Tabib itu dalam bahasa Arab. Ertinya doktor. Masyarakat sekitar Kuala Nerang untuk beberapa malam ini didedahkan dengan kehadiran seorang yang disebut sebagai Tabib Norhisyam, berasal dari Kelantan. Aku mengambil kesempatan meninjau sepintas lalu cara pengubatan yang dilakukan oleh Tabib tersebut semalam. Sewaktu aku sampai, kedengaran suara pembantu tabib itu sedang menerangkan pelbagai perkara mengenai pengobatan Tabib tersebut serta kesibukan dan kemasyhurannya. Orang pun boleh dikatakan ramai juga. Terdapat beberapa orang tua yang sakit dan tidak mampu berjalan di bawa ke lokasi.
Setelah lama berceloteh, pembantu tabib tersebut menjemput tabib Norhisyam untuk membacakan doa permulaan. Banyak botol air dikumpulkan di depannya beserta buah kismis yang telah dibungkus. Selesai berdoa, air botol tersebut ditawarkan kepada khalayak dengan harga RM2 dan buah kismis pula dengan RM5. Kata pembantu itu, bahan tersebut adalah untuk ditawarkan oleh tabib dengan bacaan dan doanya bagi pelbagai tujuan. Dia menekankan tentang perlunya buat air penawar untuk terang hati anak-anak dalam pelajaran dan buah kismis tersebut adalah untuk minda anak-anak.
Berpuluh-puluh botol air diedarkan kepada orang ramai yang mengambilnya dengan bayaran RM2. Aku tidak lama dalam majlis tersebut kerana aku bersama seorang teman menyisih ke sebuah kedai makan dan menikmati hidangan di sana. Namun aku mendengar suara pembesar suara pembantu tabib tersebut.Aku tidak pasti barang apa pula yang ditawarkan kerana harganya pula RM10.
Pada pandangan aku, yang dikatakan tabib itu bukan doktor. Sekadar membaca jampi pada air botol, buah kismis dan pelbagai bahan lain, ia bukan cara tabib. Kalau kita lihat tabib Cina sekalipun, dia menggunakan kaedah-kaedah khusus seperti ramuan ubatan, akupuntur dan sebagainya. Menggunakan air penawar lebih sesuai disebut sebagai bomoh kerana memang cara bomoh membaca jampi.
Menggunakan nama tabib untuk seorang bomoh hanyalah cara memberikan nilai tambah kepada kaedah pengobatannya.
No comments:
Post a Comment