CARI BAHAN

Tuesday, May 31, 2011

Poligami Salleh Yaakob dipuji.

Salleh Yaakob, seorang selebriti menikah lagi. Isterinya kali ini seorang mahasiswi jurusan pengangkutan. Kini, Salleh Yaakob telah mempunyai empat orang isteri. Kejayaan Salleh Yaakob mengamalkan poligami sering diperkatakan. Media melaporkan dalam nada penghargaan. Berbeza sekali ketika mana media mengulas mengenai isu poligami melibatkan tokoh agama.

Salah satu serangan yang ditujukan kepada pengikut Al-Arqam adalah kerana amalan poligami mereka. Paling keras mengkritik adalah golongan pejuang hak wanita. Dalam soal Salleh Yaakob berpoligami, tidak pula mereka mengkritik. Mungkin kerana Salleh Yaakob bukan seorang tokoh agama. Mereka itu cuma berghairah mengkritik kalau ia dilakukan oleh golongan agamawan dan dilakukan sebagai galakan agama.

Semasa Ust Badrul Amin menikah seorang lagi tidak lama dahulu, timbul keritikan ke atas pribadinya. Bau negatif disebarkan berhubung poligami yang mula dirintisnya.

Kononnya poligami menganiaya wanita.

Dalam hati mereka ada penyakit. Itulah sebenarnya.

Walau bagaimanapun, tahniah kepada Salleh Yaakob. Beliau telah menunjukkan contoh poligami yang baik. Semoga sikap masyarakat terhadap poligami akan berubah dan semakin positif pada masa-masa mendatang.

Lafaz niat

"Kita adalah pengikut mazhab Syafi'e...maka teruskanlah niat di permulaan solat", demikian ustaz yang menyampaikan kuliah semalam menyimpulkan setelah ditanya mengenai niat dan lafaznya oleh seornag guru pencen. 

Nampaknya guru pencen itu adalah seorang yang rajin membaca dan berfikiran merdeka. Aku kira ramai yang seumpamanya. Ramai yang tidak boleh berpuas hati dengan jawapan yang mengikat atas nama mazhab. Guru pencen itu juga begitu.

Ketika aku berdiri di luar masjid, dia datang mampir dan membisik kepadaku mengenai lafaz niat. Dia melahirkan kelucuannya dengan lafaz niat yang disifatkannya tidak ada pada zaman nabi. Kemudian dia menyebutkan lafaz niat dalam bahasa Inggeris. Masakan begitu....katanya.

Monday, May 30, 2011

Alim dan Faqih

Perbualan petang ini dengan seorang teman lama adalah berkisar mengenai ketidaksamaan antara seorang yang alim dengan seroang yang faqih. Aku menegaskan bahawa seorang yang alim belum tentu faqih. Akan tetapi, seorang yang faqih itu tentu sekali seorang yang ali. Untuk mengenali sama ada seorang itu faqih atau tidak, lihatlah sejauh mana ilmu memberi makna kepada  masyarakat. Seorang yang faqih, apabila dia mengulas isu-isu masyarakat, dia meringankan bebab masyarakat dan bukan menambahkan bebannya.

Aku ceritakan bahawa seornag faqih tidak perlu syarahkan tentang israk mikraj tiga hari tiga malam. Seorang faqih tidak perlu syarahkan seperenggan dalam kitab karangan ulama menjadi hurauan panjang berjela-jela. Selalunya seorang yang mampu memanjang lebarkan huraian seperenggan yang tercatat dalam kitab sehingga jika ditulis boleh buat sebuah buku yang lain akan dikatakan alim. Alim belum tentu faqih. 
Apa guna banyak belajar kalau tidak mampu mengubah diri.

Ya Allah...jadikan kami faqih.

Sunday, May 29, 2011

Sejenak mengenai larangan menyebar agama

Lontaran pertanyaan seorang rakan lama dalam blognya mengenai apakah ada dalil melarang penganut lain menyebarkan agama mereka membuatkan aku terfikir. Sejenak, aku cuba menelah lembaran sirah Rasul dan sepanjang sejarah Islam mecari-cari larangan seumpama itu.Aku masih gagal temui. Kecenderunganku merumuskan bahawa kebebasan beragama yang dijamin oleh Islam adalah memasukkan sama kebebasan mereka menyebarkan agama mereka.

Justeru, dari sumber hukum mana yang diundang-undangkan dalam negara kita bahawa agama lain tidak boleh disebarkan? Dari undang-undang seumpama inilah timbul polemik yang panas mengenai bible dalam bahasa Melayu yang menaikkan darah segelintir orang Islam yang bersemangat.

Agama lain tidak boleh disebarkan di Malaysia. Sekalipun begitu, begitu ramai orang Islam yang dikristiankan di Malaysia. Di mana silapnya? Apakah akta dan undang-undang yang diciptakan itu memelihara akidah umat Islam sebagaimana yang diwar-warkan? Kalau menjaga, kenapa ramai yang murtad?

Berbuat sesuatu tanpa dalil syarak boleh dipertikaikan. Mungkin sesetengah pihak menjadikan maslahah sebagai alasan. Namun, maslahah tidak boleh dinilai berasaskan akal fikiran manusia. Lain orang lain pula masalahahnya. Kalau ikut masalahah, nabi tidak wajar sebar Islam di Makkah. Pembesar Makkah kata nabi bawa perpecahan, sedangkan mereka hidup bersatu pada sebelumnya. Maslahah pembesar Makkah itu ialah tiada Islam demi perpaduan!

Benarkah penggunaan kaedah masalahah dalam keadaaan begitu?

Kekadang aku terfikir, untungkah Islam dengan melarang agama lain disebarkan? Bukankah manusia, kalau tidak tahu mengenai kebatilan akan menganut kebatilan. Manusia yang tercari-cari kebenaran, tidak menemui kebenaran dalam Islam kerana Islam yang ditampilkan kepadanya laksana gambaran gajah buat sibuta. Kebatilan agama lain yang ditahan penyebarannya dicari dan dibongkar. Lalu dia menyangka ada kebenaran di sana. Memang manusia suka makan yang haram. Yang halal tidak menarik minatnya.

SEJARAH YANG SAMPAI KEPADA ANDA


Sejarah Islam diberi perhatian besar oleh ulama-ulama Islam. Banyak sekali karya yang ditulis untuk menceritakan sejarah Islam. Pun begitu, banyak sekali pembohongan yang berlaku dan sejarah Islam. Pembohongan ini terbongkar apabila para ulama mengkritik beberapa aspek periwayatan sejarah dan fakta yang bertentangan dengan nas-nas yang saheh. Umpamanya, riwayat Ibn Ishak dipertikaikan kerana beliau individu yang dilebelkan sebagai membawa agenda " tasyayyu' ". Demikian, fakta sejarah yang mencalar dalam memperkatakan hubungan antara Ali dengan Mu'awiyah banyak mengandungi anasir  fitnah sama ada di pihak Rafidhah maupun Nasibah.

Jika demikian sejarah Islam, maka bagaimanalah sejarah Melayu. Apakah sejarah Melayu mempunyai jalan periwayatan yang boleh dipertanggungjawabkan?

Sejarah Melayu yang menceritakan asal usul raja-raja Melayu daripada Iskandar Zulkarnain dan turun kepada Sang Sapurba dari Bukit Siguntang Mahemeru adalah lebih kepada sebuah metos. Metos sebagaimana kepercayaan orang Greek dan Yunani kepada Tuhan Zeus serta pahlawan supernatural mereka Hercules. Ianya tiada bukti untuk difaktakan.

Maka, demikian sejarah Melayu yang menceritakan perjuangan kemerdekaan. Hari ini, kita diajar bahawa pejuang kemerdekaan adalah UMNO dan pemimpinnya. Semuanya muluk belaka. Kalau kita baca sejarah versi UMNO, Datuk On Jaafar adalah seperti dewa yangb turun dari langit. Tengku Abd Rahman adalah pembela sejati yang bijakasana meraih kemerdekaan. Terpadamlah mereka yang bukan daripada UMNO yang berjuang menentang penjajah.

Para ulama tidak punya nama. Tidak dicatat dalam sejarah. Komunis apa lagi. Perjuangan gerilanya dalam hutan melawan British dianggap sebagai penderhaka. Komunis penderhaka, British itu mulia.

Renunglah sejarah Melayu dan Tanah Melayu dari versi yang lain. Sebagaimana kita merenung sejarah Islam yang dipalit fitnah dan dusta.

PARLIMEN BELIA

Kata Sabree Chik, idea menubuhkan parlimen belia akan diteliti dan dilaksanakan mengikut kapasiti yang ada. Parlimen Belia akan menjadikan belia-belia dari setiap kawasan berkumpul dan berbahas soal-saol dasar negara ala-parlimen yang betul. 

Aku melihat idea ini tidak ada indahnya pun. Setelah kita mengetahui siapa yang menerajui pertubuhan-pertubuhan belia peringkat kebangsaan, negeri dan daerah, kita akan faham mengapa idea ini sia-sia. Selagi pertubuhan belia dikuasai oleh golongan belia tua yang menjadi 'baluchi' UMNO, selagi itu pertuuhan belia tidak ke mana. Ia tidak dapat menajdi medan angkatan belia yang sebenarnya menunjukkan bakat.

Sebenarnya, mereka takut muncul belia yang benar-benar menggugat. Belia berdarah muda dan membara.

Saturday, May 28, 2011

Himpunan sejuta belia

Ternyata Himpunan Sejuta Belia yang sedang diadakan di Putrajaya sekarang ini hanyalah alat kepada kepimpinan BN untuk melihat sokongan para belia kepada pemerintahan mereka. Apabila PM melaungkan selogan "pertahankan Putrajaya" maka ternatalah bahawa menghimpunkan para beliau di bawah program Himpunan Sejuta Belia tidak lebih daripada bermotif politik. 

Pertahankan Putrajaya daripada apa? Apakah Putrajaya terancam oleh serangan musuh luar sehingga perlu dislogankan "Pertahankan Putrajaya"?

Terdahulu, Pakatan Rakyat telah meproklamasikan rancangan mereka untuk menawan Putrajaya. DS Najib sendiri pernah mengeluarkan kenyataan dalam ucapannya semasa Pembentangan Bajet tahun lalu bahawa Putrajaya perlu dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir.Tidak sukar untuk memahami selogan yang dilaungkan semasa Himpunan Sejuta Belia tahun ini.

Tan Sri Muhyiddin menyifatkan himpunan pada tahun ini amat berjaya kerana kerajaan tidak menyediakan logistik sebagaimana tahun yang lalu. Dengan erti kata lain, beliau cuba membayangkan bahawa kerajaan tidak membelanjakan wang rakyat dalam jumlah yang banyak untuk menjayakan program tersebut. Kehadiran belia-belia adalah atas kemahuan sendiri. Ada yang datang naik bas, naik kereta sendiri, naik basikal dan malahan ada yang naik skateboard.

Aku sukar percaya kenyataan itu. Selama ini, kehadiran rakyat ke program-program pak menteri didorong oleh tarikan dan kemudahan pengangkutan yang disediakan. Mereka yang pergi ke program tersebut boleh menggambarkan berapa banyak wang rakyat digunakan untuk membeli air kotak dan makanan untuk hadirin. Tentunya setiap program yang disediakan sepanjang himpunan tersebut ada bajet tersendiri. Masakan penyanyi-penyanyi yang membuat persembahan di sana sukarela dan percuma sahaja.


Penerbangan Balik Kampung (Mei 2011)

Esok aku akan balik ke kampungku di Kedah. Sekolah bercuti selama dua minggu. Tahun-tahun sebelumnya aku tidak balik kalau cuti semester pertama. Aku hanya balik cuti akhir tahun kerana pada masa itu cutinya panjang. Kepulanganku kali ini lebih kerana ada majlis kenduri kahwin keluarga isteriku. 

Balik kampung memang seronok. Lebih-lebih lagi kalau sudah lama tidak balik. Ada ibu di kampung. Ada adik beradik yang boleh ditemui. Malah, ada banyak nostalgia yang terlukis pada suasana di kampung halaman. 

Secara peribadi, kepulangan ke kampung membuatku merasa 'release'. Aku lupakan tentang kerja sekolah dan berhenti seketika merungsingi hal ehwal Jama'ah.

Esok  jam 11.35 pagi penerbanganku bermula dari Sandakan menuju KLIA. Dari KLIA ke Alor Setar pula adalah pada pukul 7.55 petang.

Salafus Soleh ikutan kita.

Tamaddun manusia, merangkumi penemuannya serta ciptaannya, di akhirnya lebih baik daripada awalnya. Penerusnya adalah lebih baik berbanding perintisnya.  Namun, berbeza halnya dengan agama yang benar panutan manusia. Ia adalah lebih baik pada permulaannya berbanding akhirnya.Perintisnya adalah lebih lurus berbanding penerusnya. Tamaddun manusia itu umpama angin yang bertiup sedangkan agama laksana bangunan  yang tegak berdiri. Tamaddun adalah timbunan pengetahuan sedangkan agama adalah wahyu yang diturunkan dan muktamad. 

Pengikut agama benar yang awal berbanding yang kemudiannya diumpamakan air dari sumbernya di legeh pergunungan dengan air yang kemudiannya mengalir merentasi desa dan kota hingga ke kuala. Sebab itu, penganut Yahudi yang terbaik adalah nabi-nabi dan pendetanya yang terdahulu. Yang terbaik di kalangan Nasara pula adalah nabi Isa dan para hawariyyunnya. Maka, demikianlah pula penganut Islam yang terbaik adalah nabi, para sahabat dan generasi di zaman  mereka. Kemudian, generasi sesudah mereka dan seterusnya.Setiap beralihnya zaman, maka akan bertambah merosotlah kebaikan mereka berbanding sebelumnya.

Mereka yang awal dalam agama yang benar, itulah yang dipanggil Salafus Soleh. Para ulama menyimpulkan berdasarkan hadis-hadis, generasi Salafus Soleh adalah mereka yang hidup dalam tempoh 300 tahun yang pertama. Sesiapa yang mengikut manhaj mereka, maka mereka itulah yang paling dekat dengan agama yang benar itu. Sesiapa yang jauh dari manhaj mereka, sudah pastilah tergolong kalangan yang jauh pula daripada agama yang benar itu. 

Imam Ahmad bin Hambal pernah berkata: :"Apabila anda melihat seseorang menyebutkan kata-kata yang buruk ke atas para sahabat nabi, maka raguilah keislamannya".

Seseorang muslim yang baik tertakluk sejauh mana dia mengikut manhaj para Salafus Soleh. Mencela para sahabat dan orang terdahulu bukan manhaj salaf. Janganlah terpesona dengan serban yang besar seseorang. Jangan pula menjadi syahdu dengan banyaknya tangisannya demi Islam dan Rasul. Perhatikan bagaimana jalan agama yang ditempuhnya. Cermati pula bagaimana lidahnya dalam menutur kata ke atas para sahabat dan ulama terdahulu.

Ada jama'ah, kumpulan, tariqat dan gerakan yang mendakwa mereka sebagai Salafi tetapi jalannya yang ditempuhnya menyalahi Salafus Soleh. Maka sesungguhnya mereka bukan Salafi sekalipun lidah mereka menzikirkan bahawa mereka Salafi. Sekalipun penampilannya mewakili mereka dan pakaian menyerupai mereka.

Jama'ah, kumpulan, tariqat dan gerakan yang tidak menjadikan Al-Quran, Sunnah dan Ijmak  sebagai andil dalam beragama adalah kumpulan yang menyimpang dari manhaj Salafus Soleh. Malah, mereka adalah bukan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah sekalipun mereka melaungkan ke seluruh dunia bahawa mereka adalah Ahlus Sunnah Wal Jama'ah.

Perhatikan baik-baik agamamu. Jauhi simpang siur kalam pujangga agama yang tidak berpijak atas landasan Salafus Soleh. Murnikan ibadah dan sucikan akidah daripada tafsiran pelbagai. Hanya tafsiran generasi terawal yang wajar menjadi panutan kita.

Wahai Tuhan...bantulah kami.

Batik Doa Ibu pun naik harga.

Kain batik Doa Ibu menjadi kegemaran ibuku. Aku kira ibu-ibu di kampung di negeri-negeri Semenanjung meminati kain batik jenis Doa Ibu. Demikianlah, setiap kali balik kampung, aku belikan kain Batik Doa Ibu sebagagai buah tangan buat ibuku. Di Pasar Sandakan, harganya sekitar RM12.50 hingga RM13.00. Paling mahal pun adalah RM15.00. Tapi itu tahun lepas. Kali ini, harganya sudah naik menjadi RM18.00. Paling kurang diskaunnya hanya boleh turun kepada RM17.00. 

Kata makcik penjual kain di Pasar Besar Sandakan, nilai matawang Malaysia telah jatuh berbanding nilai Rupiah Indonesia. Itulah sebabnya harga kain jadi mahal. Aku kurang memahami sangat tentang perkembangan nilai matawang antara dua negara berjiran tersebut. Kalaulah benar, ternyata Malaysia kini nampaknya kian kalah dalam persaingan ekonomi dengan Indonesia.

Aku teringat apa yang diulas oleh Mat Sabu dalam ceramahnya di Sandakan baru-baru ini, bahawa pelaburan antarabangsa kini lebih berminat ke Indonesia berbanding Malaysia. Amalan rasuah yang tidak ditangani secara berkesan dan bersungguh-sungguh di Malaysia menyebabkan pelabur tidak selesa dengan Malaysia. Indonesia, miskipun terkenal sebagai negara yang berakar selirat rasuah beberapa tahun yang lalu, mereka mengamalkan ketelusan dalam banyak perkara. Usaha gigih dan keberanian rakyatnya menukar penguasa menjadikan usaha menangani rasuah menunjukkan perkembangan yang memberangsangkan.

Kenaikan harga barang ini semakin kuat frekunsinya. Jaminan kerajaan untuk tidak menaikkan harga minyak RON95 dan tiada pemotongan subsidi tidak menjamin. Ura-ura yang sengaja disiponggangkan oleh pemimpin kerajaan dan diwar-warkan pula oleh media menyebabkan timbul keresahan kalangan rakyat dan tentunya getaran frekunsi harga barangan bertambah. 

Aku berkeyakinan bahawa harga minyak akan dinaikkan dan subsidi akan dipotong lagi. Subsidi? Ini pun misteri.  Namun, ia tergantung kepada keputusan Pilihanraya Umum nanti. Kebijakan rakyat adalah penentu nasib mereka.

Friday, May 27, 2011

Golongan kelima yang binasa.

Sewaktu kuliah sedang berlangsung di masjid, ada beberapa orang duduk di luar masjid sambil berborak. Ada yang duduk di ruang legar luar dan ada yang bercelapak atas motor bersembang.Insya sudah masuk tetapi pengkuliah lanjutkan beberapa minit. Biasanya kalau malam kuliah, memang tiada azan lagi. Terus qamat dan dirikan solat fardhu insya.

Antara yang duduk di luar masjid itu adalah seorang teman yang selalu berbual denganku. Selepas solat insya, aku menegurnya. Kepadanya kulontarkan pertanyaan dalam bahasa Arab.

"Antara empat golongan, orang alim, orang belajar, orang mednengar dan orang mencintai ilmu, mana satu kamu termasuk?", aku betanya kepadanya.

Dia cepat menyedari hala tuju soalanku. Dia mengatakan dia termasuk golongan ke empat iaitu orang mencintai ilmu. Lalu kutanyakan, kalau dia mencintai ilmu, apa buktinya?

