CARI BAHAN

Wednesday, December 15, 2010

Membuat Border Pass

Durian Burung dikenali juga sebagai Kota Putera. Ia merupakan pintu sempadan dari negeri Kedah ke Thailand yang baru dibuka sebagai pilihan kepada Bukit Kayu Hitam. Dari Kuala Nerang sekitar 25-30 KM. Jalan raya ke sana masih lagi sedang dibaiki di beberapa tempat terutama jalan Padang Sanai.Oleh itu terdapat jalan rosak di sana sini. Namun, mendekati kawasan Durian Burung, jalannya sudah elok dan beraspal sempurna.

Aku ke sana hari ini dengan anak dan isteri untuk menguruskan "Border Pass" bagi memasuki Thailand. Mengikut rancangan yang disusun oleh isteriku dengan keluarganya, kami akan masuk ke Thailand pada 18hb nanti untuk ke Yala. Terdapat sanak saudara ayah mentuaku di sana yang boleh diziarahi. Kebetulan sudah ke Yala, timbul cadangan untuk terus ke Hatnyai. Aku bersetuju dengan perjalanan tersebut kerana ia merupakan jalan baru yang belum pernah aku lalui. Tentunya ia memberikan pengalaman baru kepadaku.

Kompleks Imigresen Durian Burung kelihatan lengang. Para pekerjanya bekerja dalam keadaan releks dan santai. Penmgunjung pun tidak ramai. Boleh dibilang dengan jari. Yang datang pula kebanyakan penduduk kawasan Padang Terap yang berhajat untuk ke Thailand atas tujuan-tujuan yang pelbagai.

Untuk membuat "border Pass" dikenakan bayaran sebanyak RM10. Jika tidak datang dengan gambar, pihak imigresen akan ambil gambar dan bayaran yang dikenakan adalah RM8. Urusan mendapatkan "border pass" boleh disiapkan  tak sampai 10 minit. Tempoh laku "border pass" tersebut adalah 6 bulan.

Insya Allah, Sabtu hadapan aku akan menyemberang sempadan untuk melihat selatan sebuah negeri yang berjiran dengan Malaysia iaitu Thailand. Semoga keadaan di sana selamat semasa perjalananku nanti.

"Minggu lepas ada letupan di Segaya...", seorang pengunjung yang datang membuat "border pass" untuk ke Segaya  menjawab pertanyaanku ketika aku bertanya mengenai tahap keselamatan di Selatan Thailand. Ilallah atawakkalu...

No comments: