CARI BAHAN

Thursday, December 16, 2010

Teman-teman bapa dipanjangkan umur

Di kala aku melihat lelaki itu, aku agak dia adalah sebaya al-marhum bapaku jika dia masih hidup. Semasa hayat bapaku, dia adalah antara kenalan bapaku. Bapaku sering bertandang ke rumahnya dan dia pun sering bertandang pula ke rumah kami. Bapaku dan selalu bertegur sapa ketika bersua di mana-mana. Aku melihat dia adalah antara teman-teman bapaku. 

Kini, bapaku telah kembali ke negeri kekal abadi 7 tahun yang lalu. Usia bapaku ketika dia meninggalkan dunia ini adalah 62 tahun. Justeru, teman-teman bapaku itu, mungkin dalam usia 69 tahun. Barangkali lelaki itu sudah pun mencecah 70 tahun lebih. 

Allah SWT telah menamatkan riwayat bapaku tetapi Dia masih melanjutkan usia sebahagian mereka yang kuanggap sebagai teman bapaku. Kekadang, antara mereka itu aku lihat masih kuat bekerja menguruskan dunia mereka. Masih bersemangat memerah keringat di ladang, sawah dan kebun. Mereka masih tegap menunggang kenderaan ke sana ke mari. Ramai pula kalangan merekan yang telah dan sedang menikmati hasil kejayaan anak-anak mereka.

Kadang-kadang aku rasa cemburu dengan mereka bagi pihak bapaku. Bapaku tidak sempat mencicip dunia yang diperolehi melalui kejayaan anak-anaknya. Bapaku pergi pada saat dia masih bergelut mencari sesuap nasi dan seteguk minuman untuk di hulur ke mulut anak-anak. Namun, aku percaya bahawa Allah menyayangi bapaku. Menjadi seorang bapa yang bermaruah bukanlah untuk mecicip razeki daripada bahagian anak-anak. Bapaku pergi sebagai seorang bapa yang merdeka dan kaya daripada balasan daripada anak-anak.

Semoga Allah menempatkan bapaku di kalangan zumrah para waliNya....

No comments: