Tahun lepas, majlis bacaan doa akhir tahun dan awal tahun dibuat di Masjid Negara dan diraikan secara rasmi dengan kehadiran Yang Dipertuan Agung serta ramai pimpinan utama negara. Timbul pertanyaan di kalangan tertentu, apakah doa akhir tahun dan awal tahun itu sunnah? Dengan kata lain, apakah nabi Muhammad SAW melakukannya? Atau, apakah para sahabat mengamalkannya?
Jika dicermati dengan minda pencerahan, dengan mudah kita dapat menarik kesimpulan bahawa doa awal dan akhir tahun itu bukanlah sunnah. Ia dikatakan mudah kerana kita maklum bahawa di zaman nabi SAW tidak ada kalender hijrah yang dikira bermula daripada Muharram. Penggunaan taqwim hijri yang memulakan Muharram sebagai bulan pertama hanya bermula pada zaman pemerintahan Umar Al-Khattab. Justeru bagaimana harus dikatakan ia sebagai sunnah?
Rangkaian doa yang dikatakan doa akhir tahun dan awal tahun itu pula bukanlah daripada nabi. Fadhilat yang dinyatakan untuk mereka yang membacakan doa tersebut di mana di katakan syaitan akan kecewa, diampunkan dosa untuk setahun itu dan aman daripada tipudaya syaitan untuk setahun mendatang adalah satu rekayasa yang tidak bersandarkan nabi SAW. Bagaimana kita boleh mempercayai bahawa nabi SAW menitipkan satu doa dengan fadhilat tertentu dan ia dikaitkan dengan awal Muharram sedangkan Muharram pada zaman nabi SAW belum lagi dijadikan tahun pertama dalam taqwim Islam?
Berdoa memang bagus. Namun mengamalkan doa akhir tahun dan awal tahun seolah-olah ia adalah sunnah Rasul dan diberi pahala dan fadhilat tertentu bagi yang mengamalkannya adalah satu pencemaran kepada keaslian agama. Hanya Allah dan Rasul sahaja yang boleh menjanjikan fadhila untuk sesuatu amal. Orang lain hanya membuat rekaan belaka!
Umar Al-Khattab meletakkan taqwim Islam bermula daripada bulan Muharram dan menjadikan tahun nabi berhijrah ke Madinah sebagai tahun pertama bukanlah untuk disambut. Lebih-lebih lagi , bukan untuk diritualkan dengan amalan yang disandarkan kepada agama seperti doa akhir tahun dan awal tahun. Ia adalah untuk memperlihatkan kebesaran peristiwa hijrah dan menjadi lambang tajdid hayat bagi setiap Muslim melaui konsep hijrah.
Bukan budaya Islam merayakan awal tahun seperti mana golongan kuffar meraya penghujung Disember dan awal Januari. Justeru, jika ditanya tentang apakah sunnah Rasulullah SAW sempena akhir tahun dan awal tahun, ia adalah persoalan yang perlu diketepikan jawapannya. Islam tidak menginstitusikan awal dan akhir tahun untuk diritualkan dengan amalan tertentu. Tiada sunnah khusus untuknya!
No comments:
Post a Comment