"Cerita Hang Tuah itu cuma sebuah hikayat. sebuah Hikayat bukan boleh dipercayai kebenarannya. Banyak sekali cerita hikayat yang ditulis, kebanyakan hanya cerita penglipur lara yang tidak boleh disandarkan keyakinan...", demikian aku menjelaskan kepada murid-muridku. Mereka baru menceritakan kisah "Hang Tuah Memimpin Armada" di perhimpunan sempena sambutan hari kemerdekaan.
"Ada pengkaji mengatakan Hang Tuah 5 bersaudara itu berbangsa Cina. Hang Tuah itu nama sebenarnya ialah Han Tu Ah. Hang Jebat itu namanya Han Ji Fat...", aku membisikkan kepada GB ketika kami sama-sama mendengar cerita yang disampaikan oleh murid-murid.
Cerita Hang Tuah begitu masyhur bersama kemasyhuran kerajaan Melaka. Jika dibaca buku hikayat Hang Tuah, kita akan menemui cerita mengenai keperwiraan dan kepahlawanan Hang Tuah bersama 4 saudaranya yang merentas sempadan bangsa. Hang Tuah dikatakan pernah bertemu nabi Khaidir dan daripada nabi Khaidir dia mendapat segeluk air yang jika disapu di bibirnya, semua bahasa boleh diucapkan dengan mudah. Hang Tuah masuk ke dalam kubur demi kesetiaan kepada raja. Hang Tuah menangkap kuda kesayangan raja yang terlepas. Banyak lagi cerita-cerita luar biasa tentang kehebatan Hang Tuah
Jika kita amat terpesona dengan cerita Hang Tuah, lihat bagaimana secara tersirat kesimpulan kehebatan Hang Tuah dibuat oleh pengarang Hikayat Hang Tuah. Pada ketika keris Taming Sari milik Hang Tuah telah hilang disambar buaya putih, bintang Hang Tuah pun menjadi pudar. Dengan itu bermulalah detik kejatuhan Melaka. Secara penuh seni, kepercayaan syirik diterapkan dalam pemikiran kita. Bahawa yang hebat itu adalah kerana gandingan Hang Tuah dengan keris Taming Sarinya.
Siapa termakan dengan kesimpulan tersirat daripada hikayat Hang Tuah itu, jadilah dia mensyirikkan Allah. Syaitan memang pandai menampilkan kemurnian Islam dan bangsa yang disalutkan dengan kekotoran syirik. Jika kiat lihat jampi serapah yang diwarisi oleh nenek moyang kita, ada yang dimulakan dengan "basmalah" disusuli dengan seruan terhadap jin dan jembalang kemudian ditutup dengan berkat shahadah. Demikianlah, kita perlu berwaspada dengan apa yang diwarisi oleh nenek moyang kita. Hikayat Hang Tuah yang kita sanjungi sebagai warisan bangsa itu perlu dimurnikan dengan keyakinan bulat hanya kepada Allah SWT semata.
" Kalau Hang Tuah ada, mana kuburnya?", aku mengulangkan semula pertanyaan yang sudah banyak dipertanyakan orang.
Dalam Islam, nabi pun seringkali didustakan. Dalam keadaan para sahabat dan ulama sesudah mereka amat kuat menjaga ketulinan agama yang disandarkan kepada nabi, masih banyak lagi muncul riwayat dusta mengenai nabi dan disandarkan kepada nama nabi.
Kalau hadis pun ada maudhu', apa nak hairan kalau hikayat-hikayat maudhu' bersepah dalam dunia kesusasteraan bangsa kita!.
No comments:
Post a Comment