Aku tidak tahu berapa lama lagi akan aku hirup udara dunia ini. Hari-hari yang kulalui membawaku semakin dekat kepada satu hari yang bakal mempertemukan aku dengan 'al-yaqin'. Menelah kemampuan diri untuk mendepani kehidupan sesudah itu, amat merisaukan. Apakah kesudahanku adalah 'al-ma'wa' ataupun 'lazaa'?
Bar-baru ini, seorang sahabat memberitahuku tentang berpulangnya seorang rakan kami semasa dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Pahang dahulu. Rakan intu namanya Saiful Bahri. Dia bertugas sebagai kerani akaun bagi pejabat pentadbiran ABIM Pahang di Kuantan. Itulah tugasnya semasa aku menjawat sebagai Setiausaha eksekutif di sana.
Dalam usia muda, dia telah dijemput berpindah meninggalkan alam fana ini untuk menghuni alam baqa. Semua orang akan ke sana sama ada cepat atau lambat. Namun, hakikat ini sering dilalaikan oleh ramai orang. Biarpun setiap hari menyaksikan gugurnya nyawa-nyawa rakan taulan dan sahabat handai, orang masih melupakan nasib diri. Sebab itu, kita melihat sebahagian orang leka memburu dunianya. Dia menyusun cita-citanya dengan wang simpanan dan perancangan masa depannya yang sungguh mengkagumkan. Sayangnya, perancangan itu hanya setakat selengkar hidup singkat yang tidak pula dapat dipastikannya bilakah penamatnya.
Oh Tuhan...jadikan daku orang sentiasa mengingati kematian. Jadikan orang yang sentiasa bersedia untuknya.
No comments:
Post a Comment