Warga Thailand dari Selatan Patani, yang rata-ratanya beragama Islam, banyak yang mencari razeki di daerah utara negeri Kedah. Mereka mengambil upah menoreh getah daripada tuan-tuan tanah yang memiliki kebun getah. Upahnya adalah separuh daripada hasil jualan. Dengan kata lain, hasil torehan dibahagi dua. Kaedah pembahagian ini lebih menguntungkan untuk warga Patani itu berbanding mereka mengambil upah menoreh getah di negeri mereka sendiri. Tambahan pula negeri Patani, keselamatannya sukar diduga. Kekadang meletus kekacauan yang menggugat.
Terdapat pandangan menyimpulkan mengapa sistem pembahagian hasil torehan getah di kedah adalah 50-50. Dahulu, mengambil upah menoreh getah ini adalah kegiatan adikm beradik. Seorang bapa saudara yang ada kebun getah akan menyerahkan kepada anak saudaranya yang tiada pekerjaan untuk menoreh. Oleh kerana adik beradik, mereka bersetuju untuk bahagi dua hasil dari torehan getah. Lagipun harga getah dahulu amat rendah berbanding sekarang. Dahulu harganya pernah bermain di bawah RM1 untuk sekilo. Pernah berada pada harga RM0.60 sekilo. Kalau bahagi tiga, berapalah sangat yang diperolehi daripada kerja perburuhan menoreh getah. Namun, kini harga getah telah melambung tinggi. Ketika ini, untuk sekilo getah skrap, harganya melebihi RM6.
Kerja menoreh getah lebih menguntungkan daripada makan gaji di syarikat swasta maupun kerajaan. Terdapat yang berhenti kerja kilang kekrana mahu menoreh getah. Penjawat awam yang seharian dalam bilik hawa dingin pun sudah tidak silu untuk bergelumang getah skrap dan dihurungi nyamuk dalam kebun getah lantaran harga getah yang begitu tinggi.
Aku melihat tanah-tanah yang dahulunya pernah menjadi milik syarikat GPT dan ditanam tebu, kini telah berpindah tangan ke syarikat lain dan ditanam pula dengan pokok getah. Apabila syarikat besar telah terjun ke dalam industri pertanian getah, apakah mungkin harga getah akan kekal pada tahap sekarang?
No comments:
Post a Comment