Selanjutnya aku menegaskan bahawa orang yang berborak di luar masjid sewaktu kuliah ilmu sedang berlangsung tentulah bukan pengajar. Bukan yang belajar dan bukan pendengar. Sementara sebagai yang mencintai ketiga-tiga golongan itu, aku katakan aku meraguinya. 

Justeru, binasalah semua orang yang tidak dapat merangkul mana-mana salah satu daripada empat ciri tersebut.Merekalah golongan kelima.

Jika Allah mahu anda ditukarkan...

"Ceh...tak guna, aku dah buat macam-macam untuk membuktikan aku layak ditukarkan pulang ke Semenanjung, aku dapatkan surat doktor mengesahkan bapa aku sakit, aku dapat tandantangan orang-orang atasan, tapi aku masih tidak berjaya. Keluar keputusan baru-baru ini, aku gagal lagi. Masuk kali ini, dah 5 kali aku minta tukar!", rugut seorang guru kemarahan kerana permohonan pertukarannya tidak berhasil.

Kenapa gagal sedangkan telah melakukan pelbagai cara? Kenapa segala asbab yang dijamah tidak membuahkan hasil?

Barangkali kamu kurang pergantungan kepada Allah SWT. Kamu banyak meminta kepada makhluk sehingga lupa kepada Allah. Kamu mengira dengan "cable" mantap yang kamu pasang, kamu akan dapat memenuhi keinginan kamu. Sedangkan semuanya bergerak di bawah aturan Allah SWT.

Bila manusia banyak bergantung kepada selain Allah, maka Allah tidak akan membantunya. Padahal Allah yang menentukan segalanya!

Thursday, May 26, 2011

Sang Penggelap

Kalau ada Sang Pencerah, gelaran yang diberikan kepada K.H Ahmad Dahlan, pengasas Gerakan Muhammadiah di Indonesia, tentunya ada pula yang boleh digelarkan Sang Penggelap. Sang Pencerah datang membawa Islam yang ditampilkan sebagai mudah sehingga melegakan ummat. Islam tanpa tokok tambah yang meyusahkan. Bid'ah, sekalipan dihasanahkan. Hatta, untuk mengenal Allah pun dipersulitkan dengan serangkap dogma yang menyerupai falsafah. Kita mungkin pernah mendengar mengenai ilmu kalam. Ia bukan dari Islam tetapi adalah ciplakan manhaj falsafah.

Dalam masyarakat kita, ada manusia yang menambahkan gelap di kanvas Islam. Anda sendiri boleh menilainya daripada apa yang mereka serukan. Mereka serukan Islam yang ditanggapi negatif oleh orang kafir. Islam eksklusif. Islam tanpa kompromi. Islam tiada hikmah. Islamharfiah!

Ramai ulama yang membawa kedamaian dalam Islam di lebelkan sebagai sesat. Mereka dituduh Wahabi, mujassimah dan sebagainya. Dibela pula pelbagai tariqat yang menyulitkan jalan.

Merekalah Sang Penggelap

Masjid bukan biara

Malam Jumuat, mereka hantar makanan ke masjid. Kemudian mereka titipkan pesanan agar ditahlilkan buat arwah si fulan dan fulanah yang merupakan orang tua atau kaum kerabat mereka yang telah berpulang ke alam baqa. Lalu, mereka menghilang diri. Solat jemaah maghrib pun tidak, apatah lagi untuk duduk bersama dalam majlis tahlil yang mereka anjurkan.

Apakah begitu mudah agama ini? Amal yang diganjari pahala boleh diupahkan kepada sekumpulan orang dengan makanan yang disediakan? Kalau begitu, apalah ertinya Allah menggesa kita beramal soleh dan membelanjakan harta kita sebelum datangnya kematian. Kalau harta yang ditinggalkan oleh si mati boleh dikendurikan oleh anak cucu di masjid untuk sekumpulan orang bertahlil, tidak perlulah Allah menyuruh kita membelanjakannya sebelum mati. Selepas mati pun boleh dimanfaatkan oleh anak cucu untuk kita.

Masjid bukan biara tempat para rahib diam. Masjid adalah pusat aktiviti ummat Islam seluruhnya. Tidak kira siapa dia, dia punya hak yang serupa ke atas masjid. Masjid adalah milik Allah dan tidak ada sesiapa yang memilikinya. 

Tanggapan sebilangan orang, kalau nak buat majlis doa selamat, tahlil maupun bacaan Yasin, hantar makanan ke masjid. Biar orang masjid yang bacakan. Kalau buat di rumah, panggil orang masjid. Ada pula, yang tidak puas hati kerana masjid tidak ada laungan azan. Biarpun azan dilaungkan, dia tidak pula datang ke masjid. Masjid baginya seumpama radio yang melantunkan suara azan bila masuk waktu.

Buat mereka ini, aku tegaskan bahawa masjid bukan biara!

Fannanah Taaibah

Fannanah Taaibah merujuk kepada golongan penggiat seni yang bertaubat. Mereka termasuklah penyanyi, pelakun, pengarah, produser, pelawak dan lain-lainnya yang bergiat di lapangan. Sering pula disebutkan sebagai para karyawan seni. Umumnya, dunia mereka bergelumang dengan kemaksiatan.  Oleh sebab itu ada sebahagian mereka yang kembali ke jalan benar dan bertaubat, mereka dipanggil Fannanah Taaibah. Dulunya mereka berpakaian menyolok mata, kini mereka berpakaian menutup aurat. Terutamanya bagi kalangan wanitanya.


Alhamdulillah atas kembalinya mereka ke pangkuan Islam setelah lepas bebas menggubarkan kefasikan. 


Namun, sebahagiannya masih tertipu. Dia telah kembali bertaubat dan bepakaian jilbab tetapi masih mengatur program seni untuk wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Dalam bahasa sekarang mereka masih menjadi mentor kepada protege yang jika disebutkan, celupan zamannya sebelum bertaubat. 


Dalam agama Islam, seorang penggalak kepada kemaksiatan maka dosanya sama dengan pembuat maksiat. Tak guna juga kalau mentor bertudung tetapi protegenya tidak bertudung. Dia mengajar pula protegenya bagaimana menjadi selebreti yang hebat melalui gaya dan penampilan yang menyolok mata. 


Masya Allah! kasihan...kejahilan dalam agama kekadang membuatkan seseorang terpedaya dengan jalan taubat yang dipilihnya. Katakanlah bahawa kamu belum beriman tetapi kamu hanya Islam.

Bangsa itu ciptaan Allah.

Aku katakan, watak penindas bukan milik taukey Cina. Seorang teman menceritakan pengalaman pahitnya bekerja di bawah tauke Cina dan dia menghadapi penindasan. Sebab itu dia sangat marah kepada Cina. Aku bayangkan kepadanya, senadainya dia bekerja di bawah bos Melayu pun, belum tentu dia mendapat ketenangan di bawahnya. Kekadang, penindasan oleh Melayu itu lebih teruk dan kejam. Ini kerana watak penindas bukan terkait dengan mana-mana bangsa secara khusus. Ia adalah watak manusia yang tidak punya akal budi.

Merujukm kepada beberapa tokoh kaca Cina, dia merumuskan bahawa kekacaan mereka itu adalah lantara ketamakan mereka. Mereka merampas hak bangsa Melayu pada masa lalu dan hasil dari kekayaan itulah meeka bangunkan kekayaan mereka dewasa ini. Aku katakan bahawa di balik ketamakan cina tamak yang menguasai kapitalis ekonomi pada masa ini, ada terselit pengkhianatan Melayu. Hari ini kita marah Cina jadi tauke balak. Kita marah Cina memiliki tanah di bandar Kim Fong  dan bandar Letat Jaya, Sandakan, tetapi bagaimana mereka mendapatkannya kalau bukan kerana melayu yang mengkhianati bangsanya sendiri. Kalau mahu dikira khianat, banyak sekali perbuatan itu berlegar sesama bangsa Melayu. 

Sehingga bangsa Melayu sering dimomok dengan title PHD (Penyakit Hasad Dengki)

Cina dapat balak kerana khianat pemimpin Melayu. Banyak kawasan balak di beberapa negeri  milik golongan istana. Mereka kemudiannya mengorbankan dengan memberi kontrak kepada taukey-taukey Cina. Kerana sogokkan wang ringgit, permohonan tanah kepada Cina tertentu dibuat oleh Melayu yang tamak dan khianat itu secara bawah meja.

Seorang teman berasal Ranau memberitahuku bahawa dalam pengamatannya, lebih 90 peratus tanah kawasan Kundasang itu sebenarnya dimiliki oleh Cina. Bumiputera suku Kadazan Dusun yang banyak menenpati di sana hanya menjadi penama sahaja. Apakah salah Cina atau kebodohan bumiputera.

Kita sering mencemburuo Cina atas kejayaannya dalam perniagaan dan kita sandarkan kejayaan itu atas beberapa sifat negatifnya. Sementara, kita lupa sifat negatif kita. Demikian aku menegaskan buat teman yang amat cintakan bangsanya Melayu itu.

"Aku Melayu...tetapi aku hanya mencintai Islam...Cina dengan Islam lebih aku cintai daripada Melayu tanpa Islam!" aku bermadah buatnya. Marilah kita renungkan hakikat ciptaan bangsa-bangsa oleh Allah. Baru kita mengerti bahawa betapa sia-sianya perjuangan demi bangsamu.

Wednesday, May 25, 2011

Racau

Naib Presiden UMNO, Datuk Sri Zahid Hamidi mencabar DAP untuk keluar daripada Pakatan Rakyat dan bertanding dalam pilihanaraya umum akan datang secara bersendirian kalau ia benar-benar anak jantan. Dengan cara itu, menurutnya, DAP barulah dapat menguji pengaruhnya. Apakah pengaruhnya itu kerana kehebatan dirinya atau kerana Pakatan Rakyat.

