CARI BAHAN

Friday, September 03, 2010

Hidup sebuah lintasan

Hidup ini hanya satu lintasan. Pada setiap alam, kita hanya akan diberi peluang sekali. Kita tidak akan mengalami reinkarnasi sebagaimana kepercayaan hindu yang menjadikan nirvana sebagai tujuan dalam kehidupan. Apabila kita mati, kita akan ke alam barzakh dan di sana kita akan singgah berpangkalan sementara menunggu akhirat. Dunia yang ditinggal, tinggalah. Putuslah.

Hairan sekali melihat ada orang yang sangat sayang dengan dunia dan banyak memikirkan mengenainya. Seorang perdana menteri yang sudah meletak jawatannya, belum sepenuhnya menumpu ke hadapannya yang semakin dekat. Masih banyak persoalan politik yang diperdebatkan sampai tegang urat leher dan merah kedua mata. Satu saat,  dunia yang pernah berada dalam genggaman kita itu pasti akan dimiliki orang lain!

Hairan juga melihat dua ilmuan bertegang leher.  Dua ilmuan dari mazhab berbeza. Seperti dunia ini akan kekal , mereka bertungkus lumus berjuang menegakkan kelompok. Yang satu kata kelompok ini kolot, ahli bid'ah dan jumud. Yang satu kata kelompok ini wahabi mujassimah dan khawarij dan sebagainya. Di penghujungnya, setiap keduanya akan bertemu Allah dan semua yang diperdebatkan masa di dunia tidak akan didebatkan lagi dalam akhirat.

Oh...ala kadar sahaja dalam dunia ini. Kata pujangga, biar dunia dalam genggaman kita, bukan dalam hati kita. Apa yang berlaku, Allah pencipta dunia telah takdirkan. Tujuan kita berjuang dalam dunia bukan menentukan arah tuju dunia kerana Tuhan yang menciptakannya telah buat jadual untuknya. Tujuan kita cuma mengumpul pahala buat menampung kita di akhirat sana.

Ketika melihat orang yang tak puas meneguk dunia, katakanlah...teguklah sepuasmu. Dunia tak habis dan kamu tak akan mampu menghabiskannya.

Ketika melihat pertelagahan dua ilmua terkemuka, katakanlah, bertelagahlah sepuasmu sebelum lidahmu kelu dan kamu akan menghadap Tuhanmu dengan apa yang kamu amalkan dan bukan apa yang kamu dendangkan!

Biarkan si luncai terjun dengan labu-labunya!


No comments: