“Saya berani berkata bahawa tidak ada seorang pun di Malaysia ini yang boleh mengatakan bahawa UMNO tidak pernah berjasa kepada mereka. Tiap-tiap orang sama ada Melayu, Cina, India atau apa bangsa sekalipun BN yang dahulunya Perikatan telah memberi sumbangan dalam kehidupan mereka,”kata Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, SU Agong UMNO sebagaimana telah dilaporkan dalam Utusan Online.
Memang, UMNO telah berjasa kepada rakyat Malaysia, bani Melayu, Cina, India atau lain-lain bangsa. Jasa itu berbeza-beza mengikut kaum sama ada sedikit atau banyak. Secara langsung atau tidak langsung. Malah ia berbeza-beza mengikut individu. Selama lebih 50 tahun lebih UMNO memimpin perikatan dan kemudiannya Barisan nasional, sudah tentulah banyak yang telah dia buat. Lebih daripada itu, ia memimpin sebuah kerajaan bersama rakan-rakan dalam Perikatan atau Barisan Nasionalnya.
Namun, berjasa kepada rakyat bukan semata-mata kelebihan UMNO atau kerajaan Barisan Nasional. Parti Komunis di Rusia dan China juga berjasa kepada rkyat negara tersebut. Kalau di sebuah kawasan yang didakwa sebagai bawah kawalan sesebuah kumpulan gangster, banyak juga pihak yang merasa terhutang budi kepada kumpulan gangster tersebut walaupun terpaksa membayar duit perlindungan. Maka, bukan satu kelebihan istimewa untuk sesebuah parti atau sesebuah kerajaan untuk mendakwa bahawa dia telah berjasa buat rakyat.
Apa yang dibuat untuk rakyat hendaklah dinilai dari sisi jahatnya. Jika jahatnya banyak, maka biarpun kerajaan atau parti itu telah berjasa, ia wajib disirnakan daripada persada politik. Sebuah kerajaan atau parti yang telah berselirat dengan penyelewengan, rasuah, nepotisme dan sikap oppurtunis penerajunya, maka jasanya tidak boleh lagi dipertahankan untuk menjadi alasan kelangsungannya.
Firaun yang memerintah Mesir, bukan tidak ada jasanya. Rasanya, sebagaimana kata Kunan itu, bahawa setiap rakyat Malaysia tentu pernah menelan jasa UMNO dan kerajaan Barisan Nasional, maka demikianlah Firaun beranggapan ke atas rakyat Mesir. Baginya kemakmuran seluruh rakyat Mesir adalah di bawah kekuasaannya. Raja-raja zalim dalam sejarah, semuanya melakukan jasa yang pelbagai buat rakyat. Paling tidak, menjaga kedaulatan negerinya sehingga negara lain tidak boleh menceroboh wilayah kekuasaannya. rakyat berasa aman di bawah pemerintahannya kalau pun tidak sepanjang masa, mereka menikmatinya sekerat masa.
Justeru, apa hebatnya jasa UMNO dan BN. Kemerdekaan yang diusahakan memang satu jasa tetapi harga yang dibayar tidak terkira. Kerana mahu merdeka, perlembagaan warisan Inggeris terpasak membumi di tanah Melayu sehingga kini. Kedaulatan Islam sukar ditegak sehingga kini. Jalan raya, sekolah, balai polis, perumahan, pasar-pasar dan bandar-bandar adalah sedereta jasa UMNO dan BN. Namun bersama pembangunan fizikal tersebut, yang boleh dibuat oleh kerajaan dan parti manapun yang memerintah dalam dunia ini, berapa banyak kebobrokan yang dipejamkan mata.
Dalam jasa rakyat diperkosa. Dalam budi masa depan negara diperjudi.
No comments:
Post a Comment