Cabaran yang dilontarkan itu memperlihatkan bagaimana pemimpin BN sudah kian meracau. Mereka masih terimbau dengan kenangan lalu di mana Pembangkang saling bercakaran sesama sendiri. Dewasa ini, parti-parti pembangkang telah melangkah ke era penyatuan untuk membentuk barisan pembangkang yang bakal menjadi alternatif kepada rakyat. Namun, pemimpin BN tidak boleh menerima perubahan ini. Maka keluarlah cabaran bermentaliti rendah daripada Naib Presiden UMNO tersebut.

Cabaran sebegitu tidak perlu dilayani. Ia umpama racau seorang yang tengah mabu arak. Arak oilitik dan kekuasaan.

Ulama perlu dengar kuliah

Ada orang yang lembut hatinya dan mudah menerima nasihat dan peringatan. Ketika dia bergelumang kemaksiatan, lalu ada orang memperingatkannya, dia pun kembali menjadi hamba Allah yang bertaubat. Beruntunglah orang yang apabila diberi kata-kata nasihat mereka menurutinya dengan seelok-eloknya. Kekadang, orang yang berperwatakan sebegini bukan siapa-siapa. Malah, dia dikenali sebagai orang yang lalai dan ahli maksiat. Mereka adalah orang yang dilapangkan Allah hati-hati mereka.

Namun, ada mula manusia yang hatinya hitam dan sangat benci menerima nasihat. Dia, malahan menentang si pemberi nasihat. Memang itulah orang yang amat rugi. Allah SWT telah mencop hati mereka.

Anehnya ada pula kalangan yang berpengetahuan luas dalam agama yang tidak boleh dinasihati. Nasihat dianggapnya sebagai mencabar kewibawaan. Lebih-lebih lagi kalau nasihat itu datang dari mereka yang lebih rendah darjat ilmu menurut kaca matanya.
Jarang sekali ulama sudi duduk dalam majlis nasihat dan majlis ilmu seorang yang lain. Mereka merasakan duduk mendengar kuliah dan nasihat seorang yang lain yang tidak setaraf keilmuan mereka itu satu kehinaan. Ini meruapakn penyakit jiwa yang menyerang banyak ahli ilmu.

Kata orang tua-tua, tak kan hilang bisa ular menyusur akar. Apa salahnya kalau seorang ustaz, ulama dan cerdik pandai duduk mendengar kuliah. Itu, malah akan menambahkan kemuliaannya di sisi Allah dan para malaikat.



Tuesday, May 24, 2011

Lebel haram untuk politik haram

Nampaknya orang begitu mementingkan  halal haram dalam makanan. Pemuda UMNO sendiri, melalui ketuanya, Khairi Jamaluddin menggesa kerajaan agar membuat pengeluaran sijil halal dibekukan sehingga ia diaudit. Begitu prihatinnya beliau terhadap halal haram makanan.

Namun, bagaimana pula dengan soal halal haram yang lain. Dalam hidup ini, bukan makanan sahaja yang perlu dipastikan halal. Tidak ada satu pun dalam kehidupan ini kecuali terikat dengan hukum.  Bagaimana dengan politik? Apakah tiada politik halal dan politik haram? Apakah Khairy Jamaluddin tidak mahu mendesak agar politik halal diberikan sijil kelulusan dan politik haram dilebelkan sebagai haram?

Tuhan...bantulah daku!

Tetapi, saya mesti bersabar sehingga Allah mendatangkan kepada saya jalan. Mungkin, pada apa yang saya tidak suka itu ada kebaikan. Apa yang saya suka itu ada keburukan. Allah punya hikmah yang tersendiri apabila Dia menentukan sesuatu. Kegopohan kita seringkali membuatkan kita jahil tentang apa yang tersirat di sebalik sumua takdir Allah.

Aku berjalan di atas garis takdir yang telah pun siap dilakar Allah. Setiap derap langkah, aku menebak rahsia takdir itu. Apa pun yang Dia tentukan, harus aku depani dengan pasrah. Bahagia atau duka yang mendatang, telah pun Dia tentukan, Aku ingin mengenang semua itu dengan jiwa seorang hamba yang redha. 

Oh Tuhan...pada saat-saat tertentu. kepingin sekali aku agar dilontarkan jauh terbuang ke pulau nun sunyi di tengah laut. Biar kosong aku dari sebarang hubungan dengan manusia. Aku ingin bersendirian. Tentunya ada sang pencipta bersamaku di kala itu. Mungkin saat itu lebih menenangkan dan mensucikan diri. Namun, itu sudah pasti bukan jalan para nabi-nabi dan orang soleh. Pengasingan diri adalah tindak orang kecewa dalam hidup. Allah tidak suka orang kecewa.

Apapun, pahit getir kehidupan harus dilintasi dengan sabar, Di hujung semua ini, tentu ada kedamaian yang menanti.

Cina dan India perlu Islam

Agama Islam ini milik Allah. Orang Islam jangan merasakan bahawa Islam ini milik mereka secara eksklusif. Oleh kerana Islam adalah milik Allah, Dia boleh berikan Islam kepada siapa sahaja yang Dia mahu. Dia juga boleh ambil semula Islam daripada sesiapa sahaja yang Dia mahu.


Gelagat sesetengah orang Islam yang cuba bersikap keras mendabik dada dalam mempertahankan Islam, menunjukkan seolah-olah Islam adalah miliknya. Pintu-pintu Islam yang sepatutnya terbuka luas, ditutup olehnya. Orang bukan Islam melihat Islam sebagai asing dan jauh daripadanya. 


Anehnya, di zaman ini, di mana Islam boleh kita gembar gemburkan dalam media massa dan juga buku serta majalah, Islam kian lambat berkembang berbanding zaman dahulu kala. Para pendakwah yang datang ke alam Melayu di zaman dahulu dapat menyebarkan Islam sehingga hari ini kita boleh menterjemahkan Melayu itu sebagai Islam.  Di indonesia, lebih 90% pendudukanya adalah beragama Islam. Tapi kini, Islam menghadapi proses gelinciran yang dahsyat. 


Di negara kita Malaysia, apa kurangnya? Kejadian murtad bertambah-tambah. Orang Cina dan India sukar sekali untuk memeluk Islam. Kenapa? Bukankah orang dahulu berjaya mengislamkan ramai orang Melayu. Tapi, kenapa Melayu gagal mengislamkan Cina dan India. Ini menjadikan masalah polarisasi kaum menruncing. Cuba, kalau Cina dan India jadi Islam, tidak akan timbul masalah polarisasi kaum.


Allahumma ya Allah...Islamkanlah Cina dan India di Malaysia.

Merenung kematian

Aku tidak tahu berapa lama lagi akan aku hirup udara dunia ini. Hari-hari yang kulalui membawaku semakin dekat kepada satu hari yang bakal mempertemukan aku dengan 'al-yaqin'. Menelah kemampuan diri untuk mendepani kehidupan sesudah itu, amat merisaukan. Apakah kesudahanku adalah 'al-ma'wa' ataupun 'lazaa'?

Bar-baru ini, seorang sahabat memberitahuku tentang berpulangnya seorang rakan kami semasa dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Pahang dahulu. Rakan intu namanya Saiful Bahri. Dia bertugas sebagai kerani akaun bagi pejabat pentadbiran ABIM Pahang di Kuantan. Itulah tugasnya semasa aku menjawat sebagai Setiausaha eksekutif di sana.

Dalam usia muda, dia telah dijemput berpindah meninggalkan alam fana ini untuk menghuni alam baqa. Semua orang akan ke sana sama ada cepat atau lambat. Namun, hakikat ini sering dilalaikan oleh ramai orang. Biarpun setiap hari menyaksikan gugurnya nyawa-nyawa rakan taulan dan sahabat handai, orang masih melupakan nasib diri. Sebab itu, kita melihat sebahagian orang leka memburu dunianya. Dia menyusun cita-citanya dengan wang simpanan dan perancangan masa depannya yang sungguh mengkagumkan. Sayangnya, perancangan itu hanya setakat selengkar hidup singkat yang tidak pula dapat dipastikannya bilakah penamatnya.


Oh Tuhan...jadikan daku orang sentiasa mengingati kematian. Jadikan orang yang sentiasa bersedia untuknya.

Monday, May 23, 2011

Bersihkan diriku...

Sesungguhnya berjayalah orang-orang yang mensucikan hatinya. Sesungguhnya Allah suka kepada "awwabin". Kata Sa'id bin Al-Musayyab, awwabin adalah mereka yang bertaubat dari dosa kemudian berbuat dosa lagi. Kemudian mereka kembali bertaubat dan berdosa lagi. Begitulah seterusnya. 

Bertaubat itu menyucikan diri. Maka berjayalah mereka yang sentiasa ingat untuk menyucikan dirinya.

Ya Allah...ampunkan dosaku. Bersihkan daku dan kekalkan aku dalam istiqamah amal soleh di dunia.

Utusan Malaysia

Sudah bertahun-tahun aku tidak membeli Utusan Malaysia. Baca pun tidak minat. Sumber berita untuk bukan Utusan Malaysia. Melayu eksremis dalam Perkasa berdemo untuk menyelamatkan Utusan Malaysiam daripada penghinaan kerana kata mereka itulah hak orang Melayu. Sedangkan, realitinya ia cumalah hak UMNO. Pengendali Utusan Malaysia adalah soldadu upahan UMNO. Sebuah akhbar, kalau musnah, kita boleh akhbar lain. Apa hendak disayangkan dengan Utusan Malaysia. Sebelum ini pun sudah banyak akhbar yang orang Melayu keluarkan. Di zaman awal kesedaran menentang penjajah, orang Melayu telah pernah menerbitkan Al-Manar, Pengasuh dan lain-lain. Keluarn tersebut kini telah tiada. Orang Melayu tidak menangis pun.

Biarkan Utusan Malaysia tutup, Melayu tidak kisah. Hanya Melayu haprak sahaja yang merintih. 

