Aku ada facebook. Tapi, facebook tidak memenuhi citarasaku. Aku suka laman blog berbanding facebook. Facebook itu sesuai buat mereka yang tak suka menulis dan hanya suka berbual dan bertukar mesej. Itu bukan kegemaranku dalam melayari dunia internet. Aku suka kalau dapat menulis dan membaca tulisan orang. Bagiku, dunia internet adalah medan menyatakan pandangan dan mendalami pandangan orang lain. Ia juga sebagai sumber pengetahuan melalui laman-laman web ilmiah yang berbagai-bagai. Sejauh ini, sebarang persoalan dan kemusykilan dalam agama terjawab dengan merujuk kepada lama-lama web pilihanku. Aku dapat mencari ayat Quran dan hadis nabi dengan cepat melalui internet. Aku juga boleh mengenali mana hadis saheh atau palsu melalui carian internet.
Kini, menerusi pelbagai pendedahan dan ulasan pelbagai pihak, kenyataan sebenar facebook makin terdedah. Sememangnya facebook menjadi kancah longgokan dosa apabila di sana banyak gambar yang tidak sepatutnya dipaparkan untuk tatapan ornag ramai. Semacam satu kegilaan di kalangan remaja, malah kaum ibu memaparkan wajah-wajah dan figure mereka kepada khalayak. Aktiviti harian mereka dipaparkan di facebook untuk santapan mata ramai orang.
Penampilan menggoda, berpakaian sendat dan senyuman yang menggoda menyebabkan pasangan bukan muhram dapat bertukar gambar dengan mudah. Bukan sahaja setakat pasangan kekasih, malah siapa-siapa sahaja boleh melihat dirinya.
Kalau dari sisi buruk ini, memang benar facebook itu bala akhir zaman. Namun, persoalan serangan kemajuan teknologi ini bukan perkara baru. Dulu, waktu tv mula diperkenalkan kepada masyarakat, sesetengah anggota masyarakat melihat tv sebagai dajal dan panggong wayang yang masuk ke dalam rumah. Ada yang mengambil tindakan keras mengharamkan tv. Namun, akhirnya tv menguasai. Ia adalah alat moden yang tidak dapat dihalang. Dalamnya ada kebaikan dan keburukan. Siapa yang mengambil yang buruk, yang buruklah lahir. Siapa yang menggunakan untuk kebaikan, amat banyak pula kebaikannya.
Demikian juga facebook. Kalau tanya pasal hukum facebook kepadaku, aku suka menjawab bahawa hukumnya sama dengan hukum internet, hukum tv dan hukum astro. Malah, sebenarnya hukum facebook itu samalah dengan hukum dunia. Dunia akan jadi baik jika berada di tangan orang beriman tetapi akan jadi rosak jika di tangan orang yang tidak beriman.
Justeru, gunakan facebook dengan baik. Kita takkan mampu menepis kemajuan laman pelayar facebook ini. Namun, masyarakat perlu dididik agar memahami sejauh mana keterlibatan mereka dalam facebook.
No comments:
Post a Comment