut kekuasaan untuk menjadi penguasa yang menguasai satu pihak yang lain. Kadang-kadang negeri itu cuma sebuah tanah kecil atau sebuah pulau seketul di tengah laut. Dalam negeri, daerah, mukim, kampung, malahan tanah dusun sekangkang kera, manusia berebut kekuasaan. Perebutan itu menimbulkan permusushan dan kekadang membawa kepada peperangan atau pembunuhan.
Demikian hebatnya pengaruh kekuasaan. Namun, kekuasaan apapun yang diburu dalam dunia ini, satu hakikat yang jangan dilupa oleh orang yang berfikir ialah tiada kekuasaan yang kekal. Hebat Firaun berkuasa, satu saat Allah telah mencabut kuasanya. Betapa miskinnya nabi Muhammad daripada kekuasaan, satu saat Allah memberinya kekuasaan. Kekuasaan yang tidak tamat dengan kematiannya. Kekuasaan nabi Muhammad lestari sepanjang zaman di bawa nama ummatnya.
Malaysia ini bukan negara besar. Kecil sekali dalam peta dunia. Sekali fikir, apalah ertinya berebut kuasa pemerintahan. Namun, manusia secara fitrahnya memang sukakan kekuasaan dan berebut kuasa. Sebab itu berlaku perebutan kuasa yang tidak kunjung padam.
Namun, berebut kuasa untuk semata-mata berkuasa bukanlah sikap hamba Allah yang beriman. Orang-orang beriman, memburu kekuasaan untuk menegakkan agama Allah dalam pemerintahan. Ini adalah tujuan murni perebutan kuasa. Jika seandainya kerajaan yang memerintah tidak menegakkan agama Allah SWT dan meletakkannya di tempat yang sepatutnya, maka menjadi kewajipan bagi mereka yang beriman untuk merempas kekuasaan tersebut bagi menegakkan agama Allah.
Sebab itu, kita berjuang.....
No comments:
Post a Comment