Dalam Utusan sudah begitu banyak kemungkaran. Utusan sudah menjadi kilang penabur adu domba. Utusan sudah menajisi maruah bangsa dengan pelbagai cerita dongeng politik. Terbaru, ruangan Pojok Awang Selamat menggambarkan Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang yang paling rendah moral dengan satu dakwaan yang cukup bias. Sedangkan ia masih menjadi kes-kes yang cuba dimenangkan di mahkamah. Individu dalam Utusan sudah menjadi mereka yang ketandusan idea dan bervirus otak fikir mereka.

UMNO sudah edan

Kisah 'wa'ad' yang berlaku antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba menjelaskan kepada kita apa sebenarnya yang dituntut dalam pemerintahan Melayu. Kesetiaan rakyat dan keadilan pemerintah merupakan dua perkara yang saling berkait. Dinyatakan bahawa sejahat manapun seorang rakyat, pemerintah hendaklah menghukumnya mengikut undang-undang dan tidak boleh mempermalukan dia.

Ketika mengimbau cerita tersebut dalam ceramah umum di Sandakan, Ketua Umum PKR, DS Anwar Ibrahim mengatakan bahawa apa yang telah dilakukan oleh kerajaan UMNO-BN kepadanya sekarang bukanlah budaya pemerintahan Melayu lagi. Memetik ungkapan seorang cendikiawan dari Jogjakarta yang ditemuinya di sana semasa kunjungan beliau beberapa minggu yang lalu, katanya, Malaysia sekarang di zaman 'edan' (zaman gila). Budaya mempermalu lawan politik sebagaimana yang diamalkan oleh pemerintahan UMNO-BN dewasa ini tidak diamalkan oleh mana-mana negara dan tidak mewakili pemerintahan bangsa Melayu.

Sunday, May 22, 2011

Bencana mengandungi fitnah

Setiap bala bencana yang menimpa ada sebabnya. Kejadian tanah runtuh yang menimbus Rumah Anak-anak Yatim dan Anak-anak Hidayah Madrasah Al-Taqwa di Batu 14, Hulu Langat kelmarin telah mengorbankan 16 orang. Kejadian tersebut tragis dan tentu amat menyayat hati terutama bagi mereka yang terlibat dan terselamat serta kaum keluarga dan orang terdekat. Ia mendapat perhatian baik oleh kerajaan negeri mahupun  kerajaan pusat. Masing-masing akab berlumba mempamerkan keprihatinan. Sungguh baik sekali suasana itu. Rupanya di sebalik kelemahan kerajaan yang memerintah Malaysia, ada hikmah buat rakyat di sana. Situasi kerajaan negeri yang belum tentu nasibnya juga memberi impak positif kepada rakyat.

Mengenai tanah runtuh yang menimpa rumah anak yatim dan madrasah Al-Taqwa ini, ia mengandungi misteri yang kita tidak tahu. Kalau dilihat kepada namanya, tempatnya cukup baik. Ia adalah tempat orang baik-baik. Kita mungkin tertanya-tanya, kenapa tempat orang baik-baik pula ditimpa bencana tanah runtuh sebegitu. Mengapa tidak sahaja kasino di Genting Highland yang mencambah maksiat itu sahaja ditimbus tanah runtuh?

Sesunguhnya pada tanda-tanda kekuasaan Allah yang dipamirkan ada fitnah. Allah berfirman dalam Al-Quran:


وَمَا جَعَلْنَا الرُّؤْيَا الَّتِي أَرَيْنَاكَ إِلَّا فِتْنَةً لِلنَّاسِ وَالشَّجَرَةَ الْمَلْعُونَةَ فِي الْقُرْآَنِ وَنُخَوِّفُهُمْ فَمَا يَزِيدُهُمْ إِلَّا طُغْيَانًا كَبِيرًا


…dan kami tidak menjadikan mimpi yang Telah kami perlihatkan kepadamu, melainkan sebagai ujian bagi manusia dan (begitu pula) pohon kayu yang terkutuk dalam Al Quran dan kami menakut-nakuti mereka, tetapi yang demikian itu hanyalah menambah besar kedurhakaan mereka.
(Surah Al-Israk: Ayat 59)


Kepada warga madrasah berkenaan dan mereka yang menanggung kesediahan maksima mengenainya, bersabarlah. Ada sebab mengapa Allah longgarkan asas-asas tanah bukit di sisinya lalu diranapkan ke atas madrasah. Jadikan ia sebagai renungan dan muhasabah. Sesudah ini, akan kita lihat hikmah kejadian Allah SWT. Yang telah terkorban, itu sudah sunnah alam. Kematian akan menimpa setiap orang. Usahlah disedihkan seumpama kita tidak akan mati. Apapun bentuk kematioan kita, ia adalah satu kewajipan yang kita akan hadapi.

Derhaka si celaka

Kalau kepada kami
setiap pemberian dikata sabsidi
wang kami dipulangkan dikata ehsan
kami disuruh berjimat cermat
kerana itu jalan selamat

Kalau kepada mereka
pemilik syarikat konglomerat
yang berniaga tapi sentiasa gagal
mereka dibantu untuk kembali berdiri
pemberian untuk mereka dikata insentif
Berjuta buat mereka adalah suntikan dana

Lalu...untuk kalian
projek mega jutaan harga di bina
menara 100 tingkat tidak mengapa
100 juta untuk budak kurang upaya
atas nama permata negara
serata dunia dijelajah

gula kami yang sekilo
disuruh kurang demi kesihatan

minyak kereta kami seliter
disuruh bayar harga selipat
setiap butir beras
ada nilainya

sedangkan kalian
ketawa di istana mewah

Akan datang malaikat pencabut kesenangan
setiap derhaka ada celaka.

Saturday, May 21, 2011

JAM LONCENG


Jumaat baru-baru ini aku berkhuutbah mengenai pentingnya hadir solat Subuh berjemaah. Aku merasakan satu keperluan untuk memberi peringatan mengenainya kerana melihat ramai yang mengabaikannya. Solat jemaah bagi fardhu yang lain boleh dikatakan ramai, terutama maghrib dan insya. Namun, Subuh amat daif. Aku pun kadang-kadang miss juga. Pagi Jumuat yang aku rancang untuk berkhutbah itu pun aku miss. Kalau ikut adab ulama masa lalu, kalau kita gagal laksanakan, maka jangan memesan orang melakukannya. Namun, kalau aku tidak buat teguran, maka akan terpikullah amanah ini atasku. Biarlah...sungguhpun aku miss, aku akan cuba memastikan kehadiranku saban Subuh.

Hari ini aku beli jam lonceng yang kuat suaranya. Ini hanya ikhtiarku. Yang menjagakan aku di kala subuh adalah Allah SWT. Kalau aku tidur cukup awal di malamnya, aku jarang bermasalah untuk bangun awal lagi. Namun, orang sepertiku selalu tidur lewat. Banyak kerja yang perlu aku bereskan. Kekadang, aku suka menghabiskan masa berblog. 

Sampai...ada masanya jam 2 baru aku tidur.

Semoga jam lonceng ini membantu. Allahumma amin.

Perkasa tidak gempak

Barangkali merasakan demontrasinya tidak cukup 'gempak', pertubuhan ekstrim Melayu Perkasa mengajak PAS itu ikut serta menyatakan bantahan sambil mempertahan Utusan. Pas, melalui ketua penerangannya, Ust Idris Ahmad menolak dan menyatakan bahawa Utusam Malaysia bukan mewakili Melayu, sebaliknya merupakan lidah kepada UMNO. Dalam beberapa hari ini, kita melihat bagaimana Perkasa bersusah payah mengumpulkan orang untuk berdemo. Adalah beberapa kerat Melayu yang haprak ikut serta. Semua Melayu itu sebenarnya jika diteliti latar belakangnya, tidak lain adalah anggota Parti yang menaunginya juga.

Aku percaya umur Perkasa tak lama. Dalam beberapa tahun mendatang, Perkasa akan hilang arah tuju dan akhirnya jadi malas dan berkecai.

Apa yang kalian kokokkan?

Apa pasal mereka marahkan blogger Anjing Besar (BigDog) berhubung isu  menjadikan Kristian sebagai agama resmi. Blogger tersebut telah mengeluarkan tulisan yang menuduh wujudnya agenda menjadikan Kristian sebagai agama rasmi Malaysia serta melantik perdana menteri yang beragama kristian. Kemudian Utusan Malaysia memetik tulisan caca marba blog anjing besar itu dan diletakkan di muka depan. Sekarang ramai blogger pro UMNO marahkan anjing besar. Ada yang cadangkan supaya dia diISAkan. 

Wah!, nama pun anjing. Memang kerjanya menyalak. Biarlah anjing menyalak. Tak kan runtuh bukit dengan salakan anjing. Yang hebohnya sekarang, bukan salah si anjing besar itu. Ketololan editor Utusan Malaysia itulah yang perlu di humbankan nista. Kalau anjing besar itu jahat, jahatlah lagi editor Utusan malaysia yang memasukkan berita sampah di muka depan. Lebih-lebih lagi berita sampah yang berpotensi menggugat keharmonian hidup rakyat berbilang bangsa dan agama di Malaysia.

ISAkan editor Utusan Malaysia! Itu sepatutnya dikokokan oleh para blogger UMNO itu.

Friday, May 20, 2011

Mengenang Ibu.

Ibu menyara kita untuk menghidupkan kita. Sedangkan kita menyara ibu mengiringi kematiannya. Manakan sama apa yang kita berikan kepada ibu hari ini dengan apa yang telah ibu berikan semasa kita kecil dulu. Sebab itu, amat malanglah seorang anak yang berkira-kira untuk mengorban sebahagian pendapatannya untuk ibunya. Jika kita berkira untuk ibu kita, kelak akan datang anak zuriat kita pula berkira untuk kita Itulah karmanya. Itulah putaran rosa yang Allah sentiasa pusingkan dalam kehidupan kita.

