Malam Jumuat, mereka hantar makanan ke masjid. Kemudian mereka titipkan pesanan agar ditahlilkan buat arwah si fulan dan fulanah yang merupakan orang tua atau kaum kerabat mereka yang telah berpulang ke alam baqa. Lalu, mereka menghilang diri. Solat jemaah maghrib pun tidak, apatah lagi untuk duduk bersama dalam majlis tahlil yang mereka anjurkan.
Apakah begitu mudah agama ini? Amal yang diganjari pahala boleh diupahkan kepada sekumpulan orang dengan makanan yang disediakan? Kalau begitu, apalah ertinya Allah menggesa kita beramal soleh dan membelanjakan harta kita sebelum datangnya kematian. Kalau harta yang ditinggalkan oleh si mati boleh dikendurikan oleh anak cucu di masjid untuk sekumpulan orang bertahlil, tidak perlulah Allah menyuruh kita membelanjakannya sebelum mati. Selepas mati pun boleh dimanfaatkan oleh anak cucu untuk kita.
Masjid bukan biara tempat para rahib diam. Masjid adalah pusat aktiviti ummat Islam seluruhnya. Tidak kira siapa dia, dia punya hak yang serupa ke atas masjid. Masjid adalah milik Allah dan tidak ada sesiapa yang memilikinya.
Tanggapan sebilangan orang, kalau nak buat majlis doa selamat, tahlil maupun bacaan Yasin, hantar makanan ke masjid. Biar orang masjid yang bacakan. Kalau buat di rumah, panggil orang masjid. Ada pula, yang tidak puas hati kerana masjid tidak ada laungan azan. Biarpun azan dilaungkan, dia tidak pula datang ke masjid. Masjid baginya seumpama radio yang melantunkan suara azan bila masuk waktu.
Buat mereka ini, aku tegaskan bahawa masjid bukan biara!
No comments:
Post a Comment