Apakah hukumnya sekiranya bilal yang mendapat elaun darpada kerajaan untuk bertugas sebagai bilal di masjid tidak datang bertugas melaungkan azan di masjid? Seorang ahli jemaah menimbulkan persoalan tersebut sewaktu kami bermual-bual di luar masjid. Kami sedang berbincang mengenai masalah kurangnya warga desa yang hadir solat berjemaah. Perbincangan itu membawa kepada persoalan tanggungjawab petugas-petugas yang telah dilantik dan diberikan elaun atas tugasan mereka. Realiti yang berlaku di kampungku, bilal hanya datang bertugas seminggu sekali iaitu hari Jumuat.
Justeru, bagaimana kedudukan wang elaunnya?
Aku memberikan pandanganku. Sebagai seorang guru di sekolah, jika aku tidak hadir ke sekolah atau hadir tetapi tidak mengajar, maka tentunya wang gajiku adalah haram. Situasi yang sama juga harus ditimpakan kepada imam, bilal dan siak masjid yang telah diberikan elaun untuk bertugas memakmurkan masjid Allah. Imam bertanggungjawab untuk datang setiap waktu dalam sehari untuk melayakkan dia menerima elaun yang halal setiap bulan. Bilal pula wajib datang melaungkan azan setiap waktu untuk melayakkannya menerima elaun yang halal setiap bulan. Demikian juga siak, wajib datang memastikan kebersiahan masjid untuk memastikan elaunnya halal setiap bulan. Jika tidak, maka elaun yang diterima adalah wang haram.
Ada yang mendakwa, ia bukan gaji, hanya elaun. Perlu diingat bahawa jika setiap bulan dibayar, maka hukumnya samalah dengan gaji. Elaun atau gaji hanya persoalan nama.
Aku melanjutkan dengan satu andaian. Sesiapa yang melaungkan azan di masjid sedangkan bilal tidak berperanan, maka bilal itu berhutang dengan orang yang melaungkan azan itu. Demikian, jika seorang menjadi imam solat, sedangkan imam yang dilantik lepas tangan, dia berhutang dengan hamba Allah yang mengimamkan solat tersebut. Jika orang merugut tentang ketidakbersihan masjid dan dia membersihkan masjid yang mana tugas itu sepatutnya dijalankan siak, maka siak berhutang dengan orang itu.
Alangkah banyaknya hutang-hutang yang perlu dibayar oleh imam, bilal dan siak yang gagal menjalankan tugas. Makanlah elaun yang kalian dapat setiap bulan sehingga buncit perut tanpa melakukan tugas yang diamanahkan. Takutilah pengkhianatan terhadap amanah. Jika tidak sangguo memikul amanah, lepaskan amanah itu demi keselamatan di akhirat. Jangan serakah terhadap pamrih dunia yang sedikit nilainya itu.
No comments:
Post a Comment