Bapaku telah tiada. Aku hanya ada ibu kini. Sementara dia masih hidup, aku mahu mencari syurga melaluinya. Celakalah seorang yang ada ibu tetapi dia tidak dapat menjadikannya sebagai jalan ke syurga. Celakalah seornag yang melintasi Ramadhan sedangkan dosanya tidak diampunkan. Celakalah pula seorang yang bila disebut nama nabi Muhammad, tidak disalawatkan untuknya.

Sajak: Aku anak Malaysia

Sebuah sajak yang aku tuliskan buat murid-muridku . Sebahagian mereka adalah keturunan penghijrah 2 generasi sebelumnya.


Ibuku pernah bercerita
Bapaku pernah berlipurlara
Moyang kami dulu asalnya Filipina
Moyang kami dulu datang dari Zamboanga
Merentas laut meninggalkan tanah sengketa
mencari damai di bumi Sandakan.

Kini...
Aku lahir di bumi Malaysia
sebagai seorang anak Malaysia
Di sini aku menetapkan nawaitu
hidup matiku di bumi ini
setiaku tidak lagi berbelah bagi.

Lupakan sahaja tanah leluhurku
kerana itu kisah masa lalu
kini aku melakar hidup sendiri
di bumi bertuah bernama Malaysia.

Usah cakap

"Pilihanraya akan datang kita kasi tumbanglah BN", rugut seorang pengundi dari kampung Istimewa Batu Sapi.

"Kalau kerajaan asyik naik aja harga minya petrol ni, kita ajar ia dalam pilihanraya nanti", demikian pula kata seorang guru sekolah yang sebelumnya penyokong kuat BN.

Kepada dua contoh lantunan ketidakpuasan hati di atas, aku katakan:

"Tak perlu menanam azam...setiap kali pilihanraya, kalian dengan mudah digoyahkan dengan nilai RM50, Zink dan sekampit beras".

Siapa tidak tahu Kampung Istimewa yang menjadi kubu kuat BN semasa Pilihanraya Kecil Batu Sapi hujung tahun lalu? Hari ini, sungguh kasihan penduduk Batu Sapi secara keseluruhannya. Kalau sesiapa yang menjelajah ke sana akan dilihat betapa besarnya kebohongan yang ditaburkan sewaktu pilihanraya. Jalan rayanya rosak teruk. Ahli parlimennya jangan batang hidung, bau pun tak kelihatan. Kata orang dia lebih banyak menghabiskan masanya di Australia.

Semangat hanya seketika. Semangat bukan dibangun atas prinsip, dengan mudah digoyahkan oleh nilai dunia yang sedikit.

Ulama UMNO tiada izzah

Kalau ulama hendak masuk UMNO, biarlah dia ada izzah. Kalau dibandingkan dia dengan presiden UMNO, biarlah dia nampak lebh hebat di mata ahli berbanding presiden. Orang lebih hormat kepadanya daripada presiden. Kalau tidak boleh begitu, buat habis air liur sahaja. Ulama dalam UMNO, kalau hanya sekadar menikus, baik keluar. Kalaupun lantang, tetapi suara tidak didengar sebab tidak punya izzah, baik juga keluar.

Ulama yang berkesan untuk ke dalam UMNO, ialah apabila presiden takut kepadanya. Presiden malu alah kepadanya. Kalau sekadar inggusan yang dipandang picing mata oleh presiden, buat malu sahaja. Kalaupun presiden tak mahu endahkan, biarlah majoriti ahli menghormati dan mendengar katanya.

Aku terkenangkan kedudukan 4 ulama muda yang masuk UMNO tak berapa lama dulu.  Masa masuk dulu, heboh juga. Tetapi sekarang sudah maca larut. Tidak nampak sudah mana klorin dengan air tawar. Adalah sesekali komen keluar mengenai isu-isu nasional. Isu video seks dan sumpah laknat. Namun, komen-komen mereka sama ada dua. Songsang atau sepi. Songsang kerana merumuskan bahawa dalam kes Anwar Ibrahim, sumpah laknat balas adalah penyelesaian.Sepi kerana pandangan mereka itu tidak merenggut sokongan dan perhatian.Kasihan.

Tenaga yang disia-siakan...

Thursday, May 19, 2011

Siapa nak baca khutbah?

Aku dengar ada orang tidak senang hati kerana ada khatib yang tidak membaca teks yang disediakan oleh pihak Majlis Agama. Mereka mengadu kepada pihak berkuasa dalam pentadbiran agama dalam negeri. Khatib yang tidak membaca teks yang disediakan oleh majlis dianggap melanggar peraturan oleh individu yang tidka berpuas hati ini. Tidak tahulah pula apakah sikap pegawai-pegawai yang bertanggungjawab. Apakah mereka juga sependapat dengan individu yang mahukan khatib membaca teks yang disediakan atau kebebasan diberikan kepada khatib untuk berkhutbah.

Memang banyak khatib yang membaca khutbah. Sedikit sekali yang berkhutbah. Malah, kadang-kadang khutbah yang dibaca itu tidak releven dengan isu-isu setempat. Maka, jadilah khutbah tidak berguna dan tidak mampu menggerakkan perubahan dalam masyarakat. Jangan salahkan para jemaah yang tidur semasa khatib membaca khutbah. Salahkan khatib yang tidak merangsang para ahli jumuat dengan khutbah yang bertenaga.

Mengenai ketidakpuasan hati kerana khatib tidak membaca teks yang dikeluarkan oleh majlis agama, perlulah disedari bahawa tidak semua khatib bekerja dengan majlis agama. Oleh kerana khatib tidak bekerja dengan majlis agama, atau mana-mana institusi berkaitan dengan majlis agama, maka, dia tidak boleh dipaksa untuk membaca khutbah yang dikeluarkan majlis agama. Kalau sekiranya Majlis Agama mahu khatib membacakan khutbahnya, hendaklah setiap hari jumuat, khatib-khatib yang digajikan oleh Majlis Agama bercempera ke masjid-masjid untuk membacakan khutbah.

Jangan disuruh para ustaz membaca khutbah yang dikarang oleh seorang.

Tuesday, May 17, 2011

Munajat 1

Ya Allah...
Aku telah menghampiri usia kebabian Rasulmu Muhammad...
Jadikanlah daku hambamu yang punya kekuatan
Untuk menegakkan amal soleh
Untuk menolak ghairah kepada kemaksiatan
Sucikanlah hatiku
Curahkanlah ke dalam hatiku sinar kewalian

Ya Allah...berikanlah daku kekuatan
buat memimpin ta'ifah ini
Hanya Kaulah Tuhan yang memiliki kerajaan langit dan bumi

Ya Arhamar Rahimin

Monday, May 16, 2011

Itulah tabiat Perkasa

Aku dah kata dulu bahawa Perkasa itu pertubuhan budak nakal.Ia merupakan satu pohon kayu tenpat kera-kera suka bergayut. Tapi kera-kera di situ mempunyai kemahiran melompat tangkas bila terdesak. Kera-kera itu suka bercekcok dan mengganggu ketentaraman hutan belantara.

Apabila presidennya, Ibrahim Ali menmberikan ancaman nak lancar perang jihad ke atas Kristian, maka bertambah jelaskah sifat kera yang aku katakan itu. Memang itulah tabiat makhluk yang berada di pohon bernama Perkasa, Yang ramai-ramai duduk bergayut di dahannya itu adalah kera-kera yang tidak selesa di pohon UMNO atau sudah tidak diberi tempat untuk bergayut di sana. Tapi pohon b\perkasa bukan hebat sangat. Dahan-dahannya tidaklah bercabang banyak macam pohon UMNO. Lepas ini, boleh jadi banyaklah bertempiaran lari kerana pohon Perkasa itu sedang diintip pemburu.

Aman Malaysia dilaporkan mahu Ibrahim Ali ditahan di bawah Akta Darurat. Dia dilihat membahayakan keharmonian kaum di Malaysia. 

Sekarang, tak tahulah apa kedudukan Ibrahim Ali ini. Apakah dia kecut perut atau makin besar bongkaknya. Bongkaknya akan bertambah besar kalau ada ramai merangsangnya dan mengatakan dia pejuang Islam.

Jauh panggang dari api. Butalah mata orang yang tidak mengenal batu laa daripada batu permata.

Siapa rasa Ibrahim Ali pejuang Islam?

Tidak tahulah aku kalau ada yang menjadi kagum dengan keberanian Ibrahim Ali mengancam pengistiharan perang salib ke atas Kristian. Apakah mungkin ada otak sewel kalangan rakyat Malaysia yang beranggapan bahawa Ibrahim Ali itu pejuang Islam. Hishamuddin Tun Hussein pun nampaknya dah naik risau dengan gelagat Ibrahim Ali. Dia menyifatkan bahawa Ibrahim Ali tidak mewakili majoriti rakyat. 

Memang nampak Ibrahim Ali ini, semakin dekat tempoh pembubaran parlimen, makin rancak dia mempopularkan dirinya. Barangkali, dia mensasarkan sokongan ke atasnya akan meningkat menjelang pilihanraya nanti. Rasanya, dia silap. Pemikiran ramai orang Islam hari ini telah dirasionalkan oleh metodologi bijaksana yang dibawakan oleh para pemimpin Pas. dalam banyak isu agama yang dipukulkan gendangnya, Pas tidak melatah. Demikian, orang Melayu Islam juga tidak melatah, kecuali melayu UMNO yang bermuka-muka. Ada juga segelintir Melayu lembut ubun yang menunjukkan lenggok tarinya yang serupa. Namun, mereka kemudian tersipu dan berhenti sendiri kerana sokongan terbanyak rakyat tidak dapat dijana.

Pasal Ibrahim Ali, tidak dapat dijangka di mana sudahnya. Besar kemungkinan dia diISAkan oleh kerajaan. Kalau dia diISAkan, itu memang satu kezaliman kerana sememangnya ISA itu zalim. Tapi, kalau Ibrahim Ali diISAkan, berapa kerat orang Melayu akan bangkit membantah. Lagipun memang padan dengannya kerana selama ini pun dia puji habis kebaikan ISA.

