CARI BAHAN

Monday, December 06, 2010

Nak beli tanah, waspada....

Usahaku untuk membeli mana-mana tanah khususnya dalam kawasan Padang Terap menambahkan pengetahuanku mengenai hakikat kedudukan tanah-tanah di kawasan Padang Terap. Ada seorang sahabat memaklumkan kepadaku bahawa seseorang yang tinggal di Kuala Nerang mahu menjual tanahnya di kawasan Lesung Batu. Untuk mendapat maklumat terperinci mengenai kedudukan tanah tersebut, aku bersama sahabat itu bertemu dengan bapa saudaranya yang dikatakan juga mengusahakan tanah di kawasan tersebut. Apabila kami bertemu dengannya, dengan secara sepontan memberikan nasihat kepada kami agar melupakan hasrat untuk membeli tanah tersebut. Sungguhpun harganya menarik iaitu dengan keluasan 15 relung hanya pada harga RM45000, ia sebenarnya tanah yang diperolehi grant hak milik secara atas angin. Tanah tersebut telahpun diusahakan oleh peneroka di kampung berdekatan dan orang yang mahu menjualnya itu hanya memiliki grant hak milik tanpa mengetahui pun kedudukan tanahnya.

Situasi sebegini banyak sekali berlaku. Pada zaman Mahadir Khali selaku menteri besar Kedah, banyak orang yang telah diberi grant hak milik tanah kerana pelbagai faktor. Antara mereka yang mendapatkannya adalah orang yang punya hubungan rapat dengan pemimpin ataupun pegawai-pegawai bertanggungjawab. Kebanyakan mereka, bila mendapat grant hak milik tersebut telah mengambil langkah menjualnya. Pembeli yang terpesona dengan tawaran harga yang menarik tidak usul periksa mengenai kedudukan sebenar tanah tersebut. Merekalah yang menanggung kerugian. Sebahagian pula berdepan dengan masalah dengan peneroka yang telah lama memugar tanah tersebut tanpa berusaha mendapatkan grant hak milik daripada pejabat tanah.

Ketika berbual dengan bapa mentuaku yang merupakan Ahli Majlis bagi Daerah Padang Terap, dia menceritakan bahawa banyak masalah berkenaan tanah yang berlaku. Terdapat kalangan yang membuat permohonan tanah pada zaman pemerintahan terdahulu telah diberikan grant hak milik tanah. Setelah mereka mengusahakan tanah tersebut dengan tanaman seperti getah dan sebagainya, tiba-tiba timbul hakikat sebenar bahawa tanah tersebut terletak dalam kawasan grant besar yang telah diberikan kepada PKNK. PKNK telah membuat kontrak dengan syarikat GPT (Gula Padang Terap) untuk tempoh 60 tahun bagi tujuan perladangan. Justeru, bila syarikat GPT mula mahu membuka ladang-ladang baru dan ia melibatkan tanah-tanah yang diperolehi grant hak milik secara salah itu, timbullah bantahan pemiliknya. Namun, apa yang boleh dibuat? Mereka yang mendakwa mempunyai grant hak milik tersebut tidak dapat melawat grant hak milik yang ada pada GPT. Akhirnya, ramai yang berputih mata melihat kebun getah mereka ditolak dan dibakar!

Terdapat jumlah ratusan ribu ekar tanah yang diberikan kepada syarikat termasuklah juga kepada Felcra, Maik dan kini untuk projek Ladang Rakyat. Justeru, setiap pembelian tanah yang dibuat di kawasan perbukitan dan hutan belantara yang di luar kawasan penempatan, haruslah diwaspadi. Semakan di pejabat tanah amat penting sebelum sebarang transaksi dibuat. Jika tidak, menangis tidak berlagulah...


No comments: