Haram atau halal, hanya Allah dan Rasul sahaja boleh tentukan. Sesiapa yang mengharamkan yang halal, maka sesungguhnya terjerumus dia ke dalam kekufuran. Demikian sebaliknya, sesiapa yang menghalalkan yang haram, juga boleh terjerumus ke dalam kekufuran. Ini kerana, yang punya otoriti menghalalkan dan mengharamkan itu cuma Allah dan RasulNya sahaja. Apa yang haram dalam Quran maupun hadis, itulah yang haram. Apa yang tidak dinyatakan pengharamannya dalam Quran dan Hadis (kecuali persoalan ibadah), maka ia adalah harus. Asal setiap sesuatu adalah harus. Asal perkara ibadah pula adalah haram
Kerana itu, para salafus soleh, ketika diminta fatwa mengenai halal atau haram, mereka berusaha menjauhi diri daripada menggunakan perkataan "ini haram" pada sesuatu yang tidak ketetapan jelas dalam Quran dan Hadis. Mereka lebih suka menggunakan perkataan seperti "aku membenci ini", "aku tidak menyukai itu" dan seumpamanya.
Tiba-tiba timbul isu hukum main kutu.Ia dikatakan haram sedangkan selama ini ramai orang telah terlibat dalam transaksi ini. Lagipun, transaksi ini tidak mengandungi unsur riba, maisir ataupun gharar. Menggunakan kalimah "haram" untuk main kutu ini adalah mengelirukan kerana istilah haram adalah istilah syarak. Hanya syarak yang boleh menentukannya.
Kenyataan haram tersebut telah dikeluarkan oleh Pengarah Kanan Penguatkuasaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhd. Redzuan Abdullah berkata skim kutu diharamkan dan jika sabit kesalahan individu terbabit bakal berhadapan dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 3 Akta (Larangan) Kumpulan Wang Kutu 1971.
Rupa-rupanya, ia haram di sisi undang-undang negara. Bukan haram di sisi Allah. Ertinya, wang hasil kuti tidaklah berstaus haram macam wang jual arak, main judi, jual babi, riba dan sebagainya. Tentu ini melegakan ramai orang yang berhati-hati dalam agama. Kalau setakat haram di sisi undang-undang negara, biarlah.
Telur penyu pun haram, tapi jual beli berlangsung juga. Kalau hendak dikira, memburu rusa adalah haram, tetapi dagingnya dijual dan dimakan orang juga Banyak benda yang diharamkan oleh negara tetapi sebenarnya halal dari segi hukum syarak. Demikian juga sesuatu yang tidak wajib, diwajibkan. Umpamanya pakai tali pingang keleder, pakai topi keleder dan memiliki lesen memandu. Agama tidak mewajibkannya tetapi ia boleh menjadi wajib kerana beberapa sebab. Jika menimbulkan mudarat, ia menjadi wajib.
Ada pihak mewajibkan zakat hanya dibayar kepada kerajaan melalui pusat pungutan zakat yang ditubuhkan. Tidak bayar kepada pemerintah dikatakan berdosa sebab tidak melaksanakan yang wajib. Alasan yang disandarkan ialah mentaati pemerintah adalah wajib. Maka, apabila pemerintah menitahkan wang zakat dibayar kepada mereka, rakyat tidak mengikut, rakyat telah menentang pemerintah dan haramlah hukumnya. Agama membenarkan zakat dibayar kepada mana-mana 8 asnafnya dan tidak mewajibkan hanya kepada amil. Jadi, perkara yang tidak wajib pada syarak, tidak boleh diwajibkan oleh sesiapapun.
Sebab itu, perkataan "haram' usah dipakai. Ia mengelirukan. Bila sebut judi haram, orang akan mempersoalkan tentang apakah ada judi halal? Bila sebut gerai haram, orang akan tertanya-tanya apa yang dijual oleh pemilik gerai itu sehingga gerainya dihukum haram. Apakah dia menjual daging babi, arak atau dadah? Tidak!ia hanya dikatakan haram sebab tidak membayar cukai atau tidak berlesen.
Perkataan "melanggar undang-undang" lebih tepat dan objektif. Tapi kalimah itu panjang. Tidak seperti kalimah "haram". Pihak DBP boleh memikirkan satu kalimah lain yang pendek dan tepat.
No comments:
Post a Comment