Sudah tentu pengamat politik tanah air sudah mendapat kesimpulan kedudukan Ibrahim Ali pada pilihanraya umum nanti. Dia tidak akan diberi tempat lagi oleh Pas. UMNO juga tidak akan menempatkannya. Mungkin ketika itu dia akan terkulat-kulat sendiri dan akhirnya masuk calon bebas. Sebagaimana sebelumnya, kalahlah dia. Lepas itu dia dan Perkasa juga akan hancur. Itulah pukulan maut buat politik Ibrahim Ali. Balik kampung duduk kat rumah pakai kain pelikat dengan singlet sangkut. Kekadang boring di rumah, lepaklah di kedai kopi kat pondok Che' Yeh. Berdegarlah di sana cakap pasal ketuanan Melayu. Tidak ada lagi wartawan TV3 memetik kata untuk dimuatkan di buletin jam 8 malam. Wartawan haprak Utusan Malaysia juga tidak akan muatkan lagi di muka depan akhbarnya.


Sunday, May 15, 2011

Demikianlah...hukum alam

Menyelak lembaran sejarah,
Meneliti sabda sunnah

Apa hendak dihairankan
Jika banjingan bicaranya pendeta
di luarnya cantik dalam semasam atrujjah
telunjuk lurus kelinking berkait

lembut lidah berbahasa pujangga
menyimpan rahsia qalbu nifaq
oppurtunis di saat terdesak
dosa pahala bukan ukuran
demi kuasa pamrih duniawi

Apa nak dihairankan
dunia ini bukan syurga
tentu melata manusia durjana
Allah pasti bekali insan pembela
pembela sejati bukan bermuka-muka
setiap zaman pasti ada.

Demikianlah hukum alam
telah menjadi sunnatullah.

Gugur dari medan juang.

Ia satu ceramah dalaman. Demikian ujar Mat Sabu dalam ucapanan  perasmiannya untuk Muktamar Kawasan BS yang di adakan hari ini. Ceritanya mengenai orang-orang yang gugur dalam perjuangan agak menggerunkan. 

Sejak PAS ditubuhkan telah ramai pimpinannya yang gugur sebagai orang-orang 'mutasaqitun'. Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan, orang yang pertama memimpin PAS sebagai Yang Dipertua yang waktu itu dikenali sebagai Persatuan Islam Se Tanah Melayu,  akhirnya meninggalkan PAS. Kemudian, Datuk Mohd Asri bin Haji Muda yang dikatakan seorang orator yang setanding dengan Sukarno pula meninggalkan PAS dan masuk UMNO. 

Ramai juga pemimpin-pemimpin di peringkat negeri-negeri dan kawasan yang gugur dan berkhulwat daripada perjuangan terutama pada ketika Datuk Mohd Asri Hj. Muda dan pimpinan PAS sezamannya berijtihad membawa PAS masuk ke dalam BN. 

Namun, yang amat menakjubkan ialah apabila Datuk Nakhaie Hj. Ahmad, salah seorang pemimpin peringkat tinggi PAS pusat telah mengambil keputusan meninggalkan PAS dan masuk UMNO. Kata Mat Sabu, dia adalah anak usrah Datuk Nakhaie. Datuk Nakhaie sendiri telah mengarang buku bertajuk Istiqamah Dalam Perjuangan. Menceritakan detik-detik akhir sebelum kecundangnya seorang Nakhaie, Mat Sabu mengatakan sewaktu-waktu dia bersama Nakhaie dalam perjalan pulang ceramah-ceramah PAS yang melewati jam 3 pagi, Nakhaie selalu mengeluh kepadanya. Sampai bila kita akan begini...Demikianlah nada keluhannya. Dengan menyebutkan kesenangan yang telah dikecapi oleh Anwar Ibrahim yang waktu itu telah menjawab menteri kanan dalam kerajaan dan kedudukan yang selesa dalam UMNO, Nakahaie mengeluh dengan mengatakan sampai bila lagi pejuang PAS akan berhempas pulas susah payah begitu. Kata Mat Sabu, sebilangan besar yang gugur daripada perjuangan adalah kerana olah isterinya yang menuntut kesenangan duniawi.

Istiqamah senang dilafaz tetapi amat menggerunkan. Hati manusia dibolak balik Allah sekehendakNya. Kita tidak tahu di mana kita akhirnya. Berdoalah kepada Allah agar kita ditetapkan hati. Demikian simpul Mat Sabu.

Ibrahim Ali mahu lancar jihad?

Ibrahim Ali dilaporkan dalam Malaysiakini mengugut untuk melancarkan perang jihad jika komuniti Kristian di negara ini meneruskan hasrat untuk merampas kedudukan Islam sebagai agama rasmi dalam negara. Beliau mendakwa sikap ini adalah selari dengan semangat Salehuddin Al-Ayyubi yang pernah melancarkan perang salib bagi merampas kembali Baitul Maqdis daripada pemerintahan Kristian. Beliau juga memikulkan beban kesalahan atas kemelut yang melanda negara dewasa ini ke atas Anwar Ibrahim dan juga TG Nik Aziz yang dibariskan dalam kelompok Islam Liberal.

Kedengarannya sungguh hebat semangat Islam Ibrahim Ali. Lagaknya bak seorang panglima perang yang hanya menunggu masa untuk mengucapkan satu kalimah untuk menyebabkan pengikutnya meluru ke medan tempur. Kalau dengar katanya, sungguh lekeh dan meragukan sekali Islamnya Anwar Ibrahim dan TG. Nik Aziz. Mungkin di antara semua ulama di Malaysia, Ibrahim Alilah sabihus samahah al-ulya. Orang yang kelak bila meninggalkan dunia fana akan digelarlah orang Radialluhu 'anhu atau setidak-tidaknya Rahimahullah.

Namun, ramai orang sudah kenal Ibrahim Ali. Orang sudah tahu bahawa hidupnya berjalur garis pengkhianatan yang pelbagai. Bercakap soal Islam, tidak menghilangkan dosa pengkhianatannya. 

Sementara itu, kita tertanya-tanya sebesar mana pengaruhnya dalam politik Malaysia sehingga dia mampu menggerakkan tentera jihad. Apakah katanya kota atau hanya menjadi bahan ketawa. Berapa kerat ahli perkasa yang benar-benar perkasa. Kebanyakannya adalah pemerkosa yang kecewa.

Aku Melayu, tetapi haram sekelumitpun tidak bernaung harapan kepada Perkasa.

Siapa yang khianati Melayu?

Dengan membawa beberapa contoh, Mat Sabu menyimpulkan bahawa yang mengkhinati Melayu adalah UMNO sendiri. Melayu sepatutnya mempunyai jumlah ahli parlimen yang lebih banyak, tetapi UMNO telah menjadikannya kurang. Apabila ahli parlimen Melayu kurang dalam parlimen, ini bermakna kuranglah suara Melayu. Kurang suara Melayu, kuranglah kuasa Melayu.

Kawasan-kawasan parlimen di beberapa tempat seperti Baling seharusnya dipecahkan kerana jumlah penduduknya ramai, tidak dipecahkan. Atas nama SPR, persempadanan kawasan pilihan raya dibuat tanpa memikirkan keuntungan untuk Melayu tetapi hanya keuntungan untuk UMNO-BN. Justeru, hari ini, apakah UMNO mahu mendakwa bahawa ia membela Melayu?

Demikian, kes Bank Bumi yang kini telah lenyap daripada persada merupakan bukti pengkhianatan UMNO. Kerakusan pemimpin-pemimpin UMNO telah menyebabkan berlakunya apa yang dinamakan isu BMF yang sampai ke Hong Kong. Kini, tiada lagi bank kebanggaan kaum bumiputera itu.

Siapa yang mengkhianati Melayu? Mat Sabu melontarkan pertanyaan.

Saturday, May 14, 2011

Bini siapa?

Bini siapa?
Hari ini di Kuala Lumpur
Esok bertemu rakan di Qatar
Lusa di Kuala Lumpur
esoknya di New York
Dunia hanya selangkah kaki

Bini siapa?
Mak andamnya bergaji beribu
Alat soleknya bersusu bagi buku kutubkhanah

Tiada yang bernama jamu
produk dari negara seberang
hanya Christian Dior
Serba import dari luar negara

Bini siapa?
Dari kerananya
wang negara berjuta-juta habis entah ke mana

Bukan bini aku, kau atau kita.

Tidak masuk syurga penfitnah Anwar

Pakar Pengimejan luar negara mengesahkan ketulinan video yang dikaitkan dengan DS Anwar. Sebenarnya, untuk mengesahkan ketulinan sesuatu video tidak perlu pakar pengimejan luar negara. Budah tadika pun boleh mengesahkan ketulinan sesebuah video. Apabila paparan itu video, maka tentulah ia bukan gambar. Apa susahnya nak kenal pasti sesebuah video. Mengikut laporan daripada pihak polis, hanya pakar tersebut tidak menyebut tentang  siapa pelaku yang ada dalam video itu. 

Ini adalah kerja-kerja bodoh yang diplotkan. Gelaran pakar boleh diberikan kepada sesiapa yang di hati rasa berkenan. Yang pakar itu bukan semestinya pakar. Lagipun sejauh mana pakar itu mengenali DS Anwar?

Kata TG Nik Aziz, tak masuk syurga orang yang menfitnah DS Anwar. Muhyiddin balas, TG Nik Aziz perlu berkata benar walaupun pahit. Fatwa TG Nik Aziz itu dikatakan adalah pendapat politik dan bukan agama. Sedangkan, TG. Nik Aziz, seperti yang kita sedia maklum, tidak bercakap dengan dua bahasa. Semua urusan politik, baginya ada hubungkait dengan agama. Apabila dikatakan "tidak masuk syurga", maka syurga yang dimaksudkan adalah syurga akhirat. Bukan syurga politik. Jangan mentakwilkan yang bukan-bukan.

Agama dengan dalil

Seorang ramaja bertanya, apakah hukumnya menampal sticker mengandungi ayat Al-Quran di motosikal. Ada kawannya berkata, jika ia terjemur panas dan terkena hujan, maka itu adalah tidak elok. Kemudian, dia bertanya tentang hukum memakai baju lengan pendek semasa solat. Ada kawannya cakap, itu adalah makruh. Kekeliruan remaja itu aku jawab dengan penegasan. Aku katakan bahawa agama bukan dihukum berdasarkan perasaan. Rasa simpati kepada ayat Quran yang berhujan panas di bandingkan dengan simpati kepada manusia yang berhujan panas adalah menilai agama berdasarkan perasaan. Menentukan hukum makruh sesuatu amalan juga perlukan dalil syarak. Kalau perasaan merasakan ia tidak elok, tidak mustahil perasaan orang lain berbeza pula. Justeru, pakaian yang menutup aurat, tidak boleh dikatakan makruh. Hanya kerana berlengan pendek lalu dihukum makruh, ia adalah hukum tanpa dalil.

Logi Penapisan Petrokimia

Khabarnya, kerajaan sedang merancang membina Logi Penapisan Petrokimia di Johor yang harganya kira-kira RM20b. Kerajaan dikatakan sudah bosan mengimpot minyak yang menyebabkan harga minyak terpengaruh dengan harga pasaran dunia. Kononnya, lepas adanya logi itu, minyak yang dicarigali di Malaysia tidak lagi perlu di eksport dan diimport semula.

Namun, kenapa di Johor? Kenapa tidak di terengganu. Malah kenapa tidak di Sarawak atau di Sabah sahaja. Apakah kemungkinan ini hubungan dengan pembangunan Wilayah Iskandar?

Alasan

Dulu, kau kata kau masih sekolah. Tidak sesuai untuk terjun dalam perjuangan. Kau kata, perauran sekolahmu tidak membenarkan kau bercakap soal politik, apalagi untuk aktif dalam politik. Lebih-lebih lagi kalau politik menentang kerajaan. Katamu, nantilah bila sudah habis sekolah, dan kau masuk universiti, kau akan jadi mahasiswa yang berani. Mahasiswa yang memimpin perubahan.

Lalu, ketika kau di Univesiti, kala alaskan pula AUKU. Katamu, bila dah habis nanti, kaun akan berjuang. 

Saat kau sudah mendapat pekerjaan, kau belikan kereta dan rumah. Kau kahwini wanita pilihanmu, kau alaskan kesibukan harianmu. Katamu, setelah pencen, dapatlah kau memberikan masa.

Saat kau pencen, katamu, biarlah orang muda. Aku sudah tua untuk semua itu. 

Lalu kau pun matilah tanpa perjuangan. Jangan salahkan sesiapa. Salahkan diri sendiri.

Wednesday, May 11, 2011

Utusan Malaysia

Orang kata Utusan Malaysia melaporkan mengenai rancangan menjadikan agama kristian sebagai agama rasmi di Malaysia. Ia melibatkan konspirasi seorang pemimpin DAP yang menghimpunkan para paderi untuk membincangkan idea tersebut. Khabarnya laporan Utusan Malaysia itu menimbulkan kontroversi hebat. Antara pro dan kontra.

Namun, terus terang, aku katakan bahawa dah lama aku tidak menyelak akhbar Utusan Malaysia. Kalau singgah di toko surat khabar. Utusan Malaysia bukan antara akhbar yang aku "kelih". Dah lama aku lupakan ia. Jadi, aku tak tahu apa isu sebenarnya yang dipropagandakan oleh Utusan Malaysia itu.

Namun, aku percaya bahawa Utusan Malaysia sedang meniti zaman-zaman kebankrapan.

Tuesday, May 10, 2011

Selamat tinggal BN.

Hari ini kerajaan menaikkan harga gula sebanyak 20 sen. Kini harga Gula menjadi RM2.30 sekilo. Bila harga gula naik, naiklah harga banyak produk makanan dan minuman. Aku teringat dulu, harga teh ais hanya 80 sen. Kemudian harganya jadi RM1. Kini, kalau minum di kedai mamak, harganya sudah mencecah RM1.50. Sesetentgahnya sudah sampai RM2.00.

Selepas satu barang naik harga, disusuli barang lain. Harga minyak petrol RON 97 sudah dua kali naik dalam tempah tak sampai setahun. Kononnya minyak RON 95 tidak akan dinaikkan oleh kerajaan kerana mojoriti rakyat menggunakannya. Soal minya bernama RON 95 dan RON 97 ini pun hanyalah bid'ah yang dibuat kerajaan untuk melestarikan kenaikan harga minyak yang dilakukan. Banyak pengguna minyak RON 95 menyatakan kecurigaan tentang kualitinya. Dulunya rakyat mengenali minyak dua jenis. Satu sebagai "leaded " dan satu "unleaded". Yang Leaded itulah menjadi RON 97 sedang dulunya minyak itu murah sahaja.

Rakyat boleh ditipu dalam sesetengah masa tetapi tidak semua masa.

Dr. Asri dalam kenyataan terbarunya kepada The Malaysia Insider menasihatkan rakyat Malaysia agar jangan memberikan undi yang boleh menjadikan BN menang besar kerana itu menjadikan para pemimpinnya rakus. Kenaikan harga barang yang terbaru ini adalah petanda kerakusan mereka kerana telah merasa selesa berikutan beberapa siri kemenangan dalam PRK. Mereka mula mengandaikan bahawa rakyat telah kembali menyokong mereka.

Negara tidak akan hancur kalaupun negara ini tidak diperintah BN. Sebelum ada BN, negara ini sudah ada. Negara ini pernah gemilang di zaman Malaka, zaman kerajaan Kedah dan sebagainya. Kemakmuran negara ini bukan terhutan kepada BN. Rakyat harus dimerdekakan dan tidak ada pergantungan kepada mana-mana parti untuk selamanya.

Katakan, selamat tinggal untuk BN.Itulah langkah ke arah perubahan.

Sunday, May 08, 2011

Ayuhlah keluar dari lecah silam!

Pertemuan bersama pendokong perjuangan Islam kawasan Batu Sapi malam ini mengingatkan aku betapa sulitnya mencari kesucian dalam politik. Politik nista berasaskan kebendaan yang diajar kepada rakyat selama ini mungkin ditelan oleh ramai rakyat. Untuk membersihkan mereka dari nista itu, bukan satu kerja yang mudah. Atas nama prinsip, Islam tidak mengumpan dengan habuan kebendaan untuk sebuah dokongan. Berpasakkan akidah perjuangan hanya "lillah", ia bukan mudah untuk diterapkan.

Bertuahlah bagi perintis-perintis setempat yang tega melepaskan diri dari lopak lecak lama dan bergabung dengan perjuangan Islam. Mudahan Allah memberikan petunjuk seterusnya buat mereka dan mengekalkan mereka dalam niat suci bersama perjuangan Islam.

Saturday, May 07, 2011

Kematian Osama dan kesyahidan

Osama telah mendapatkan kemasyhuran yang baik. Dia mati sebagai seorang syahid dan kematiannya telah mengumpan peningkatan kebencian masyarakat Islam terhadap AS. Lebih-lebih lagi berhubung dengan apa yang dilaporkan sebagai pengebumian Osama di dasar laut. Ulama-ulama Islam menganggap itu sebagai penghinaan kepada Islam. Di beberapa tempat dalam negara umat Islam, demontrasi dilakukan membantah perbuatan cabul AS itu. Ada orang buat solat ghaib untuknya. Ada juga pemuda yang membuat sumpah setia untuk membalas kematiannya.

Apa lagi yang lebih hebat daripada mati sebagai syahid?

Friday, May 06, 2011

Air zam-zam beracun?

BBC mendakwa bahawa air Zam Zam yang dijual di toko-toko menjual barangan muslim di beberapa kawasan di Britain mengandungi racun. Dakwaan ini sejajar dengan apa yang diamarankan sebelumnya oleh Food Standards Agency agar pengguna jangan menggunakan minuman yang dibotolkan dan didakwa berasal dari tempat tertentu.

Menurut BBC, air Zam Zam yang berasal dari Makkah mengandung nitrat dan kemungkinan bakteri berbahaya serta menemukan kadar arsenik, tiga kali lebih tinggi dibandingkan kadar yang dibolehkan. 

Dakwaan ini tidak dapat dibuktikan. Apakah mereka lupa atau tidak tahu bahawa air zam-zam diminum oleh berjuta jemaah haji setiap tahun. Malah bergelen-gelen pula dibawa pulaang ke negara masing-masing oleh jemaah haji. Belum ada satu orang pun dilaporkan mati kercaunan kerana air zam-zam.!
Mereka sesungguhnya cemburu dengan anugerah air zam-zam untuk orang Islam.

Thursday, May 05, 2011

Fahamilah nada renggekan itu

Kenapa sibuk nak satukan UMNO dan PAS? Kenapa tak libatkan sama PKR. Kalau dikatakan PKR bukan parti orang Melayu sebab ada campuran kaum lain di sana, maka PAS pun sama. PAS awal-awal sudah menafikan bahawa ia parti Melayu. Maka, kalau nak satukan dengan UMNO, ajak sama PKR. Nampak ketara mileage yang hendak dicapai daripada idea penyatuan PAS dan UMNO itu. 

Ketika PAS tidak bertahalluf dengan mana-mana parti dahulu, UMNO tak pernah ajak PAS sertanya dalam BN. Adalah dulu, zaman Tun Abd Razak memimpin UMNO dan zaman Datuk Asri memimpin PAS. Tapi penyatuan itu menjadi titik hitam yang memperlihatkan kebejatan sikap pemimpin UMNO.

Siapa yang responsif terhadap renggekan UMNO itu, sebenarnya dia tidak mengerti mana satu tarannum dan mana satu bujukan manja sang pelacur....