CARI BAHAN

Tuesday, December 21, 2010

Safar Usari: Yala (Bhg 1)

Rancangan untuk menyemberang sempadan masuk ke Siam dibuat secara sepontan. Aku tidak merancang untuk ke sana kerana dalam kepalaku ada rancangan perjalanan yang lain. Aku bercadang mahu ke Kelantan melalui jalan Grik untuk melawat di samping menziarah sahabat-sahabat di sana. Namun, disebabkan hujan yang asyik turun tak menentu di samping tidak berapa yakin dengan tahap keselamatan keretaku bagi perjalanan jauh, aku menangguhkan perjalananku ke sana. Sebenarnya, keretaku tidak tidak pernah pun menimbulkan masalah. Cuma, disebabkan ia adalah kereta yang asalnya kubeli “secondhand”, aku kurang selesa berjalan jauh dengannya.

Tiba-tiba timbul cadangan dari isteriku untuk masuk ke Selatan Thailand menziarahi keluarga ayahnya di sana.  Cadangan tersebut akhirnya menjadi rancangan yang dibincangkan dan terus mahu dilaksanakan. Aku, isteri dan anak pergi ke Durian Burung (sempadan Malaysia-Thailand yang baru di buka) untuk menguruskan ‘Border Pass’. Setiap orang perlu menyediakan 2 keping gambar berukuran passport dan satu ‘border pass’ boleh dimasukkan 6 penama. Bayarannya adalah RM10.00.

Di pihak keluarga isteriku (ayah dan emak mentua, kak cik, Naimah, suami serta anak-anaknya) masing-masing telah menguruskan “border pass”. Hari yang dirancangkan untuk menyemberang sempadan adalah tanggal 18 Disember dan aku bermalam di rumah keluarga bapa mentuaku di Yala. Kemudian 19 Disember akan melancong ke Hat Yai dan kemudian akan kembali semula ke Malaysia sebelum malam.


Pada hari yang ditentukan, kira-kira jam 9.30 Pagi kami bertolak ke Durian Burung melalui jalan Pedu-Durian Burung. Ia merupakan jalan yang baru siap dibina. Malangnya, ketika sudah sampai ke gerbang sempadan, aku diberitahu oleh ayah mentuaku bahawa geran kereta perlu ditujukkan di bahagian dalam sempadan kepada pihak imegresen Thailand. Mahu tak mahu aku terpaksa pulang semula ke kampung untuk mendapatkan geran. Jarak antara kampungku ke Durian Burung jauh juga. Aku agak sekitar 40KM.


Dapat geran aku kembali semula ke Durian Burung. Jam 11.15 baru kami bergerak melepasi pintu sempadan. “Border Pass” perlu ditunjukkan di pintu Sempadan yang dikawal oleh imigresen Malaysia. Di bahagian Thailand, jalannya masih sedang dibina. Bangunan-bangunan yang aku kira akan dijadikan kompleks membeli belah sedang dalam pembinaan. Kami mendapatkan cop untuk “border pass’ di tempat yang disediakan.  Di situ juga insurans kereta perlu diperolehi daripada pihak berkuasa Thailand dengan bayaran RM25.00.

Masuk ke Thailand, melalui jalan tanah merah berlumpur (kebetulan hujan turun semalam), kami melalui kawasan berkebun getah di kri dan kana.  Tidak jauh, kami menemui jalan beraspal dan penanda jalan betulis tulisan Siam. Mujur ada juga tulisan Roman di bawahnya. Kami menuju Na Thawi. UNtuk sampai ke sana jaraknya sekitar 30KM. Dari Na Thawi, kami mengambil jalan ke sebelah Kanan menuju ke Ban Lam phlai. Dari sana kami mengambil jalan menuju ke Jaha-Jala.Jalannya jauh dan berliku melalui kampung-kampung yang berbagai-bagai namanya. Kampung-kampung di sana diawali dengan kata “Ban”. Pos kawalan tentera terdapat sepanjang perjalanan. Di pos kawalan tentera, terdapat kubu yang yang bersusun dengan beg hitam berisi pasir. Mungkin sebagai langkah mengawal ancaman gerakan yang menuntut kemerdekaan wilayah selatan Thailand. 


Masuk waktu Zohor, singgah di sebuah masjid pinggir jalan. Nama masjid itu adalah masjid Asin Jaha-Jala. Di situ kami solat dan makan tengahari. Jemaah masjid tersebut peramah dan bertanya maksud perjalanan kami. Mereka juga menujukkan kepada kami 2 kesan tembakan askar Siam ke dinding masjid kira-kira 2 tahun yang lalu. Kejadian itu, menurut seorang ahli jemaah yang bernama Hj. Yahya, berlaku 5 minit sebelum masuk Subuh. Motif tindakan mereka lebih kepada provokasi dan melepaskan geram. Kini kesan peluru itu dibiarkan untuk dilihat oleh sesiapa yang singgah di masjid itu.


Setelah selesai makan tengahari daripada bekalan yang kami bawa, kami meneruskan perjalanan. Perjalanan menuju ke Yala. Aku melihat garmin dalam handphoneku. Nampaknya garmin kurang berfungsi dan banyak jalan-jalan tidak termasuk dalam peta. Hanya Bandar-bandar utama sahaja ada dalam peta. 


Yala merupakan sebuah Bandar yang sederhana. Tiada menara tinggi tapi banyak pusat-pusat perniagaan dan lalu lintas juga sibuk. Kami tidak singgah dan hanya melintas sahaja. Beberapa kali ayah mentuaku bertanya kepada orang di sepanjang perjalanan. Kami hanya mengikut sahaja sebab hanya dia yang tahu destinasi kami. Katanya dia mahu ke Raman tetapi ingat-ingat lupa tentan jalannya. Akhirnya kami jumpa Pekan Raman dan di sana kami mengambil satu jalan kampung yang kiri kanannya banyak sawah padi. 


Akhirnya kami sampai di sebuah kampung dan kami berhenti di sebuah rumah tepi jalan. Ada kedai makan di bahagian depannya. Rupanya itu adalah rumah kerabat ayah mentuaku.  Aku diberitahu itu adalah rumah Makda Rokiah. Kami dibawa bertandang ke bahagian belakang. Ada sungai kecil di belakang di mana dia membina balkoni yang santai dan redup. Minuman dan biskut dihidangkan dan kami menikmati hidangan yang disediakan. 


Setelah puas bercerita tentang perjalanan kami, kami meneruskan perjalanan  dan tidak berapa jauh kami sampai di sebuah rumah lain. Juga di pinggir jalan. Dua buah rumah berdekatan. Salah satunya Nampak agam seperti banglo mewah. Aku mendapat tahu kemudiannya bahawa kampung pertama kami singgah tadi adalah kampung Pulai dan kampung kedua ini pula ialah kampung Membala.


Di situ kami berkenalan dengan Pak Ngah Husin dan Makngah Fatimah. Rumah sebelahnya, yang agama itu milik Makcik Ummi Kalthum. Suaminya tiada di rumah kerana dalam perjalanan membawa rombongan perkawinan ke rumah mempelai lelaki di Johor yang bertemu jodoh dengan mempeleai perempuan di Yala.
Kami bermalam di rumah Pak Ngah Husin dan Mak Ngah Fatimah serta rumah Makcik Ummi Kalthum.

No comments: