CARI BAHAN

Thursday, September 30, 2010

Maka bersujudlah sekalian ahli sihir!

Pemerintahan Firaun dipertahankan oleh kelompok ahli sihir. Menjadi ahli sihir pada zaman Firaun merupakan satu karier penting dan  melibatkan jumlah yang ramai.Disebutkan dalam Al-Bidayah Wan Nihayah, sebuah karya imam Ibn Kathir, dikatakan jumlahnya ahli sihir Firaun ialah 80 ribu orang. Firaun telah memerintahkan orang-orangnya agar membuat penjelajahan seluruh negara untuk uji bakat menjadi ahli sihir.  Lalu, mereka yang telah lulus tapisannya, telah dibawa berdepan dengan nabi Musa A.s. Saat berepan dengan nabi Musa, mereka pun memperlihatkan bakat masing-masing. Namun, semua tipudaya mereka musnah apabila nabi Musa A.S dengan bantuan Allah, ketika melempar tongkatnya, tongkatnya bertukar menjadi ular besar lalu menelan semua ular ciptaan ahli sihir.

Demikianlah pada setiap pemerintahan zaman lalu, ahli sihir menjadi pembela penting untuk kelangsungan pemerintahan. Maka, setiap pemerintahan yang berdiri, memerlukan pembelanya. 

Pada zaman sekarang, kalau kita meneliti sejenak, siapakah yang memainkan peranan seumpama ahli sihir zaman Firaun, kita akan dapat mengenalpasti bahawa para pengamal medialah yang memainkan peranan itu. Pengamal media termasuklah  media bercetak, elektronik dan kini internet. Media yang disebarkan dalam masyarakat dalam bentuk tulisan, tayangan dan ulasan-ulasan boleh memukau rakyat. Minda rakyat diasak dengan maklumat yang dipaksakan melalui media sehingga mereka tersihir untuk mendokong apa sahaja rancangan dan agenda kerajaan yang memerintah.

Golongan pengamal media termasuklah para wartawan, karyawan, pengacara, pembaca berita, editor akhbar, seniman, para artis, penyanyi dan pembikin filem.  Mereka ini boleh memukau khalayak dengan hasil karya dan persembahan mereka. Sama seperti ahli shir Firaun yang memukau rakyat.

Namun, lihatlah apa yang terjadi tatkala ahli sihir Firaun berpaling tadah. Mereka bertaubat dan menyokong perjuangan nabi Musa A.S. Saat itu, menjadi hampirlah zaman kejatuhan Firaun dan elitnya.

Hari ini, bila para pengamal media mula menyokong gerakan rakyat, paling istimewa menyokong kebangkitan Islam, maka itulah saatnya akan berjatuhanlah tawaghit seantero dunia.

No comments: